Pengumuman yang telah dikeluarkan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Ghouth Jasmon berkaitan keputusan kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) untuk sesi 2010/2011 memberi kejutan yang besar kepada seluruh mahasiswa UM.
Dua orang calon dari ProMahasiswa yang telah menang sewaktu pemilihan MPMUM pada 21 Februari lepas digantung. Seorang daripadanya Tan Tiong Yih digantung dari kabinet sehingga keputusan tatatertib Universiti Malaya ke atas Tiong diputuskan. Manakala seorang lagi saudari Masturah Binti Abu Bakar juga digantung sehingga siasatan yang dilakukan oleh pihak polis selesai. Bagi kemenangan calon-calon lain adalah secara rasminya sah dan dikekalkan.
Tan Tiong Yih..
Berkaitan isu Tiong, beliau dituduh oleh pihak UM mengemukakan MC palsu sebagai alasan tidak menghadirkan diri ke bengkel Calon yang menjadi prasyarat kepada kelayakan bertanding pada pemilihan MPMUM sesi ini. Peraturan yang pertama kali dilaksanakan mendapat bantahan dari sebahagian mahasiswa UM memandangkan peraturan ini dilihat sebagai salah satu cara UM bertindak menapis siapa yang sebenarnya berhak dan layak bertanding dalam piliahnraya kampus kali ini.
Mengikut maklumat yang diterima, seorang pegawai dari Hal Ehwal Pelajar (HEP), Encik Rozaini telah pergi ke sebuah klinik yang didakwa mengeluarkan MC palsu tersebut. Dengan hanya mengesyaki bahawa MC tersebut palsu, beliau mewakili pihak UM telah melaporkan perkara tersebut ke pihak polis.
Beginilah cara pentadbiran UM melayan pelajarnya. Tidak mendidik tetapi menekan dan cuba menganiaya pelajarnya sendiri.
Akibat dari itu, pihak polis telah memanggil Tiong pada hari Selasa 8 Mac 2011 dan memanggil seorang bekas pelajar UM yang bekerja sebagai kerani sementara di klinik tersebut untuk memberi keterangan.
Apa yang dimaklumkan oleh pihak polis kepada pelajar tersebut, seharusnya pihak UM tidak perlu bertindak sehingga melibatkan pihak polis dalam isu ini. Universiti yang sememangnya mempunyai badan penghakimannya dalaman (Mahkamah Universiti) boleh digunakan bagi menyelesaikan perkara ini. Tindakan Universiti yang melulu bakal memberi kesan negatif dan menganiaya pelajar tersebut.
Sebagai tindakan dari laporan yang telah dilakukan oleh wakil pentadbiran, pihak polis telah memanggil pihak-pihak yang dituduh bagi memberikan kenyataan.
Masturah Abu Bakar..
Kemenangan beliau juga digantung oleh pihak Universiti sehingga siasatan pihak polis selesai. Beliau yang dikaitkan dengan isu kehilangannya sewaktu berkempen di kawasan perumahan Pantai Permai, Kampung Kerinchi dua hari sebelum tarikh buang undi telah menjadi isu besar pada pilihanraya kampus di UM.
Selama tempoh 33 jam beliau didapati hilang dan hanya dijumpai di Masjid Teras Jernang di Bangi. Hasil usaha rakan-rakan serta keluarga membuahkan hasil dan lebih memaniskan keadaan apabila beliau yang merupakan salah seorang calon dalam pilihanraya kampus telah berjaya memenangi kerusi tersebut.
Namun dalam keributan yang berlaku selama tempoh kehilangan beliau, pihak Universiti Malaya dikritik kerana tidak bertindak membantu secara serius kehilangan Masturah. Lebih mendukacitakan apabila ada dikalangan pegawai tertinggi pihak Universiti yang menyatakan bahawa pihak universiti tidak bertanggungjawab sekiranya ada dikalangan calon yang berkempen di luar. Keselamatan adalah atas tanggungjawab sendiri.
Kini setelah hampir sebulan berlalu, pihak Universiti mengumumkan keputusan kabinet MPMUM yang baru. Saudari Masturah sekali lagi menjadi mangsa tanpa rela digantung dari barisan kabinet MPMUM walhal telah diundi dan diberi kepercayaan oleh sebahagian besar mahasiswa UM sendiri.
Nyata pentadbiran Universiti Malaya begitu serius menjerat mahasiswa-mahasiswanya dengan pelbagai sistem yang obaru diperkenalkan seperti Bengkel Calon MPMUM, E-Penamaan, E-undi, E-Bantahan, dan sebagainya.
Sistem-sistem yang diperkenalkan ini ternyata gagal mengurus Pilihanraya Kampus dengan baik, namun pihak Universiti tidak pernah mengakui perkara tersebut tetapi meletakkan bebeaN masalah keseluruhannya kepada tengkuk mahasiswa UM sendiri.
Cadangan Saya..
Saya cadangkan Promahasiswa Universiti Malaya agar tidak terlalu terikut dengan rentak mainan hal Ehwal Pelajar & Naib Canselor. Sebagai Majlis Perwakilan Mahasiswa yang dipilih sendiri oleh mahasiswa, mandat memimpin dan memperjuangkan isu mahasiswa telah diberi oleh mahasiswa. Mengapa perlu masih terhegeh-hegeh menadah dan merayu di hadapan Hal Ehwal Pelajar bagi mendapatkan watikah perlantikan?
Biarkan Tiong dan Masturah bekerja sebagai MPMUM yang tidak sah. Tidak sah mereka hanya kerana tidak mendapat watikah dari pihak Universiti. Tapi disisi mahasiswa UM yang lain mereka telah diangkat sebagai pemimpin mereka.
Buanglah kesilapan pemikiran lepas.
MPMUM lepas kalah kerana TIDAK CUKUP KERUSI bukan kerana TIDAK DISOKONG OLEH MAHASISWA. Mahasiswa masih dibelakang Pro-Mahasiswa. Tetapi atas alasan tidak berjaya menguasai kabinet MPMUM, maka Pro-Mahasiswa bermufaraqah dari menjadi aktor penting pejuang mahasiswa di kampus.
Kita terlupa bahawa kita lebih ber’kuasa’ dari yang lain. Berkuasanya kita kerana mahasiswa bersama di belakang kita..
Tidak perlulah terhegeh-hegeh melutut di hadapan HEP lagi,. Tanpa watikah juga kita mampu MEMIMPIN UNIVERSITI MALAYA.



0 ulasan:
Catat Ulasan