Sabtu, Mei 23, 2009

MARI BELAJAR HUKUM FARAID...



Semalam ketika leka mancari buku di Jalan Tunku Abdul Rahman, saya tejumpa sebuah buku yang membincangkan mengenai ilmu pengurusan harta pusaka / faraid. Suatu ilmu yang semakin dilupakan dan mungkin hanya penting dan bermanfaat kepada seseorang jika berlaku kematian salah seorang ahli keluarganya dan melibatkan masalah pengagihan harta si mati.

Kebetulan saya pun teringin mencari bahan bacaan mengenai ilmu faraid. Tinggalkan sementara bahan bacaan haraki dan buku-buku yang berbentuk idealisme. Saja hendak mengubah angin dalam pemilihan bahan bacaan.

Minat saya untuk mendalami ilmu faraid timbul apabila arwah nenek saya meninggal dunia pada tahun 2004. Bermula dari situ isu pembahagian harta sesama keluarga mula dibincangkan. Bayangkan pada masa itu ada saudara-mara yang bertanya kepada saya tentang hukum faraid.

“Manalah saya tau makcik, saya baru je tingkatan 4,” hanya itu sahaja yang boleh saya jawab ketika itu.

Mungkin disebabkan saya ini merupakan anak lelaki sulong dalam keluarga malah cucu lelaki yang paling tua,tanggungjawab yang saya pikul lebih berat. Mungkin juga kerana saya belajar dalam aliran agama menyebabkan saya ini menjadi tempat rujukan semua.

Bukan hanya orang yang belajar aliran agama, tetapi semua orang perlu tahu tentang ilmu faraid yang unik ini.

Maka buku ini saya ingin kongsi dengan semua agar kita dapat manfaatnya bersama.
...................................................................................................


Soalan:

1) Anda tahu tentang ilmu faraid?
2) Pernahkah anda mendengar masalah pengagihan pusaka yang tergendala bertahun-tahun?
3) Andai ada salah seorang ahli keluarga anda yang meninggal, adakan anda mampu mengurus harta si mati mengikut kaedah ilmu faraid?


Tahukah kita bahawa perangkaan yang telah dibuat pada bulan Disember 2007 terdapat lebih daripada 1 juta kes tuntutan harta pusaka tertunggak di Makamah dengan nilai komersial kini mencecah sebanyak RM40 BILLION yang mana 90% daripadanya merupakan harta orang Islam.

Masalah ini timbul akibat kecelaruan dalam pengurusan harta si mati sehingga kebanyakan harta-harta tersebut terpaksa dipegang oleh Amanah Raya dan kebanyakannya beku tanpa ada jalan penyelesaian.

Mengenai ilmu faraid, saya berminat hendak megutip sepotong hadis dari Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Pelajarilah Ilmu Faraid dan ajarkanlah ianya kepada orang lainkerana sesungguhnya ia (Ilmu Faraid adalah sebahagian daripada ilmu yang banyak. Tetapi malangnya ianya adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah Ilmu yang mula-mula akan dicabut dari umatku. (Hadis Sahih riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi dari Abu Hurairah).

Petikan ayat Al-Qur’an yang menerangkan tentang Ilmu faraid adalah seperti dalam Surah An-Nisa ayat 11 & 12 mafhumnya:

11. Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. yaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bagahian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, Maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, Maka ia memperoleh separo harta. dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), Maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, Maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

12. Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. jika Isteri-isterimu itu mempunyai anak, Maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) seduah dibayar hutangnya. para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. jika kamu mempunyai anak, Maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), Maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. tetapi jika Saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, Maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun.


Pengertian Faraid:
Bahagian-bahagian yhang telah ditetapkan & ditentukan oleh hukum Syara’bagi individu yang berhak menerimanya.

Secara mudah di sini saya sertakan contoh pengiraan harta Faraid bagi Ahmad (bukan nama sebenar)sekiranya dia meninggal dunia. Dia akan meninggalkan:

• Seorang bapa
• Seorang ibu
• Seorang isteri
• Seorang anak lelaki
• Seorang anak perempuan

BAHAGIAN PUSAKAAN PEWARIS

Bapa...1/6
Ibu.....1/6
Isteri..1/8
Anak Lelaki.... Asobah(nilai selebihnya)
Anak Perempuan.... Asobah (nilai selebihnya)
* Nisbah bagi anak lelaki dengan anak perempuan= 2:1



Contoh di atas saya gunakan untuk menggambarkan bagaimana pecahan harta pusaka itu perlu diagih kepada waris-waris si mati. Tetapi harus diingat bahawa sebelum kita membahagikan pusaka mengikut faraid, terlebih dahulu hendaklah kita selesaikan hak-hak si mati seperti hutang,zakat, wakaf, sedekah, wasiat, hadiah, hibah, harta sepencarian atau pun sebagainya.

Kebiasaannya apabila ditanya kepada masyarakat Islam mengenai faraid, rata-rata akan menjawab:

• Memang tidak tahu langsung
• Tahu sikit sahaja
• Dulu ada belajar,tapi sekarang dah lupa
• Apa susah? Kita tanyalah ustaz bila jadi kematian saudara-mara kita nanti

Hakikatnya itulah realiti masyarakat muslim terhadap pemahaman mereka berkaitan dengan hukum faraid. Dalam ruangan ini mungkin saya tidak dapat rungkaikan semua, namun seharusnya kita mempunyai kesedaran mengenai kepentingan ilmu faraid ini.
Rasulullah pernah bersabda:

“Pelajarilah Al-Qur’an dan ajarkannya kepada yang lain dan pelajarilah Ilmu Faraid serta ajarkannya kepada yang lain. Kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut akan juga dicabutkan oleh Allah SWT. Lalu akan timbullah fitnah harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada di kalangan dua orang yang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka. (Hadis Sahih riwayat Al-Baihaqi dan Abdullah Bin Mas’ud)

Biasanya akibat dari masalah pembahagian harta ini, berlaku pelbagai masalah yang besar. Antaranya urusan harta si mati yang tidak berkesudahan, memakan harta yang bukan haknya, bergaduh sesama keluarga hingga bermasam muka malah ada yang putus saudara dan lain-lain lagi.

Jika hal ini berlaku, maka nyatalah seperti apa yang telah digambarkan oleh baginda Rasulullah seperti yang terdapat di dalam hadis di atas. Dan lebih membimbangkan, masalah ini telah terjadi masa kini.. WALLAHUALAM..

.

Ahad, Mei 10, 2009

DAKWAH MENGUBAH PEMIKIRAN MANUSIA



Kes 1:

Sudin ditakdirkan telah ditangkap ketika cuba memecah masuk sebuah rumah orang kaya di Damansara. Dia tahan di dalam penjara selama beberapa bulan atas kesalahan yang dilakukannya. Namun ini adalah kali ke empat dia dipenjara kerana kesalahan tersebut. Setiap kali dibebaskan dia masih lagi terus dengan tabiat lamanya iaitu mencuri.

Bagi Sudin, dia tidak rasa serik untuk mencuri walaupun dia tahu perbuatannya itu salah dan tahu akan akibat buruk yang akan menimpa jika dia ditangkap mencuri lagi. Rasa EAGER dan terlalu OBSESS untuk melakukan amalan mencuri memang memelikkan semua orang. Malah di zaman kecilnya dia selalu dipikul oleh bapanya sebegitu teruk kerana kesalahannya itu tetapi ternyata sikapnya tidak pernah berubah. Masih minat untuk mencuri dan terus mencuri.

Kes 2:

Aiman seorang pemain bola sepak yang masih muda. Impian Aiman adalah untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Aiman menunjukkan kesungguhan yang tinggi bagi mencapai cita-citanya itu.

Kerana terlalu mengejar impiannya, Aiman sendiri pernah mengalami banyak kecederaan yang serius sepanjang sesi latihan dan perlawanan yang disertainya. Namun, tidak pernah sekali pun Aiman putus asa. Dan yang terbaru kejadian 2 minggu lepas. Kecederaan di lututnya sehingga menyebabkan die terpaksa menjalani pembedahan dan terpaksa rehat hampir 3 bulan. Rakan-rakannya pernah bertanya;

“Engkau tak serik ke main bola?”

"Aiman tak kisah,.. dah minat aku, kalau kena lagi teruk dari ini pun aku tak kisah” jawab Aiman selamba.

............................................................................


Saya ingin membawa pembaca mengkaji 2 kes di atas. Walaupun kes-kes ini berbeza namun nilai yang ada di dalamnya adalah sama. Timbul bebarapa persoalan di sini.

1) Mengapa Sudin dan Aiman terlalu obsess dengan matlamat dan minat mereka walaupun mereka sanggup berdepan dengan cabaran?

2) Apakah yang menyebabkan mereka ini tidak ambil kisah dengan perkara buruk yang seakan pasti menimpa mereka jika mereka terus dengan sikap dan kehendak mereka?

3) Manusia jenis apakah mereka ini?


Bagi jawapan nombor 3, mereka masih manusia biasa seperti kita. Mempunyai akal dan nafsu seperti manusia biasa.Tetapi oleh kerana kita tidak mengenali satu sifat rahsia yang tersembunyi yang diciptakan oleh Allah dalam diri kita, maka pertanyaan ini timbul.



Hasil kajian pakar-pakar psikologi mengatakan manusia itu lebih cenderung terarah kepada apa yang diminati dan apa yang dipercayai baik pada pemikiran mereka. Ini adalah sifat lumrah manusia.

Contoh mudah dilihat kepada anak kecil yang ‘degil’ dengan keinginan mereka terhadap sesuatu walaupun dipandang salah oleh orang lain. Contoh anak kecil ini amat sesuai melambangkan sifat fitrah manusia kerana perilaku anak kecil ini masih belum terpengaruh dengan faktor masyarakat persekitaran secara keseluruhan.

Manusia sememangnya terdorong melakukan sesuatu berdasarkan pertimbangan apa yang difikirkan baik oleh akal mereka lebih dari pertimbangan-pertimbangan lain. Cuma perlu jelas, nilai baik pada pemikiran manusia mungkin pada hakikatnya betul dan mungkin juga salah.

Pada sudut negatif, biasa kita dengar seorang penagih dadah terus menerus menangih sedangkan nyata tabiat menagih ini adalah salah malah haram disisi Islam. Mat Rempit terus merempit walaupun dia tahu dia boleh ditimpa kemalangan maut. Ahli politik memberi rasuah walaupun ianya jelas merupakan amalan buruk.

Mereka semua tahu bahawa tindakan mereka salah malah jika kita bertanya kepada mereka, mereka pasti akan mengakui kesalahan tersebut. Namun mereka masih terdorong untuk terus melakukannya. Mengapa mereka bersikap seperti itu?. Hal ini kerana pada pertimbangan mereka, mereka puas dan menguntungkan diri mereka, lantas mereka terus melakukannya.

Pada sudut positif, biasa juga berlaku seorang pejuang Islam berjuang dengan berani menuju syahid walaupun dia pasti akan terseksa atau mati di medan. Seorang aktivis masyarakat bertindak melakukan sesuatu walaupun dia tahu akan ada golongan yang bakal menentangnya. Malah lebih dari itu seorang ulama contohnya Imam Ahmad Bin Hambal sanggup berkata benar mempertahankan hujahnya walaupun dia terpaksa membekam di dalam penjara.

Semua ini secara umum menunjukkan manusia akan bertindak mengikut pertimbangannya atau apa yang dipercayainya.

Justeru bagi mengubah tingkah laku manusia, disinilah suisnya. Dalam metodologi dakwah, pemikiran manusia ini yang perlu dituju dan diubah bagi mendapatkan perubahan kepada mad’u.

“Ustaz, tak guna ustaz bagi tahu kepada Mat Gian tu yang dadah ini haram. Tak akan mengubah apa-apa. Dia mesti hisap jugak benda haram tu. Sampai bila-bila pun tak akan berubah. ”

“Baik ustaz ubah fikiran dia supaya dia boleh pikir sendiri yang dadah tu tak baik untuk diri dia. Waktu itu dia sendiri akan ubah diri dia, tak payah ustaz susah-susah.”

Silapnya pendakwah adalah kita jarang berusaha mengubah manusia dari dalam dirinya sendiri persepsi manusia). Ramai yang yang lebih suka menghukum sesuatu dan menyuruh orang untuk mengikut ‘hukum’ kita. Sekalipun penghukuman kita adalah benar, tetapi dari satu segi kita tidak berapa teliti dalam mengajak orang lain untuk berubah.

Kita imbau generasi para sahabat hasil tarbiyah direct dari baginda Rasulullah terhadap mereka. Contoh mudah tatkala turunnya pengharaman arak secara total, lantas para sahabat menyimbah air arak ke jalan-jalan tanpa banyak soal sedangkan tabiat minum arak merupakan tradisi bangsa Arab turun-temurun.

Bilal Bin Rabbah pula sanggup menanggung azab siksaan yang tidak terduga hanya kerana beriman dengan kalimah Tauhid sepenuh hati dan memasakkan keyakinan yang mendalam bahawa kepercayaannya itu adalah yang betul.

Bagitu juga kisah para sahabat yang lain hasil tarbiyah dari Rasulullah.
Semua tindakan mereka ini terdorong atas diri mereka sendiri. Itulah yang dinamakan sebagai Iman. Iman yang sempurna membuahkan kepercayaan yang jitu terhadap sesuatu yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T. Maka segala tindak-tanduk adalah datang dari hati bukan dibuat-buat.

Maka dari itu, para pendakwah hari ini perlu sedar faktor pengubah yang paling berkesan pada diri manusia. Pemikiran mad’u yang perlu didorong agar mereka mampu menilai sendiri di mana duduk letaknya Islam dalam diri mereka. Akhirnya mereka sendiri yang akan menilai dan menerima Islam itu sebagai cara hidup.

Semuanya terletak pada perubahan pemikiran bagi mengubah individu tertentu. Andai kita selaku pendakwah dapat mengubah pemikiran(fikrah) seseorang, 90 % perubahan telah kita lakukan dan dakwah kita sudah berjaya.

Wallahu A’lam...

Jumaat, Mei 08, 2009

TAZKIRAH DI KEDAI GUNTING...


“Izzuddin, abang yang gunting rambut kat KPS tu bagus betul lah,.. Dia kalau masuk waktu sembahyang mesti berhenti solat dulu”, sembang Engku kat saya suatu ketika dulu.

“Erm, boleh jugak kalau aku try gunting rambut kat situ,” terdetik dalam hati saya minggu lepas. Kebetulan rambut ini pun sudah tidak berapa terurus. Patutlah waktu baca buku Fiqh Ibadah rasa berat sahaja kepala ini.

Dalam sekitar pukul 3.15 petang, saya pun menunggang motorsikal WQA 4007 menuju ke Komplek Perdana Siswa. Mamang tidak berfikir panjang, matlamat petang itu hanya hendak gunting rambut. Namun masih terdetik, apa yang istimewanya tukang gunting rambut itu?. Setakat jumpaorang yang solat awal waktu rasanya ramai sudah yang saya jumpa. Hatta di Akademi Islam ini pun ramai yang solat awal waktu.

Inilah kali pertama saya terlintas hendak pergi gunting rambut di KPS. Biasanya saya gunting rambut tatkala saya pulang ke rumah sahaja. Murah pun murah juga.

“Assalamualaikum,” saya memulakan bicara. Membuka daun pintu kaca kedai tersebut.

“Waalaikumussalam, masuklah.” Jawab seorang pemuda berkulit hitam manis. Mata saya meliar sekeliling penjuru kedai gunting ini.

“Wah, banyak abang lekat gambar-gambar Ulama’ dalam kedai abang, abang minat minat kumpul gambar-gambar ini?,” tegur saya.

Memang benar, bagi sesiapa yang kali pertama masuk ke kedai gunting ini pasti terkejut dengan dekorasi yang ada. Bukan itu sahaja, bahan bacaan yang ada di atas meja pun terdiri dari bahan-bahan ilmiah Islam.

“ Mestilah, bukan ke kita ini orang Islam. Baik kita lekat gambar ulama’-ulama’ dari kita lekat gambar artis-artis?” jelasnya,

Boleh tahan juga fikrah abang ini. Saya tersenyum sendirian.

“Kamu pelajar fakulti mana?” tegur abang tersebut.

“Akademi Islam bang, saya ambil kos Syariah,” jawab saya kepada abang Hanif. Sempat juga saya bertanyakan namanya sebelum itu.

“Esok saya ada exam, doakan saya abang,” saja saya hendak bergurau dengan dia.

“Nak belajar agama belajar betul-betul, jangan sekadar hendak lulus exam cukup-cukup makan jer dalam exam. Tau tak kerana ramai orang yang belajar agama hari ini ‘cukup-cukup makan’ banyak ustaz-ustaz yang keluar hari ini tidak ada ilmu. Cakap hebat tapi ilmu tiada,” pedas nasihat abang Hanif.

“Kamu dah buat kerja dakwah? Tanggungjawab dakwah ini sudah jadi wajib bagi kamu sebab kamu belajar agama. Nak jadi ustaz kan?” tanya abang tadi kepada saya.

“Adalah sikit-sikit bang,” jawab saya. Sebenarnya takut juga saya hendak jawab soalan tersebut. Betulkah saya sudah menjalankan usaha berdakwah walaupun saya akui cuma sedikit. Takut-takut hendak mengaku sedikit pun tidak layak. Banyak mana sangat kerja Islam yang telah saya lakukan selama ini.

Tangannya masih lagi cermat merapi rambut saya. Sesekali diambilnya pisau cukur lalu dileret ke sekeliling telinga dan tengkuk saya.

“Erm, abang.. sekarang ni kalau kita tengok banyak persoalan-persoalan tentang hukum Islam yang perlu para ulama & ustaz respon dengan cepat. Contohnya masalah orang non-muslim baca Quran, hukum agama anak kecil kalau mak atau ayahnya masuk Islam. Apa pendapat abang?”saja saya ingin bertanya.

“Hah, itulah contoh orang yang buat undang-undang tidak tanya orang ada ilmu. Tak nak tanya ulama’. Berdosa kalau silap buat keputusan atau bagi pandangan tanpa ilmu,” jawabnya.

Buat beberapa ketika kami meneruskan bual bicara. Banyak isu yang kami sentuh dalam masa lebih kurang setengah jam. Sedar-sedar kerja abang Hanif sudah selesai. Tatkala itu jam pun menunjukkan 4.30 petang. Azan pun baru sahaja habis dikumandangkan.

“Ok, siap, lapan ringgit saja,”

“Nah bang, insya-Allah bila-bila saya datang lagi,” kata saya. Mudah-mudahan kalau kedatangan saya kali kedua nanti ada lagi tazkirah yang boleh saya dengar dari abang gunting rambut ini.

“Sir, now is the pray brake, please come back after this. I want to pray now,” speaking abang Hanif kepada seorang foreigner yang sedang tunggu giliran selepas saya.
Habis gunting rambut, saya pergi ke surau KPS untuk tunaikan solat Asar. Tatkala saya selesai slat dan memberi salam, sedarlah saya yang abang Hanif mengikut saya di belakang.

“Bagus Abang ni, lain kali boleh dengar tazkirah sambil gunting rambut,” bisik saya sendirian.

Tetapi, dalam banyak-banyak perbincangan, satu soalan ini yang membekas dalam hati saya.

“Kamu dah buat kerja dakwah? Tanggungjawab dakwah ini sudah jadi wajib bagi kamu sebab kamu belajar agama. Nak jadi ustaz kan?”


Diam saya memikirkannya... Pastilah saya menjawab NAK...