Ahad, Julai 04, 2010

HAKIM TEGUR PENDAKWARAYA; SAKSI TIDAK KONSISTEN..



KUALA LUMPUR 3 Julai - Perbicaraan lima pelajar Universiti Malaya yang didakwa bulan lalu atas pertuduhan menceroboh, menconteng dan cuba membakar Dewan Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) pada awal pagi 24 Jun 2009 diteruskan semalam dengan pendengaran tiga lagi saksi di hadapan hakim Rozana Ali Yusuff.

Perbicaraan penuh kontroversi ini menjadi topik hangat disebabkan contengan 'Altantuya', 'Bini Puaka', dan 'C4' pada dinding Dewan Utama dipercayai disasarkan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dijadualkan hadir untuk satu majlis pada 26 Jun 2009 di dewan tersebut.

Saksi pertama, Pegawai Penyiasat (IO) Ketua Inspektor Shaharudin Tahir memberi keterangan dan pengesahan berkenaan barang bukti yang dijumpai di Blok F Fakulti Kejuruteraan Awam UM dan juga mengesahkan berkenaan telefon bimbit dan kad SIM yang dirampas daripada tertuduh Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli.

Beliau juga mengesahkan bahawa beliau telah menyoal siasat tertuduh tanpa kebenaran daripada pegawai atasan.

"Saya tidak perlu mendapatkan kebenaran untuk membuat soal siasat kerana itu merupakan tangungjawab saya sebagai anggota penyiasat, untuk memulakan siasatan termasuk soal siasat bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang dapat membantu siasatan," kata Shaharudin menjawab soalan peguambela Arfizi Ramli berkenaan soal siasat.

Arfizi kemudian bertanya, "Setuju atau tidak jika saya katakan tertuduh telah dipaksa mengaku dengan soal siasat?". Shaharudin menyatakan tidak bersetuju dengan soalan Arfizi.

Peguambela Zulhazmi Shariff bertanyakan berkenaan percanggahan pada tarikh laporan polis yang menyatakan tarikh senarai barangan untuk dicari (search list) dikeluarkan sehari selepas barangan dirampas.

"Apa maksudnya, barangan telah dirampas dan hanya kemudian 'search list' dibuat?" tanya Zulhazmi.

Jawapan Shaharudin yang mengatakan percanggahan disebabkan kesilapan menulis tarikh dibidas serta-merta oleh Zulhazmi, bertanyakan samada hanya hari ini Shaharudin sedar akan kesilapan ini.
Pendakwaraya yang cuba membantu menjawab bagi pihak Shaharudin ditegur keras oleh hakim, menyatakan Shaharudin patut menjawab, bukan pendakwaraya.


Saksi kedua hari ini, Zairunhizam Mohd Jaini, 34, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada masa itu mengaku telah memberikan laporan polis bercanggah dengan kenyataan beliau di mahkamah hari ini.

Apabila ditanyakan siapa yang merampas telefon, sarung tangan dan kad SIM daripada Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini tanpa kuasa yang ditahan pada malam tersebut, Zairunhizam hanya mengatakan tidak tahu kerana beliau telah meninggalkan Izzuddin di pondok pengawal.

Dalam kenyataan Zairunhisham, beliau mengaku telah mengatakan kepada Izzuddin bahawa beliau akan membawa Izzuddin ke balai polis kerana nombor plat motornya dicat hitam dan telah membawa Izzuddin ke Dewan Utama tanpa diberitahu.

"Setuju atau tidak jika saya katakan anda cuba mengaitkan apa yang telah berlaku di Dewan Utama dengan Izzuddin?" tanya Arfizi dan Zairunhisham bersetuju dengannya.

Arfizi juga menegur percanggahan kenyataan Zairunhisham dengan laporan polis yang dibuat olehnya pada hari kejadian. Zairunhisham telah melaporkan Izzuddin telah mengaku bersalah terhadap contengan dan simbahan petrol tetapi hari ini beliau menyatakan Izzuddin tidak langsung berkata apa-apa semasa ditahan olehnya.

"Bagaimana anda tahu Izzuddin mengaku bersalah sedangkan beliau tidak langsung berkata pada malam itu?" tanya Arfizi lagi.

"Saya percaya Izzuddin mengaku kerana dia membonceng dengan saya," jawab Zairunhisham.

Hadirin mahkamah tergelak mendengar kenyataan Zairunhisham.

Manakala saksi ketiga, Abdul Mutalib Ahmad Adnan, 48 tahun, pengawal keselamatan UM berkata semasa tahanan dibuat hinggalah penyerahan kepada polis, Izzuddin tidak langsung mengatakan beliau mengaku atas perbuatan itu, tetapi hanya mendiamkan diri dan telah meminta maaf beberapa kali semasa berada di dalam Dewan Utama.

"Adakah Izzudin katakan bahawa beliau yang membuat semua contengan dan simbahan petrol?" tanya Arfizi.

"Mutalib menjawab, "Tidak ada, dia tidak katakan begitu."

Zulhazmi meneruskan, "Kamu ambil tindakan kerana terdapat perkataan 'Altantuya', 'C4', 'Bini puaka' dan sebagainya. Adakah anda akan mengambil tindakan yang sama jika tertulis 'aku cinta padamu'?"

Mutalib menjawab beliau akan mengambil tindakan kerana itu merupakan tanggungjawab beliau.

Zulhazmi bertanya lagi, "Setuju atau tidak saya katakan jika kejadian ini berlaku dan anda tidak membuat tangkapan, anda yang akan dipersalahkan?"

"Ya, saya setuju," jawab Mutalib.

Prosiding hari ini ditangguhkan setelah selesai dengan saksi ketiga, dan pendakwaraya dijangkakan akan memanggil tujuh orang saksi lagi untuk memberi keterangan. Perbicaraan akan disambung semula pada 9 Julai hadapan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan