Rabu, Julai 14, 2010

SEMOGA SPEAKER CORNER SUBUR DI UNIVERSITI MALAYA...


Hati saya rasa puas apabila melihat Speaker Corner (SC) dilancarkan semula di perhentian bas perpustakaan utama UM pagi tadi.

Inilah sekecil-kecil usaha yang saya dan beberapa orang kawan yang lain inginkan. Saya ingin sahut cabaran Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah agar Speaker Corner ini hidup semula di kampus.

Speaker Corner sebenarnya bukanlah asing di kampus UM. seawal hujung 60'an dahulu sudut pidato sudah diwujudkan oleh mahasiswa sendiri. Sudut pidato yang diadakan asalnya hanyalah bertujuan untuk suka-suka, tiada terfikir untuk menggegar negara atau mengkritik kerajaan ketika itu.

Tetapi ternyata, kuasa yang ada pada Speaker Corner jauh lebih hebat. Sesiapa yang pernah mengkaji sejarah Universiti Malaya pasti akan menemui kisah bagaimana mahasiwanya 'tersedar' untuk bangkit memperjuangkan hak rakyat, mengubah negara malah menjadi salah satu force untuk menukar pimpinan Perdana Menteri ketika itu.

Semuanya bermula dari sudut hujung Perpustakaan Universiti Malaya. Kawasan sekangkang kera itu lahirnya Speaker Corner.

Saya pernah menonton kupasan mengenai Speaker Corner di Astro Awani beberapa bulan sudah. Mereka menunjukkan rakaman beberapa ahli Majlis Perwakilan Pelajar salah satu IPTA berpidato dengan bagitu baik. Ucapan yang diberikan amat baik.

Sedikit ironi saya merasakan apa yang dirakam itu hanyalah sebuah skrip yang telah disusun di belakang tabir, tidak lain hanya untuk dirakam dan dikeluarkan di kaca televisyen.

Bagi saya itu bukan Speaker Corner yang sebenar. Ia pasti akan mati rohnya sepertimana yang pernah terjadi di Universiti Malaya.

Saya imbau kembali kenangan lama sewaktu semester pertama pengajian.

Sewaktu itu saya bersama 4 orang rakan yang lain diamanahkan untuk uruskan SPEAKER CORNER yang julung kali diwujudkan semula. Speaker Corner ini yang dihidupkan semula setelah sekian lama dia di'haram'kan dengan kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Maka, cabaran yang menakutkan kami ialah berdepan dengan AUKU jika dikenakan.

Speaker Corner waktu itu digunakan sebagai salah satu instrument berdepan pilihanraya kampus.

Pelbagai cara dan pendekatan yang kami guna. Adakalanya dengan cara yang agak keras seakan-akan demonstrasi, tetapi ternyata mereka yang mendengar semakin senyisih diri. Malah semakin jauh untuk kami dekati.

Di pertengahan jalan, kami cuba membawa pendekatan yang lebih neutral. Isu yang dipilih juga dekat dengan hati mahasiswa. Antaranya tentang isu yuran kolej, pengangkutan, dan sebagainya.

Malah setakat yang paling membanggakan apabila tahun lepas, kami berjaya menyuarakan masalah penghuni kolej lapan yang tanpa disedari terpaksa membayar kos penginapan yang jauh lebih mahal dari harga sebenar.Setelah diadakan beberapa pertemuan akhirnya pihak pentadbiran kolej akur dan setuju mengembalikan bayaran lebihan kepada penghuni kolej.

Alhamdulillah, usaha dan pendekatan yang digunakan diterima. Paling tidak jika disebut mengenai Speaker Corner, pasti ada yang tahu kewujudannya.

Jika ada yang bertanya apakah resepi untuk berpencak di Speaker Corner, bagi saya jawapannya hanyalah satu.

"Berbicaralah dari hati, nescaya mereka yang mendengar akan memahami,.."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan