Isnin, Jun 01, 2009

"10 SUBJEK SAHAJA UNTUK CALON SPM," KATA MUHYIDDIN


Saranan Menteri Pelajaran Malaysia yang baru Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Jumaat yang lalu menghadkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil hanya 10 mata pelajaran dilihat sebagai suatu tindakan yang wajar walaupun terdapat sesetengah pihak yang berbeza pandapat mengenainya.

Jika dilihat secara positif bahawa dengan menghadkan bilangan mata pelajaran dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk terlibat dengan aktiviti kokurikulum yang turut sama diakui menyumbang kepada pembentukan nilai tambah dalam diri pelajar. Dalam masa yang sama para pelajar mampu mengimbangkan antara tuntutan akademik dan penglibatan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial yang berfaedah kepada mereka.

Sejak Sijil Pelajaran Malaysia dilaksanakan secara sijil terbuka bermula pada tahun 2000, peluang untuk para pelajar memilih malah mengambil mata pelajaran yang mereka minati mengikut bilangan yang mereka ingini dibenarkan. Di samping 6 subjek teras yang wajib diambil oleh para pelajar iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral, mereka boleh memilih beberapa mata pelajaran elektif mengikut keperluan bidang pengkhususan dan minat masing-masing. Maka pada peringkat awal, cadangan perlaksanaan peperiksaan SPM secara sijil terbuka dilihat baik dan memberi ruang yang luas kepada para pelajar mengambil mata pelajaran yang penting dan difikirkan perlu kepada pengajian mereka.

Maka secara tidak langsung wujud suatu fenomena baru di kalangan calon yang bakal mengambil SPM untuk berebut mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran. Hal ini antara lain bertujuan untuk menunjukkan kemampuan diri sendiri untuk memperoleh sebanyak mungkin gred A. Maka hasilnya kita mula kedengaran rekod-rekod baru yang dicipta saban tahun.

Antara yang pernah menjadi perhatian umum suatu ketika dahulu ialah apabila kita dikejutkan dengan pencapaian pelajar cemerlang SPM tahun 2003 iaitu Ahmad Atiq Bin Abdul Hamid dengan mendapat 15A. Kemudian disusuli pula dengan pencapaian Nur Amalina Binti Che Bakri dengan mendapat 17 1A dalam SPM 2004. Dan yang terbaru ialah keputusan SPM tahun 2008, adik Nik Nur Madihah Binti Nik Mohd Kamal dengan pencapaian 20 A (19 1A dan satu 2A).

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom bahawa dengan menghadkan pengambilan mata pelajaran SPM kepada 10 mata pelajaran, subjek-subjek teras juga akan dikurangkan daripada 6 subjek sebelum ini kepada 3 atau empat sahaja. Ini bermakna calon-calon masih berpeluang untuk mengambil subjek-subjek elektif yang lain tanpa perlu mengorbankan subjek-subjek elektif dalam bidang pengkhususan mereka.

Dalam kenyataan lain, beliau mengatakan bahawa cadangan perlaksanaan ini tidak menimbulkan masalah kerana mengikut statistik bilangan calon SPM lalu yang mengambil lebih dari 10 mata pelajaran tidak sampai 10 peratus sahaja iaitu kira-kira 38,000 daripada 480,000 calon yang layak menduduki peperiksaan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan hasil dari kebimbangan beberapa pihak mengenai perlaksanaan menghadkan pengambilan mata pelajaran SPM. Antara yang menyuarakan kebimbangan tersebut ialah ibubapa dan pelajar aliran agama.

Namun demikian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan kebangsaan (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN) sebagai contoh menyokong perlaksanaan tersebut. Rata-rata melihat ia merupakan salah satu langkah positif dalam usaha trasformasi pendidikan negara dalam mengimbang pencapaian kecemerlangan pelajar bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga dalam aktiviti kokurikulum.

.................................................................................................................................................


Ulasan,

Mengupas mengenai isu di atas, saya secara peribadi melihat perlaksanaan menghadkan calon-calon SPM mengambil 10 mata pelajaran pada mulai tahun hadapan adalah suatu perkara yang baik, namun di sini terdapat suatu perkara yang perlu dicermati bersama.

Secara positif saya melihat bahawa dengan perlaksanaan dasar tersebut membolehkan pelajar terlibat dengan aktiviti-aktiviti ‘luar kelas’ seperti aktiviti kokurikulum yang sememangnya penting sebagai membantu nilai tambah pada diri pelajar-pelajar.

Walaupun dengan menghadkan mengambilan mata pelajaran ini setelah peperiksaan SPM ini diperkenalkan sebagai peperiksaan sijil terbuka pada tahun 2000 dilihat sebagai suatu langkah terkebelakang yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran, namun ia dilihat sebagai suatu keputusan yang wajar.

Ironinya, dalam usaha Kementerian Pelajaran memperkenalkan SPM sebagai sijil terbuka bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, wujud suatu fenomena yang kurang memberansangkan. Pelajar-pelajar mula berlumba-lumba mengumpul sebanyak mungkin A dan menjadikan ia sebagai kayu ukur dalam menilai kepintaran seseorang. Semakin banyak kuantiti A yang terkumpul, semakin bijak seseorang itu dilihat.

Dalam hal ini saya agak tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Bagi saya mereka seperti ini pandai tetapi mungkin tidak berapa bijak.

Seharusnya pada peringkat ini para pelajar perlu tahu pengkhususan yang mereka minati dan subjek-subjek yang mereka perlukan. Dengan itu setiap pelajar secara mudah menumpu perhatian terhadap subjek yang penting sahaja. Maka, penumpuan mereka lebih terarah dan fokus dalam mencapai cit-cita mereka.

Sebagai contoh mereka yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran perlu bijak menentukan laluan yang terbaik dengan memilih subjek-subjek elektif yang diperlukan tanpa ‘melambakkan’ masa mereka dengan subjek-subjek yang tidak berapa diperlukan. Begitu juga bagi pelajar-pelajar yang meminati bidang agama, sastera mahupun sebagainya. Maka di sini saya katakan terletaknya nilai ‘kebijakan’ yang ada pada diri pelajar.

Perkara ini saya timbulkan kerana kebiasaannya kita berjumpa dengan pelajar-pelajar lepasan SPM yang tidak tahu hala tuju yang mereka inginkan walhal sepatutnya perkara ini sudah difikir sewaktu masih di alam persekolahan lagi. Hal ini agak menyedihkan kerana jika ditinjau kebanyakan pelajar-pelajar tersebut merupakan mereka yang dapat banyak A dalam SPM. Amat mengejutkan!!

Seharusnya apa yang perlu diperkasakan ketika ini bukanlah menilai betapa pandainya pelajar-pelajar lepasan SPM yang mengumpul banyak A, akan tetapi perlu dilihat bagaimana melahirkan para pelajar yang lebih kompetitif dalam menentukan hala tuju mereka.