Selasa, April 21, 2009

DAN TATKALA SANG AYAM DAN SANG ITIK BERTELINGKAH SESAMA MEREKA...


Sekadar hendak berkongsi sebuah cerita yang berlaku pada diri saya petang semalam. Cerita yang ringkas tetapi terkesan juga kepada diri saya ini. Ketika itu saya baru selesai menelaah buku MANAHIJ FUQAHA’, jam ditangan pula telah menunjukkan pukul 6.40 petang.

Seperti biasa, hari Isnin sememangnya saya melazimi diri untuk memberi kuliah Maghrib di kolej 12. Maka sudah tentu saya akan turun ke kafe untuk makan malam awal. Boleh lah kiranya saya untuk bersedia awal sebelum waktu Maghrib tiba.

Turun dari tinggat 4 kolej terus mengarah ke kafe tanpa sebarang buku atau pun nota. Manakan tidak, penat ‘bertapa’ dalam bilik menghadap buku yang sememangnya susah untuk dihadam kerana ditulis dalam Bahasa Arab sepenuhnya.

“Kalaulah diri ini pandai Bahasa Arab tak mengapalah,” ngomel saya sendirian.

Maka babak kisah yang menarik ini mula berlaku ketika saya datang ke salah satu gerai yang ada.Yang ada di sana saya seorang Melayu tulen, seorang kakak penjaga gerai warga Indonesia, dan seorang Arab yang tidak berapa fasih berbahasa Inggeris (apatah lagi hendak berbahasa Melayu). Maka ditakdirkan bertembung 3 jenis manusia ini di tempat yang sama dan waktu yang sama.

“How much is this?” kata abang Arab itu kepada kakak gerai. Jarinya menunjukkan fresh oren kalau tidak silap saya.

“Seringgit lima puluh sen sahaja harganya,” jawab kakak punya gerai. Jelas dialeknya dalam bahasa Indonesia. Mungkin dia bernasib baik dapat menjawab soalan mamat Arab tadi dengan begitu tepat. Puas hatinya barang kali dengan jawapan itu. Tetapi sebenarnya suatu konflik sedang berlaku antara 2 insan ini. Konflik yang biasa berlaku tatkala seekor ayam teringin menyembang dengan seekor itik.

“Ah sudah, mengapa diorang ini tetiba menjeling kepada aku ni?” jawapan refleks spontan yang terbit dalam hati apabila mereka pandang saya serentak. Pandangan yang penuh harapan,..ya, memang penuh harapan agar saya menjadi translater antara mereka.

Saya dah agak yang saya akan turut sama terheret dalam konflik ini. Siapa lagi watak ketiga yang berada di sini?. Yang pasti watak saya bukannya sebagai seekor ayam atau pun seekor itik kerana yang perlu menjadi kedua-duanya sekali. Suatu tugas yang cukup mencabar.

“One ringgit and Fifty cent,” terangku kepada mamat Arab ini. Mudah sahaja kot bagi saya menjawab soalan itu. Dia pun keluarkan RM3 dari koceknya, fahamlah saya yang dia membayar untuk 2 jus oren. Alahai macam main matematik lah pula rasanya.

“Pak, RM1.50 lagi tidak cukup,”balas empunya kedai. Sangkanya bayaran untuk 3 jus oren.

“But why?” melenting mamat Arab ini. Mungkin dia rasa dia ditipu oleh tuan kedai yang tidak yang tidak mengerti apa-apa. Jelas yang pasti kedua-duanya saling tidak mengerti antara satu sama lain. Yang sebetulnya memang mamat arab ini bayar untuk 2 jus oren.

Semakin serabut keadaan ini. Seseorang perlu menyelesaikan konflik bahasa antara dua benua ini dengan segera. Yang pasti hanya saya sahaja yang tinggal termengu melihat perbalahan mereka.

Bukan senang juga hendak kecek Inggeris kalau tidak bersedia. Terbelit-belit juga lidah saya dibuatnya. Al-maklum, bahasa Inggeris pun saya berkarat. Maka bertikam lidah mereka berdua ditambah lagi dengan kehadiran budak Izzuddin yang seorang ini.

Selepas sesi tikam menikam selasai, maka barulah terlerai antara yang hak dan batil. Menanglah si mamat Arab tersenyum puas dan tersengih lah kakak empunya kedai mengakui kesilapannya. Tidak kurang juga saya tergelak kecil gembira setelah berjaya memainkan watak sebagai orang tengah dengan jayanya. Keputusan akhirnya tercapai dan RM3 bertukar tangan.

Saya pun menjamah makanan yang diambil sambil duduk di sudut hujung kafe keseorangan. Menjamah sambil mengelamun kisah pandek sebentar tadi. Masalah bahasa menjadi punca segalanya bertambah serabut. Gelak saya sendirian.

Namun bila dikenang saya sebenarnya gelak kepada diri saya sendiri. Saya pun seakan begitu juga sebanarnya. Tidak fasih berbahasa Inggeris mahu pun Arab. Bagaimana jika hendak meluaskan dakwah kepada orang yang bahasa lidahnya bukan bahasa Melayu?.

Itu antara masalah yang sering ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah hadapi.

“USTAZ, CAN YOU SPEAK ENGLISH FLUENTLY?”

“SOME-SOME CAN LAH -(Sedikit-sedikit boleh lah),”

Harapnya saya tidak jawab sebegitu. Malu rasanya.

Sedar tidak sedar jam di tangan sudah menunjukkan pukul 7.15 malam. Cepat-cepat saya naik ke bilik bersiap untuk solat Maghrib berjamaah, selepas itu seperti biasa kena duduk memberi kuliah di surau mengisi senggang waktu yang ada.

“AFTER THIS MUST WE CLEVER SPEAK INGGERIS-(Selepas ini kenalah kita bijak cakap Inggeris),”

“NEW LAH PEOPLE WANT HEAR WHAT WE TALK-(Barulah orang nak dengar apa yang kita cakap),”

“YES NO?- “(Betul tak?)”

Khamis, April 16, 2009


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

FINAL EXAM DAH DEKAT,.. JOM STUDY LAST MINIT





Hanya beberapa hari lagi saya akan berdepan dengan peperiksaan, suatu ujian yang paling menakutkan bagi diri saya. Sejak dari alam sekolah lagi perkara yang paling saya tidak suka ialah PEPERIKSAAN. Ada orang yang suka ke bila menghadapi peperiksaan?

Waktu itulah biasanya orang lain akan melihat saya tidak semena-mena rajin mengendong buku kemana sahaja. Sebelum ini tidak pernah pun. Memang jenis saya ini malas nak study awal-awal, mungkin bagi saya study awal-awal ini buat lupa sahaja, baik study last minit. Lagi sharp...

Tapi bukannya saya ingin mengajar kepada kawan-kawan yang lain untuk ikut perangai saya. Sememangnya saya akui tidak betul pun ‘kepercayaan’ saya itu. Terpulanglah kepada sesiapa untuk bersetuju atau tidak. Tapi apa yang saya masih ingat, Cikgu Noraini guru metematik saya sewaktu tingkatan 5 dahulu setuju dengan saya. Bukan setuju supaya study last minit, tetapi setuju bahawa ada manusia ini yang mempunyai kemampuan untuk catch-up pelajaran walaupun last minit.

Saya masih ingat katanya sewaktu kami berhimpun di Dataran Ilmu Sekolah Izzuddin Shah:

“Cikgu ada ramai ana perempuan dan hanya seorang sahaja anak lelaki, tetapi rezeki bagi cikgu kerana cikgu diberi peluang untuk mengajar di sebuah sekolah yang semua anak muridnya lelaki. Beratus orang anak lelaki yang cikgu ada,” katanya dalam keadaan berseloroh.

“Cikgu nampak yang antara pelajar lelaki dan perempuan lain cara mereka belajar. Kalau pelajar perempuan mereka akan cuba pulun study sejak dari awal tahun semata-mata hendak target berjaya dalam peperiksaan. Mereka ini Allah jadikan mempunyai kemampuan untuk fokus dalam jangka masa yang lama, berbulan-bulan mereka mampu fokus dalam pelajaran mereka”.

“Lain pula cara pelajar lelaki belajar, mereka ini selalu belajar last minit tapi kelebihan yang Allah beri kepada mereka pula adalah mereka mampu untuk khatam subjek walaupun dah penghujung dah. Mereka ini lagi hebat”, sindirnya.

Walaupun mungkinlah apa yang saya tulis ini seakan menyokong dan ingin mengajak sahabat-sahabat untuk study last minit, tetapi hakikatnya tidak sebegitu. Sengaja saya ingin membuka perkongsian terpulang untuk sesiapa menilai kebenarannya.

Tetapi apa yang lebih menarik, belajar di saat akhir ini memang menjadi pilihan kebanyakan pelajar sama ada di sekolah atau pun di Institut Pengajian Tinggi.

Satu lagi cara pelajar yang study, ada sesiapa yang pernah jumpa manusia yang menghafal satu buku teks? Bukan sekadar hafal isinya, tetapi dengan bait-bait perkataannya sekali. Pelik kan??

Memang cara begitu memerlukan mujahadah yang cukup besar. Tapi bagi hamba allah yang seorang ini mungkin itulah cara yang terbaik baginya untuk sukses dalam pelajarannya. Kalau menyembang dengan kawan-kawan lama, pasti mereka tahu siapa kelibat manusia yang saya maksudkan. Memang unik cara dia belajar. Tapi amat membanggakan yang akhirnya dia merupakan antara pelajar terbaik SPM di sekolah dahulu.

Kembali semula perbincangan kita ke alam kampus. Bersiap sedialah dengan peperiksaan yang akan kita hadapi tidak lama lagi. Terpulanglah kepada cara masing-masing belajar, yang pasti setiap diri ada cara yang tersendiri untuk berjaya.

Jangan lupa yang diluar sana ramai orang yang yang menaruh harapan agar kita berjaya. Ibu, ayah, adik-beradik, keluarga dan sesiapa sahaja yang mengenal kita pasti ingin melihat kita berjaya. Maka jangan lupa kepada mereka.

Saya juga mengharapkan kamu berjaya.

Beserta doa dan harapan,

Bersiap sedia memasuki dewan peperiksaan. 