Isnin, Julai 26, 2010

KENANGAN MANIS BERSAMA ADIK-ADIK SIS & TA'AYAH


Pada 23 hingga 25 Julai lalu, saya berkesempatan menyertai program anjuran PBPSISTA (Persatuan Bekas Pelajar Sek. Izzuddin Shah & Raja Perempuan Ta'ayah).

Program yang dinamakan sebagai Program Motivasi Pembentukan Identiti Muslim dianjurkan khusus untuk pelajar-pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Program yang julung kali diadakan ini menjemput bekas-bekas pelajar SISTA tahun 2005 sebagai tenaga penggerak dan fasilitator kepada peserta.

Bertempat di Teluk Dalam Resort, Pulau Pangkor, program ini bukan sahaja menjadi kenangan manis kepada para peserta, namun turut dirasai oleh kami selaku bekas pelajar SIS & Ta'ayah tingkatan 5 tahun 2005.

Setelah hampir 5 tahun meninggalkan alam persekolahan malah ada yang terputus hubungan antara kami sebelum ini, kesempatan berkumpul semula pasti menggamit memori kisah-kisah hidup asrama dahulu.

Disini saya lampirkan gambar-gambar kami sewaktu program:


(Sesi Brainstorming sesama Fasilitator)


(Barisan fasilitator sempat mengabadikan kenangan bersama penceramah motiwasi terkenal Dr. H.M Tuah Al-Haj)


(Bergambar bersama salah seorang penceramah,Ustaz Zamri 'Mari Mengaji')


(Gambar bersama peserta sewaktu LDK dijalankan)


(Merakam kenangan bersama fasilitator yang terdiri dari batch SPM 2005 SIS & Ta'ayah)


(Menang tempat ketiga keseluruhan. Gambar berlatarbelakang permandangan indah Pulau Pangkor )


(Bergambar sebelum pulang di Jeti ke Pulau Pangkor. Memori yang tidak dapat dilupakan)

Ahad, Julai 18, 2010

PROGRAM KMK BERSAMA MASYARAKAT MERIAH..


Hari ini saya berasa sangat seronok. Sekali lagi saya dan beberapa orang penggerak Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK) berjaya menjalankan aktiviti bersama masyarakat di Pangsapuri Pantai Permai.

Hampir 100 kanak-kanak yang menyertai program SMART SOLAT kali ini. Program anjuran Jawatankuasa Penduduk Setempat mengundang kami sebagai tenaga pengajar untuk mendidik anak-anak warga pangsapuri ini.

Program yang kini masuk siri ke lima mendapat respon yang amat menggalakkan dari masyarakat setempat. Sememangnya ini merupakan hasrat kami untuk mewujudkan hubungan baik antara mahasiswa-mahasiswa yang tinggal sekitar Lembah Pantai untuk bersama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat sekeliling.

Ini adalah secebis usaha yang mampu kami tabur sebagai tanggungjawab Fardhu Kifayah yang terletak ke atas bahu kami. Kepuasan melihat peserta memberi respon yang baik serta kefahaman yang jelas sudah cukup bagi kami mengukir senyuman.

Insya-allah akan ada banyak lagi program-program yang menyusul,. Kami mengalu-alukan lebih ramai rakan-rakan luar kampus juga yang berada di dalam kolej kediaman untuk serta bersama-sama kami.

Di sini saya sertakan gambar-gambar kemeriahan program yang telah dianjurkan. Ibarat kata pepatah, sekeping gambar mampu bercerita seribu kisah.

Sekadar itu yang sempat saya coretkan. Insyaallah kita harapkan Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK) ini akan mampu terus menarik lebih ramai mahasiswa menyertainya,..

Umpama tema KMK yang biasa diungkap>>>

KMK.. " KITA ADALAH KELUARGA "


Gaya selamba Ustaz Taufiq menyampaikan ceramah dan tunjuk ajar amat menghiburkan...


Mengapa muka semua masam?.. Ada apa-apa yang tidak faham?..

Sejuk hati ibubapa melihat anak-anak mereka belajar kelas fardhu ain. Ibubapa juga bersama-sama membantu menyediakan juadah makan tengahari

Dihujung sana dua orang penggerak KMK dari siswi,. Ustazah Atiqah & Ustazah Afifah..


Slot Khas:.. Aktiviti mengurut badan sahabat,. Ukhwah lah katakan,. (^_^)


Selepas ceramah adik-adik dibahagikan mengikut Fasilitator.


Ustaz Zahiruddin; action depan kamera..

Seronok bersama adik-adik..


Gelagat Ustazah Atiqah,. Semua peserta minat dengan gaya penyampaiannya..


Senyum Adik-adik,.. S.E.N.Y.U.M..!!


Amali Solat yang dipantau oleh Ustaz2 jemputan..


Majlis Wida',. Sempat bergambar dengan adik-adik..

Cuba teka mengapa Ustaz Zahir tersenyum?


Kemeriahan makan tengahari bersama... Sajian yang menyelerakan,.. Amin


Kerana kamera,Ustaz Taufiq berada di situ,.. Jangan Marah.. huhu


Adik-Adik perempuan makan dengan khusyuknya,.. Nyum2x

Jumaat, Julai 16, 2010

MENGENALI MALAYSIAKU...


Saya ingin berkongsi sebuah buku dengan pembaca-pembaca blog IB_ADHAM. Sebuah buku yang amat menarik untuk ditelaah dan diambil manfaat daripadanya.

Buku diatas bertajuk MALAYSIA; ASAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA, INSTITUSI PEMERINTAHAN DAN LAMBANG KEBANGSAAN. Buku yang mengupas identiti Negara Malaysia dari sudut yang ilmiah berteraskan Perlembagaan Malaysia.

Buku ini ditulis oleh Datuk Chamil Wariya yang perupakan salah seorang penulis di Mingguan Malaysia. Datuk Chamil Wariya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kuala Lumpur dan merupakan bekas pengarang urusan TV3, bekas wartawan Utusan Melayu , Suara Rakyat dan Suara Merdeka. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Buku ini saya jumpa secara kebetulan apabila saya bersama adik saya pergi ke sebuah pameran buku di The Mines Resort 2 bukan yang lalu. Nyaris sahaja saya pulang dengan tangan kosong apabila tiada satu pun dari ribuan buah buku yang dipamerkan berjaya menambat hati saya. Namun mungkin sudah menjadi rezeki, buku putih ini berjaya saya miliki dan memberi kegembiraan serta kepuasan dalam hati saya.

Sudah lama saya mencari buku seperti ini. Dalam setahun ini buku-buku yang saya beli agak berat dari segi tajuknya. Saya mula menukar minat membaca dari buku-buku Gerakan Islam, Hukum-hakam Fiqh dan lain-lain jenis buku yang pernah memenuhi rak meja buku saya kepada satu bentuk penulisan yang kritikal.

Buku setebal 365 muka surat ini menceritakan seta mengupas ‘Malaysia’ secara hitam putih. Tulisan yang saya kira baik dan perlu menjadi bacaan wajib bagi sesiapa yang cintakan negara Malaysia.

Disini saya tuliskan tajuk-tajuk perbincangan yang telah diolah secara menarik dalam buku ini. Secara asas buku ini dipecahkan kepada 3 sub-tajuk utama:-

A) ASAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA

1) Permasyhuran Kemerdekaan

2) Persekutuan Tanah Melayu

3) Penubuhan Malaysia

4) Darjat Istimewa Sabah dan Sarawak

5) Penarikan Diri Brunei dari gagasan Malaysia

6) Penyingkiran Singapura.

7) Perlembagaan Persekekutuan

8) Demokrasi Berparlimen

9) Raja Berpelembagaan

10) Kontrak Sosial

11) Kewarganegaraan

12) Kebebasan Asasi

13) Pilihan raya

14) Ekonomi

15) Kedudukan Geografi Malaysia

16) Kkomposisi Penduduk

17) Melayu dan Bumiputera – Tarif Perlembagaan

18) Komposisi Penduduk

19) Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera

20) Ketuanan Politik Melayu

21) Asal Usul Bukan Melayu

22) Dasar Ekonomi Baru

23) Bangsa Malaysia

24) Wawasan 2020

25) Islam Hadhari

26) 1 Malaysia


B) INSTITUSI PEMERINTAHAN

1) Yang dI-Pertuan Agong

2) Majlis Raja-Raja

3) Sultan dan Yang di-Pertua Negeri

4) Dewan Rakyat dan Dewan Negara

5) Perdana Menteri dan Jemaah Menteri

6) Menteri Besar dan Ketua Menteri

7) Dewan Undangan Negeri

8) Badan Kehakiman

9) Pemerintahan Darurat – MAGERAN

10) Kerajaan Sementara

11) Suruhanjaya Pilihan Raya

12) Perkhidmatan Awam

13) Kerajaan Tempatan


C) LAMBANG KEBANGSAAN

1) Agama Persekutuan

2) Bahasa Kebangsaan

3) Rukun Negara

4) Jalur Gemilang

5) Lagu Kebangsaan

6) Ringgit Malaysia

7) Darjah Kebesaran

8) Hari Kemerdekaan

9) Pusat Pentadbiran Persekutuan

10) Perayaan Kebangsaan

11) Pakaian Kebangsaan

12) Hari Malaysia

Ini adalah tajuk-tajuk yang dikupas dalam buku tersebut. Untuk memahaminya dengan lebih mendalam selalunya saya memerlukan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN sebagai rujukan terhadap kupasan yang dibuat.


Antara persoalan serta fakta yang menarik yang saya dapai dalam buku ini ialah:

· Adakah benar kenyataan bahawa Akta Universiti & Kolej Universiti, Akta Polis, Akta Percetakan, Akta Hasutan dan beberapa akta lain bercanggah dengan Hak Asasi yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat?

· Adakah benar Malaysia hari tidak seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan 53 tahun lalu?

· Majlis Eksekutif, Badan Kehakiman dan Judisiari; adakah benar-benar terpisah atau realitinya ketiga-tiga badan ini telah dikuasai oleh Majlis Eksekutif.

· Datuk Rais Yatim mengatakan bahawa Jemaah Menteri yang ada di Malaysia jauh lebih berkuasa dari Jemaah Menteri di Britain hari ini. Adakah ini benar?

Buku diatas akan menjawab soalan-soalan tersebut dan menerangkan apakah Malaysia yang ada pada hari ini.

Rabu, Julai 14, 2010

SEMOGA SPEAKER CORNER SUBUR DI UNIVERSITI MALAYA...


Hati saya rasa puas apabila melihat Speaker Corner (SC) dilancarkan semula di perhentian bas perpustakaan utama UM pagi tadi.

Inilah sekecil-kecil usaha yang saya dan beberapa orang kawan yang lain inginkan. Saya ingin sahut cabaran Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah agar Speaker Corner ini hidup semula di kampus.

Speaker Corner sebenarnya bukanlah asing di kampus UM. seawal hujung 60'an dahulu sudut pidato sudah diwujudkan oleh mahasiswa sendiri. Sudut pidato yang diadakan asalnya hanyalah bertujuan untuk suka-suka, tiada terfikir untuk menggegar negara atau mengkritik kerajaan ketika itu.

Tetapi ternyata, kuasa yang ada pada Speaker Corner jauh lebih hebat. Sesiapa yang pernah mengkaji sejarah Universiti Malaya pasti akan menemui kisah bagaimana mahasiwanya 'tersedar' untuk bangkit memperjuangkan hak rakyat, mengubah negara malah menjadi salah satu force untuk menukar pimpinan Perdana Menteri ketika itu.

Semuanya bermula dari sudut hujung Perpustakaan Universiti Malaya. Kawasan sekangkang kera itu lahirnya Speaker Corner.

Saya pernah menonton kupasan mengenai Speaker Corner di Astro Awani beberapa bulan sudah. Mereka menunjukkan rakaman beberapa ahli Majlis Perwakilan Pelajar salah satu IPTA berpidato dengan bagitu baik. Ucapan yang diberikan amat baik.

Sedikit ironi saya merasakan apa yang dirakam itu hanyalah sebuah skrip yang telah disusun di belakang tabir, tidak lain hanya untuk dirakam dan dikeluarkan di kaca televisyen.

Bagi saya itu bukan Speaker Corner yang sebenar. Ia pasti akan mati rohnya sepertimana yang pernah terjadi di Universiti Malaya.

Saya imbau kembali kenangan lama sewaktu semester pertama pengajian.

Sewaktu itu saya bersama 4 orang rakan yang lain diamanahkan untuk uruskan SPEAKER CORNER yang julung kali diwujudkan semula. Speaker Corner ini yang dihidupkan semula setelah sekian lama dia di'haram'kan dengan kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Maka, cabaran yang menakutkan kami ialah berdepan dengan AUKU jika dikenakan.

Speaker Corner waktu itu digunakan sebagai salah satu instrument berdepan pilihanraya kampus.

Pelbagai cara dan pendekatan yang kami guna. Adakalanya dengan cara yang agak keras seakan-akan demonstrasi, tetapi ternyata mereka yang mendengar semakin senyisih diri. Malah semakin jauh untuk kami dekati.

Di pertengahan jalan, kami cuba membawa pendekatan yang lebih neutral. Isu yang dipilih juga dekat dengan hati mahasiswa. Antaranya tentang isu yuran kolej, pengangkutan, dan sebagainya.

Malah setakat yang paling membanggakan apabila tahun lepas, kami berjaya menyuarakan masalah penghuni kolej lapan yang tanpa disedari terpaksa membayar kos penginapan yang jauh lebih mahal dari harga sebenar.Setelah diadakan beberapa pertemuan akhirnya pihak pentadbiran kolej akur dan setuju mengembalikan bayaran lebihan kepada penghuni kolej.

Alhamdulillah, usaha dan pendekatan yang digunakan diterima. Paling tidak jika disebut mengenai Speaker Corner, pasti ada yang tahu kewujudannya.

Jika ada yang bertanya apakah resepi untuk berpencak di Speaker Corner, bagi saya jawapannya hanyalah satu.

"Berbicaralah dari hati, nescaya mereka yang mendengar akan memahami,.."

Isnin, Julai 12, 2010

PENDAKWARAYA GAGAL BUKTIKAN; TERTUDUH DIBEBAS MAJESTRAIT


(Bergambar selepas perbicaraan berakhir)

Kuala Lumpur- Mahkamah Majestrait 4 pagi ini memutuskan bahawa Mohamad Izzuddin Hilmi Bin Mohamad Zaini, salah seorang dari 5 tertuduh dalam kes contengan Puaka Rosmah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya tahun lepas dibebas tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

Hakim berkenaan, Puan Hafizza Binti Sauni memutuskan perkara tersebut pada jam 10.15 pagi tadi apabila berpuas hati bahawa pihak pendakwaraya gagal membuktikan wujudnya prima facie perbicaraan tersebut. Perbicaraan yang telah berlangsung pada 24 dan 25 Jun lepas telah memanggil 5 orang saksi bagi membantu pihak pendakwaan membuktikan tuduhan tersebut.

Mangikut keterangan yang diberi tertuduh dipercayai menunggang motorsikal yang dipercayai milik beliau dalam keadaan yang mencurigakan apabila nombor pendaftaran motorsikal tersebut digelapkan. Tertuduh ditahan di hadapan kolej kediaman ke 12 oleh beberapa pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu.

Berikut penahanan tersebut, tertuduh telah diserahkan ke pihak polis untuk direman selama seminggu. Tertuduh juga direman bagi membantu siasatan berhubung kes contengan serta simbahan minyak petrol di laluan masuk Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 24 Jun 2009.

Bagi tuduhan menggelapkan nombor pendaftaran motorsikal, beliau bersama-sama seorang rakan iaitu Mohd Shahruldeen Bin Ahmad Rosli telah dihadapkan ke Mahkamah Majestrait 4 pada 1 Julai 2009. Tuduhan dibacakan di bawah Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum denda maksimum RM300.

Namun pada tarikh 24 Jun 2010 iaitu genap setahun kes tersebut berlaku, pihak pendakwaraya bersetuju menggugurkan pertuduhan terhadap tertuduh kedua, Mohd Shahruldeen Bin Ahmad Rosli atas alasan tiada sebarang bukti yang dapat dikaitkan terhadap beliau. Perbicaraan diteruskan terhadap tertuduh pertama iaitu Mohamad Izzuddin Hilmi.

Bagi tuduhan contengan serta simbahan petrol, mereka beserta 3 tertuduh yang lain iaitu Syazni Munir Bin Mohh Ithnin, Mohd Aizat Bin Roslan dan Mohd Saufi Bin Jelani dituduh di Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang membawa hukuman dua tahun penjara, Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan mengakibatkan maksimum 10 tahun penjara dan Seksyen 447 iaitu kesalahan melakukan pencerobohan jenayah.

Sepanjang perbicaraan di Mahkamah Majestrait, pihak pendakwaan gagal dalam membuktikan kesalahan menggelapkan nombor pendaftaran kenderaan tersebut dilakukan oleh tertuduh. Begitu juga Pegawai Penyiasat yang mengaku cuai dalam menyimpan nombor pendaftaran yang didakwa digelapkan sehingga menyebabkan bukti utama dalam perbicaraan tersebut hilang dalam simpanan.

Ketika ditanya kepada Encik Arfizi Bin Ramli selaku peguambela, beliau mengatakan terdapat beberapa perkara yang turut disangsikan oleh mahkamah sepanjang perbicaraan.

Antara yang ditimbulkan ialah penahanan secara tidak sah oleh pengawal keselamatan yang tidak mempunyai kuasa menahan pesalah trafik. Turut juga ditimbulkan percanggahan yang ketara antara laporan polis yang dibuat oleh pengadu dengan keterangan yang dirakam di mahkamah.

Menurut Izzuddin Hilmi tertuduh utama yang telah dibebaskan, keputusan Mahkamah majestrait pada hari ini yang telah menggugurkan satu dari empat pertuduhan terhadap mereka merupakan kemenangan pertama mereka dalam perbicaraan ini.

Perbicaraan yang terhadap 3 lagi tuduhan akan diteruskan di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 pada 28 Julai ini.