Jumaat, Mei 08, 2009

TAZKIRAH DI KEDAI GUNTING...


“Izzuddin, abang yang gunting rambut kat KPS tu bagus betul lah,.. Dia kalau masuk waktu sembahyang mesti berhenti solat dulu”, sembang Engku kat saya suatu ketika dulu.

“Erm, boleh jugak kalau aku try gunting rambut kat situ,” terdetik dalam hati saya minggu lepas. Kebetulan rambut ini pun sudah tidak berapa terurus. Patutlah waktu baca buku Fiqh Ibadah rasa berat sahaja kepala ini.

Dalam sekitar pukul 3.15 petang, saya pun menunggang motorsikal WQA 4007 menuju ke Komplek Perdana Siswa. Mamang tidak berfikir panjang, matlamat petang itu hanya hendak gunting rambut. Namun masih terdetik, apa yang istimewanya tukang gunting rambut itu?. Setakat jumpaorang yang solat awal waktu rasanya ramai sudah yang saya jumpa. Hatta di Akademi Islam ini pun ramai yang solat awal waktu.

Inilah kali pertama saya terlintas hendak pergi gunting rambut di KPS. Biasanya saya gunting rambut tatkala saya pulang ke rumah sahaja. Murah pun murah juga.

“Assalamualaikum,” saya memulakan bicara. Membuka daun pintu kaca kedai tersebut.

“Waalaikumussalam, masuklah.” Jawab seorang pemuda berkulit hitam manis. Mata saya meliar sekeliling penjuru kedai gunting ini.

“Wah, banyak abang lekat gambar-gambar Ulama’ dalam kedai abang, abang minat minat kumpul gambar-gambar ini?,” tegur saya.

Memang benar, bagi sesiapa yang kali pertama masuk ke kedai gunting ini pasti terkejut dengan dekorasi yang ada. Bukan itu sahaja, bahan bacaan yang ada di atas meja pun terdiri dari bahan-bahan ilmiah Islam.

“ Mestilah, bukan ke kita ini orang Islam. Baik kita lekat gambar ulama’-ulama’ dari kita lekat gambar artis-artis?” jelasnya,

Boleh tahan juga fikrah abang ini. Saya tersenyum sendirian.

“Kamu pelajar fakulti mana?” tegur abang tersebut.

“Akademi Islam bang, saya ambil kos Syariah,” jawab saya kepada abang Hanif. Sempat juga saya bertanyakan namanya sebelum itu.

“Esok saya ada exam, doakan saya abang,” saja saya hendak bergurau dengan dia.

“Nak belajar agama belajar betul-betul, jangan sekadar hendak lulus exam cukup-cukup makan jer dalam exam. Tau tak kerana ramai orang yang belajar agama hari ini ‘cukup-cukup makan’ banyak ustaz-ustaz yang keluar hari ini tidak ada ilmu. Cakap hebat tapi ilmu tiada,” pedas nasihat abang Hanif.

“Kamu dah buat kerja dakwah? Tanggungjawab dakwah ini sudah jadi wajib bagi kamu sebab kamu belajar agama. Nak jadi ustaz kan?” tanya abang tadi kepada saya.

“Adalah sikit-sikit bang,” jawab saya. Sebenarnya takut juga saya hendak jawab soalan tersebut. Betulkah saya sudah menjalankan usaha berdakwah walaupun saya akui cuma sedikit. Takut-takut hendak mengaku sedikit pun tidak layak. Banyak mana sangat kerja Islam yang telah saya lakukan selama ini.

Tangannya masih lagi cermat merapi rambut saya. Sesekali diambilnya pisau cukur lalu dileret ke sekeliling telinga dan tengkuk saya.

“Erm, abang.. sekarang ni kalau kita tengok banyak persoalan-persoalan tentang hukum Islam yang perlu para ulama & ustaz respon dengan cepat. Contohnya masalah orang non-muslim baca Quran, hukum agama anak kecil kalau mak atau ayahnya masuk Islam. Apa pendapat abang?”saja saya ingin bertanya.

“Hah, itulah contoh orang yang buat undang-undang tidak tanya orang ada ilmu. Tak nak tanya ulama’. Berdosa kalau silap buat keputusan atau bagi pandangan tanpa ilmu,” jawabnya.

Buat beberapa ketika kami meneruskan bual bicara. Banyak isu yang kami sentuh dalam masa lebih kurang setengah jam. Sedar-sedar kerja abang Hanif sudah selesai. Tatkala itu jam pun menunjukkan 4.30 petang. Azan pun baru sahaja habis dikumandangkan.

“Ok, siap, lapan ringgit saja,”

“Nah bang, insya-Allah bila-bila saya datang lagi,” kata saya. Mudah-mudahan kalau kedatangan saya kali kedua nanti ada lagi tazkirah yang boleh saya dengar dari abang gunting rambut ini.

“Sir, now is the pray brake, please come back after this. I want to pray now,” speaking abang Hanif kepada seorang foreigner yang sedang tunggu giliran selepas saya.
Habis gunting rambut, saya pergi ke surau KPS untuk tunaikan solat Asar. Tatkala saya selesai slat dan memberi salam, sedarlah saya yang abang Hanif mengikut saya di belakang.

“Bagus Abang ni, lain kali boleh dengar tazkirah sambil gunting rambut,” bisik saya sendirian.

Tetapi, dalam banyak-banyak perbincangan, satu soalan ini yang membekas dalam hati saya.

“Kamu dah buat kerja dakwah? Tanggungjawab dakwah ini sudah jadi wajib bagi kamu sebab kamu belajar agama. Nak jadi ustaz kan?”


Diam saya memikirkannya... Pastilah saya menjawab NAK...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan