Khamis, Jun 17, 2010

HANYA BAU, TIADA BUKTI PETROL DIJUMPAI - FORENSIK..



KUALA LUMPUR 16 Jun - Seorang pegawai forensik memberitahu bahawa beliau menemui empat helai permaidani merah yang berbau minyak semasa melakukan pemeriksaan kes dewan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) pada pertengahan tahun lalu.

Deputi Supritendan Shaikh Zainal Abidin Shaikh Omar, 54, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyatakan, beliau dan dua anggota lain melakukan calitan putik kapas ke atas permaidani tersebut untuk diserahkan kepada bahagian analisis.

"Kami juga mengambil baju yang dipakai oleh tertuduh pertama, Mohamad Izzuddin Hilmi selain jam tangan, cincin dan sarung tangan getah yang berada di dalam poket baju tersebut ketika tertuduh dibawa oleh Sarjan L. Thuraisingam," kata saksi pendakwaan kelapan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Shaikh Zainal berkata, selain itu beliau menemui catatan yang diulang lapan kali pada dinding semasa melakukan pemeriksaan di dinding laluan ke dewan akademi itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin pada hari kedua perbicaraan kes lima pelajar UM yang didakwa cuba melakukan khianat dengan api terhadap dewan fakulti universiti tersebut.

Peguam bela, Mohamed Arfizi Mohd. Ramli dalam pemeriksaan balasnya pula bertanyakan saksi tersebut sama ada terdapat minyak di tangan tertuduh pertama itu pada waktu itu.

Kata Shaikh Zainal, beliau tidak melihat minyak di tangan tertuduh tetapi tetap melakukan calitan putik kapas memandangkan itu adalah prosedur biasa yang dilakukan pihaknya.

Sementara itu, Thuraisingam, 37, dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields pula memberitahu, dia melakukan tangkapan kedua ke atas Mohamad Izzuddin selepas tertuduh diberkas oleh pengawal keselamatan UM, Saifulizam Mohd. Zaini.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, dia turut merampas sebuah motosikal jenis Honda WQA 4007, segugus kunci, cukai jalan kenderaan dan dua keping kad SIM.

Katanya lagi, dia kemudian menerima arahan daripada Shaikh Zainal agar membawa tertuduh ke tempat kejadian untuk menukar pakaian asal dengan pakaian lain yang disediakan pihak polis sebelum membawa pelajar itu ke Balai Polis Pantai.


Selain Mohamad Izzuddin, empat lagi pelajar UM yang dibicarakan ialah Muhammad Syahruldeen Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle dan Mohammad Saufi Jelani, masing-masing berusia 22 tahun serta Mohd. Shazni Munir Mohd. Ithnin, 23.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pintu utama Dewan Utama Fakulti Akademi Pengajian Islam UM kira-kira pukul 4 pagi, 24 Jun tahun lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 436 dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff bersambung 1 dan 2 Julai ini.

Utusan Malaysia: 17 Jun 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan