Ahad, Disember 26, 2010

BANDING: MUKRIZ TIDAK BERPIJAK DI BUMI YANG NYATA


Persatuan Mahasiswa Selangor (Permasis) melihat kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berhubung perbandingan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan BN adalah tidak relevan dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Pengerusinya, Mohamad Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Mukhriz sewaktu berucap di hadapan Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi menyatakan bahawa mahasiswa perlu membandingkan apa yang dibuat oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional dan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

“Mana mungkin kita mampu membuat perbandingan sebegitu rupa. Setiap negeri berbeza dari segi kekayaan sumber ekonomi, taraf hidup rakyat, malah dasar urus tadbir negeri dan sebagainya.

“Seumpama kita membanding antara Negeri Perlis dengan Negeri Selangor, atau antara Negeri Pulau Pinang dengan Negeri Sabah atau Sarawak. Adakah perbandingan seperti ini adil?” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mahasiswa mahu pun rakyat lebih menilai bagaimana negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Rakyat kini berbanding Barisan Nasional sebelumnya.

Sebagai contoh di Selangor, katanya mahaisiswa sentiasa mengikuti setiap perkembangan yang berlaku, malah perkembangan terbaru yang menarik perhatian mahasiswa adalah berkenaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo yang didakwa ke mahkamah atas tuduhan rasuah awal bulan ini.

Selain itu, katanya kenyataan Mukriz bahawa kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi lebih cenderung untuk menyokong pembangkang adalah tidak tepat.

Katanya, kenyataan tersebut merupakan sangkaan buruk yang ditabur kepada golongan mahasiswa yang dilihat tidak sealiran dengan kerajaan Barisan Nasional.

Sehingga kini, ujarnya mahasiswa masih bebas menyuarakan pendapat mereka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik baik dari BN atau PR.

Tambahnya, beberapa isu yang diperjuangkan oleh mahasiswa seperti desakan agar dimansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), PTPTN, isu kenaikan harga barang, menghapuskan rasuah dalam urus tadbir negara dan banyak lagi perkara yang pernah disuarakan sebelum ini adalah suara dari mahasiswa sendiri.

Beliau menambah, mahasiswa memperjuangkan bukan hanya berkisar mengenai isu-isu kampus tetapi turut sama bersuara untuk hak rakyat dan demi kebaikan Malaysia.

“Namun, saya akui bahawa tidak mustahil selagi beberapa perkara yang dituntut dan diketengahkan oleh mahasiswa selama ini tidak diendahkan, selagi itu mahasiswa akan menjauhkan diri dari kerajaan Barisan Nasional,” ujarnya.


Rabu, Disember 15, 2010

MAHASISWA MASIH TIDAK BERSEDIA PRU13 - UMTODAY

Dis 11, Universiti Malaya : Seorang mahasiswa Universiti Malaya, Mohamad Izzuddin Hilmi Bin Mohamad Zaini menyatakan kebimbangan beliau melihat ‘trend’ mahasiswa yang seakan tidak bersedia menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Menurut beliau, ‘trend’ tersebut disedari memandangkan peratusan mahasiswa yang sudah mendaftar sebagai pemilih amat rendah.

Beliau sebagaimana berkata mahasiswa seakan ketinggalan dalam menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.

Keterlibatan pengundi dalam pilihanraya bukan hanya sewaktu hari membuang undi tetapi perlu bertanggungjawab mendaftar sebagai pemilih bagi melayakkan diri kita menunaikan tanggungjawab tersebut.

Beliau yang merupakan mahasiswa tahun akhir Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menyatakan sehingga kini mahasiswa yang telah mendaftar sebagai pengundi di kampus Universiti Malaya sendiri tidak melebihi 40 peratus.

“Dalam kehangatan kempen daftar pengundi diluar, mahasiswa di kampus masih tidak digerakkan kesedaran tersebut.”

Tambahnya,”Apa yang kita gusar, anak muda yang bijak pandai ini bakal tertinggal di pentas demokrasi negara dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.”

Kini ramai yang menjangkakan Pilihanraya Umum ke 13 akan diadakan pada suku pertama tahun hadapan.

Jangkaan tersebut dikuatkan dengan beberapa ‘petunjuk’ seperti penundaan Himpunan Agung UMNO sehingga 18 bulan, kenaikan harga barang 4+1 yang dilaksanakan secara tergesa-gesa sebelum tahun 2011, Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Serawak dan beberapa faktor lain.

Jika jangkaan Pilihanraya Umum dilaksanakan pada bulan Mac tahun hadapan adalah tepat, maka hanya penama-penama yang telah mendaftar dalam senarai pendaftar pemilih sehingga bulan Disember sahaja yang layak membuang undi.

Merujuk peruntukan yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, mana-mana warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas diiktiraf layak mengundi.

“Mahasiswa adalah sebahagian dari pengundi-pengundi saluran satu (anak muda). Mahasiswa sebahagian besarnya buat pertama kali berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab ini.”, ujar Izzuddin.

“Selain individu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP)mungkin boleh memainkan peranan ke arah melaksanakan usaha daftar mahasiswa-mahasiswa di kampus.”

“Mahasiswa juga perlu menggerakkan usaha ini, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), JTK Kolej Kediaman malah persatuan-persatuan pelajar boleh bertindak sebagai pemudahcara membantu rakan-rakan mahasiswa mendaftarkan diri sebagai pemilih,” kata beliau sewaktu dihubungi.

Satu perkara lagi yang diberi perhatian oleh beliau adalah berkenaan pendaftar pemilih secara automatik.

Jika cadangan yang pernah dibentang di Dewan Rakyat diterima oleh kerajaan, setiap warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun layak mengundi secara automatik tanpa perlu melalui proses pendaftaran terlebih dahulu.

“Mahasiswa sangat bersetuju dengan cadangan tersebut. Walaupun setakat ini cadangan tersebut masih dibincangkan dan berkemungkinan besar tidak dapat dilaksanakan pada PRU-13, kita berharap agar cadangan tersebut akan dapat dilaksanakan pada pilihanraya seterusnya.” – UMtoday.

Jumaat, Disember 10, 2010

SUARA MAHASISWA BERGEMA DI PUTRAJAYA..


Tiga pemimpin siswa ditahan selepas mereka menyertai perhimpunan di luar Masjid Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula minggu lalu.

Mereka yang ditahan itu ialah setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak, serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli.

Ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada 100 pelajar yang berhimpun di situ.

Kumpulan pelajar yang memakai baju berwarna hitam itu turut menjerikkan slogan-slogan seperti "Kuasa Mahasiswa" ketika berkumpul di hadapan masjid di Putrajaya itu.

Bagaimanapun, kira-kira lima anggota polis menemui mereka dan meminta mereka bersurai.

Seorang anggota polis memberitahu mereka tidak boleh berkumpul di situ atau mereka akan ditangkap.

Setelah berunding seketika, anggota polis membenarkan lima wakil pelajar tersebut menuju ke JPM yang terletak berhampiran masjid tersebut, untuk menyerahkan memorandum mereka.

Dalam memorandum berkenaan, kumpulan mahasiswa itu menyuarakan rasa kesal dan kecewa terhadap kenaikan harga barangan baru-baru ini.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

Selepas menyerahkan memorandum tersebut pada kira-kira jam 2.15 petang, polis mengarahkan mahasiswa berkenaan bersurai.

Ketika itu, Ridzuan kelihatan bercakap dengan anggota polis di situ, difaham dia meminta kebenaran untuk berucap, tetapi dia ditahan dan dibawa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ridzuan dan Shukri ditahan di ibupejabat polis (IPD) Putrajaya. Mohd Shahruldeen pula ditangkap di hadapan IPD Putrajaya.

Dalam memorandum empat muka surat itu juga, mereka mendesak agar gaji menteri dikaji semula dan dikurangkan bagi mengurang kos pengurusan dan perkhidmatan awam.

Mereka juga menuntut agar kerajaan mengembalikan semula subsidi barangan yang telah dipotong serta menurunkan harga barangan asas (kawalan) bagi kemudahan rakyat.

Memorandum tersebut diserahkan oleh presiden Gamis Ahmad Syazwan Hassan kepada wakil dari Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Moin Omar di pintu masuk JPM.

Ahmad Syazwan turut diiringi oleh pengerusi dan setiausaha SMM Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Ridzuan menyerahkan memorandum tersebut.


Sewaktu menerima memorandum tersebut, Abdul Moin memberitahu mereka bahawa beliau akan memajukan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada jam 6.15 petang tadi, peguam ketiga-tiga mahasiswa yang ditangkap itu, Puspawati Rosman memberitahu Malaysiakini, semua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis setelah disoal-siasat hampir empat jam.

“Mereka diminta melaporkan diri semula ke IPD Putrajaya pada 23 Disember ini,” katanya.

Puspawati berkata setakat ini belum ada dakwaan khusus dikenakan ke atas ketiga-tiga anak guamannya.

Selain Puspawati, ketiga-tiga mahasiswa itu juga diwakili oleh seorang lagi peguam mereka, Haijan Omar.