Rabu, Jun 16, 2010

KESEMUA 19 BARANG BUKTI TIADA KESAN PETROL- UTUSAN



KUALA LUMPUR 15 Jun - Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa tiada kesan bahan mudah terbakar ditemui pada kesemua 19 sampel bahan bukti yang dianalisis dalam kes lima pelajar Universiti Malaya (UM) yang didakwa membakar dewan fakulti universiti itu, tahun lalu.

Mohd. Fauzi Ghazali, 37, dari bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia menyatakan, kesemua bahan bukti yang diuji olehnya itu tidak mengandungi hidro karbon yang terdapat dalam bahan jenis mudah terbakar seperti petrol.

''Antara barangan yang dianalisis selain sampel yang diambil dari tempat kejadian, adalah sarung tangan getah, seutas jam tangan, sebentuk cincin, dua helai kemeja T, seluar panjang, tali pinggang dan beg sandang.

''Hidro karbon sejenis bahan yang mudah meruap dan apabila ia meruap sepenuhnya, ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan hidro karbon lagi walaupun dibungkus dengan baik,'' katanya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.

Saksi tersebut memberikan keterangannya pada hari pertama perbicaraan kes lima pelajar UM yang didakwa cuba melakukan khianat dengan menggunakan api sedangkan mereka mengetahui ia boleh menyebabkan kebinasaan.


Tertuduh terdiri daripada Mohamad Izzuddin Hilmi, Muhammad Syahruldeen Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle dan Mohammad Saufi Jelani, masing-masing berusia 22 tahun serta Mohd. Shazni Munir Mohd. Ithnin, 23.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pintu utama Dewan Utama Fakulti Akademi Pengajian Islam UM kira-kira pukul 4 pagi, 24 Jun tahun lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 436 dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.

Sumber:- Utusan Online 16 Jun 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan