Khamis, Julai 08, 2010
CEMAS,.. RUMAH JIRANKU TERBAKAR..!!!
"AMY..!!!, BANGUN AMY..!!!" jerit ayah.
"RUMAH SEBELAH TERBAKAR..!!!"
Saya yang baru terjaga dari tidur seperti terpinga-pinga mendengar jeritan ayah.
Muka jam menunjukkan pukul 2 petang. Hujan yang lebat masih mencurah turun ke bumi.
"Cepatlah, tunggu apa lagi," suara ayah mula meninggi. Nampak jelas muka ayah yang makin cemas.
Dalam keadaan mamai, hanya berkain pelekat dan berbaju T-shirt, saya bergegas ke rumah jiran sebelah.
"Tak nampak pun terbakar?"timbul persoalan dalam diri saya.
Keadaan rumah nampak elok dari luar. Tetapi apabila dilihat dari belakang dapur, asap keluar berkepul-kepul menerusi tingkap.
Pintu hadapan dan belakang terkunci rapat. Tuan yang menyewa rumah juga tiada di rumah ketika ini.
"Tak boleh jadi ni, nak tak nak kena kopak pintu rumah ni," kata ayah.
Asap yang keluar semakin tebal. Tiada siapa yang tahu sedasyat mana kebakaran yang ada dalam rumah itu. Setiap masa adalah penting dan mencemaskan.
"Kain pelekat pun kain pelekat lah," kata saya.
Pintu hadapan cuba untuk saya pecahkan dengan kaki. Semakin saya cuba, semakin kuat sepakan saya kenakan.
Saya tetap gagal pecahkan pintu hadapan.
Saya berlari ke belakang rumah. Rumah batu putih berkembar dua itu memang sukar untuk saya tembusi.
Tok Anjang, jiran saya yang turut berusaha membantu kami memadamkan kebakaran. Air paip yang ditembak menggunakan hos getah hanya sekadar usaha yang sia-sia selagi pintu tidak dapat dipecahkan.
Hampir 3 minit kemudian, satu lubang yang cukup besar dapat dibuat pada pintu kayu rumah itu.
Asap yang banyak keluar melalui celahan tingkap menyebabkan udara segar masuk dengan laju melalui lubang itu. Api yang sedia ada semakin cergas dengan adanya udara oksigen yang baru masuk dari luar.
"Biar Amy masuk ayah." kata saya.
Keadaan berjelaga dalam rumah amat menakutkan. Suasana gelap dan berasap memenuhi dalam rumah menyebabkan saya hanya mampu bertahan tidak lebih 20 saat.
Dengan segera baldi berisi air saya curahkan kepada api. 4 atau 5 baldi air juga saya perlukan untuk memadam api yang sedang membakar.
Apa yang pasti peti ais yang ada telah rentung menyembah bumi. Makanan mentah yang ada didalamnya rosak semua. Ikan yang ada juga sudah bertukar menjadi 'ikan panggang'.
"Kalau aku terperangkap dalam rumah ini, mungkin nasib aku dan ikan ini serupa," dengan segera saya keluar dari dalam rumah mendapatkan udara yang segar.
Tyrak Bomba beserta sebuah van baru sahaja sampai. Heboh satu Kampung Puah melihat trak bomba yang masuk ke kampung dengan tiba-tiba.
"Encik, mana tempat kebakaran?"soal petugas bomba.
"Alhamdulillah, sudah padam. Tapi kalau encik nak buat pemeriksaan silakan," kata saya.
Beberapa petugas bomba masuk segera ke dalam rumah. Perkara pertama yang dilakukan ialah memutuskan bekalan elektrik. Seterusnya memastikan kawasan benar-benar selamat.
"Nasib baik encik padam kebakaran dengan pantas," kata salah seorang petugas bomba kepada saya.
"Bila kebakaran berlaku dalam bagunan tertutup, udara akan menjadi kedap. Tekanan dalam bagunan itu akan menjadi rendah,"
"So, kalau kita pecahkan pintu atau tingkap, kita kena padamkan api secepat mungkin. Oksigen yang ada diluar akan mula masuk ke dalam bangunan dam menyemarakkan lagi api yang ada,"jelas petugas bomba itu.
"Oh, patutlah waktu saya pecahkan pintu tadi nampak macam udara masuk semula,"akhirnya kepelikan saya sebentar tadi terjawab.
Ini adalah ilmu yang baru.
Tidak lama selepas itu, orang kampung mula datang menjenguk khabar. Melihat, bersembang dan membuat persepsi sendiri lebih banyak dari menghulur bantuan.
Alhamdulillah, setelah setengah jam, semua selesai. Pihak bomba juga telah beransur pergi.
Selang beberapa minit. Tuan rumah sampai. Mukanya berubah setelah melihat keadaan rumahnya.Tetapi alhamdulillah, hanya kebakaran kecil walaupun tetap mengundang kerugian.
"Din, Terima kasih,. Ucap kat ayah juga terima kasih,"walaupun masih terkejut, dia masih boleh tersenyum.
"Tak ada kerugian besar, Nasib baik ada jiran sekeliling bantu dan bertindak pantas,"ujarnya lagi.
"Tak apa abang, sudah tanggungjawab," senyum saya.
"Mintak halal ye abang sebab pintu belakang rumah dah pecah,. Peti Ais tu pun sudah berkecai saya buat tadi gara-gara nak padam api," gelak saya.
Walaupun masih penat, tetapi bersyukur kerana telah buat sesuatu yang besar hari ini.
Bagi sesiapa yang pernah datang ke rumah saya, pasti anda akan perasan rumah kembar putih yang saya kisahkan ini,.
"Tak apa lah abang, jam pun pukul 3 petang, saya pun belum solat zohor lagi. Saya masuk dulu ye," kata saya sebelum mengakhiri perbualan kami.
"Oh ye, ada Ikan bakar dalam peti ais abang,"gelak saya.
"Ikan Bakar?,." pelik barangkali bunyinya. Semoga abang itu faham apa maksud saya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan