Khamis, Jun 17, 2010

HANYA BAU, TIADA BUKTI PETROL DIJUMPAI - FORENSIK..



KUALA LUMPUR 16 Jun - Seorang pegawai forensik memberitahu bahawa beliau menemui empat helai permaidani merah yang berbau minyak semasa melakukan pemeriksaan kes dewan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) pada pertengahan tahun lalu.

Deputi Supritendan Shaikh Zainal Abidin Shaikh Omar, 54, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyatakan, beliau dan dua anggota lain melakukan calitan putik kapas ke atas permaidani tersebut untuk diserahkan kepada bahagian analisis.

"Kami juga mengambil baju yang dipakai oleh tertuduh pertama, Mohamad Izzuddin Hilmi selain jam tangan, cincin dan sarung tangan getah yang berada di dalam poket baju tersebut ketika tertuduh dibawa oleh Sarjan L. Thuraisingam," kata saksi pendakwaan kelapan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Shaikh Zainal berkata, selain itu beliau menemui catatan yang diulang lapan kali pada dinding semasa melakukan pemeriksaan di dinding laluan ke dewan akademi itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin pada hari kedua perbicaraan kes lima pelajar UM yang didakwa cuba melakukan khianat dengan api terhadap dewan fakulti universiti tersebut.

Peguam bela, Mohamed Arfizi Mohd. Ramli dalam pemeriksaan balasnya pula bertanyakan saksi tersebut sama ada terdapat minyak di tangan tertuduh pertama itu pada waktu itu.

Kata Shaikh Zainal, beliau tidak melihat minyak di tangan tertuduh tetapi tetap melakukan calitan putik kapas memandangkan itu adalah prosedur biasa yang dilakukan pihaknya.

Sementara itu, Thuraisingam, 37, dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields pula memberitahu, dia melakukan tangkapan kedua ke atas Mohamad Izzuddin selepas tertuduh diberkas oleh pengawal keselamatan UM, Saifulizam Mohd. Zaini.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, dia turut merampas sebuah motosikal jenis Honda WQA 4007, segugus kunci, cukai jalan kenderaan dan dua keping kad SIM.

Katanya lagi, dia kemudian menerima arahan daripada Shaikh Zainal agar membawa tertuduh ke tempat kejadian untuk menukar pakaian asal dengan pakaian lain yang disediakan pihak polis sebelum membawa pelajar itu ke Balai Polis Pantai.


Selain Mohamad Izzuddin, empat lagi pelajar UM yang dibicarakan ialah Muhammad Syahruldeen Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle dan Mohammad Saufi Jelani, masing-masing berusia 22 tahun serta Mohd. Shazni Munir Mohd. Ithnin, 23.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pintu utama Dewan Utama Fakulti Akademi Pengajian Islam UM kira-kira pukul 4 pagi, 24 Jun tahun lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 436 dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff bersambung 1 dan 2 Julai ini.

Utusan Malaysia: 17 Jun 2010

Rabu, Jun 16, 2010

KESEMUA 19 BARANG BUKTI TIADA KESAN PETROL- UTUSAN



KUALA LUMPUR 15 Jun - Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa tiada kesan bahan mudah terbakar ditemui pada kesemua 19 sampel bahan bukti yang dianalisis dalam kes lima pelajar Universiti Malaya (UM) yang didakwa membakar dewan fakulti universiti itu, tahun lalu.

Mohd. Fauzi Ghazali, 37, dari bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia menyatakan, kesemua bahan bukti yang diuji olehnya itu tidak mengandungi hidro karbon yang terdapat dalam bahan jenis mudah terbakar seperti petrol.

''Antara barangan yang dianalisis selain sampel yang diambil dari tempat kejadian, adalah sarung tangan getah, seutas jam tangan, sebentuk cincin, dua helai kemeja T, seluar panjang, tali pinggang dan beg sandang.

''Hidro karbon sejenis bahan yang mudah meruap dan apabila ia meruap sepenuhnya, ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan hidro karbon lagi walaupun dibungkus dengan baik,'' katanya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.

Saksi tersebut memberikan keterangannya pada hari pertama perbicaraan kes lima pelajar UM yang didakwa cuba melakukan khianat dengan menggunakan api sedangkan mereka mengetahui ia boleh menyebabkan kebinasaan.


Tertuduh terdiri daripada Mohamad Izzuddin Hilmi, Muhammad Syahruldeen Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle dan Mohammad Saufi Jelani, masing-masing berusia 22 tahun serta Mohd. Shazni Munir Mohd. Ithnin, 23.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pintu utama Dewan Utama Fakulti Akademi Pengajian Islam UM kira-kira pukul 4 pagi, 24 Jun tahun lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 436 dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.

Sumber:- Utusan Online 16 Jun 2010

Selasa, Jun 08, 2010

SAYA, BOLA DAN KENANGAN...


Cikgu Zaidin menutup bukunya menandakan selesai tugasnya mengajar di kelas 4 Kenari.

“Siapa yang suka main bola?” tanya Cikgu Zaidin.

Boleh kata hampir semua pelajar lelaki di dalam kelas itu mengangkat tangan, namun masih ada beberapa kelibat pelajar yang mendiamkan diri.

“Izzuddin, kamu tak angkat tangan? Kenapa?” soal Cikgu kepada saya.

“Saya tak minat sangat main bola cikgu,”
jawabku ringkas.

“Pelik, cikgu rasa semua budak lelaki suka main bola. Kamu ni pelik agaknya,” sakat Cikgu Zaidin.

Satu kelas melihat saya. Tiba-tiba sahaja saya menjadi perhatian.

Sejak itu sudah ada orang yang tahu yang saya tak berapa pandai main bola.

****************************************

KENANGAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN..


Pernah sewaktu di sekolah dahulu heboh satu musolla gara-gara pertandingan bola EURO 2004. Pelajar Sekolah Izzuddin Shah turut sama terkena tempiasnya.

Mana tidak, kebetulan atas permintaan pelajar senior, Ketua Warden ketika itu membenarkan kami menonton bola sepak ala-ala wayang pacak bersebelahan dengan musolla. Kuliah yang biasanya diadakan lepas maghrib juga ditunda dek gara-gara EURO ketika itu.


(Musolla Sekolah Izzuddin Shah)

Dalam keseronokan menonton bola, azan Isya’ berkumandang. Ustaz Munawir yang ketika itu selaku Guru Disiplin bertindak menghalau pelajar-pelajar yang tak henti-henti menghadap layar dari tadi.

Dalam kerancakan pertandingan yang sedang berlangsung, 'budak-budak' yang solat di belakang imam semakin gelisah. Mungkin gelisah kerana berbelah bahagi antara bola dan solat, tetapi yang pasti, ada sesuatu yang tidak kena dengan solat Isya’ ketika itu.

Selesai sahaja solat, tanpa diduga Abang Fauzi, pelajar STAM yang dianggap paling senior di sekolah pun bangun ke hadapan memegang microfon.

"Maaf ganggu, Abang harap kome dapat solat semula. Solat kome semua tak sah. Macam mana imam boleh lupa baca Fatihah rakaat kedua?" Tegur Abang Fauzi.

Ketika itu gamatlah suasana musolla dek kerana isu imam tak baca fatihah dalam solat. Semua orang tahu imam ketika itu memang kaki bola, akhirnya bola entah ke mana, solat entah ke mana.

Riuhlah malam itu. Yang mana sempat mufaraqah berkejaranlah mereka ke tepi padang menyambung keseronokan menonton bola. Bagi yang lain terpaksa menggantikan solat mereka tadi. Dihujung surau Ustaz Munawir sudah bersedia dengan rotan panjangnya mengawal pintu agar jangan ada pelajar yang mengambil kesempatan.

Saya dan beberapa kawan yang sempat mufaraqah hanya ketawa melihat suasana DEMAM BOLA di musolla ketika itu.

BUKAN SAYA TAK PERNAH MAIN BOLA...

Tipu kalau saya kata saya tak pernah main bola. Sekadar main untuk keluarkan peluh petang-petang di hadapan blok asrama Ibnu Majah sudah cukup bagi saya.

"Wah, Presiden BADAR main bola!!!"
sakat kawan saya.

Mungkin bagi mereka bagai suatu 'keajaiban' jika mereka nampak saya turun padang. Jarang sekali nampak Izzuddin turun bermain.

"Korang ingat aku ni tak pandai main bola ke?" jawab saya.

"Aku malas nak main dengan korng, nanti korang kalah,"jawab saya lagi secara spontan.

Berdekah-dekah mereka gelak. Mereka tau jawapan saya hanya alasan. Saya juga tahu akan hakikat itu, dan kami gelak bersama.

SELALU KALAH...


Minggu BADAR Sekolah Izzuddin Shah tidak bermakna tanpa pertandingan bola antara beberapa pasukan. Piala BADAR memang menjadi target oleh setiap kumpulan yang bertanding.


(Kemeriahan suasana di tepi padang Sekolah Izzuddin Shah, kenangan yang tak akan luput dalam ingatan)

"Izzuddin, camne group kau tadi? Berapa goal dapat?"
tanya Shahrun Nazif.

"Dapatlah SATU, bolosnya LIMA, haha!!!" ketawa kami semua.

Cukup-cukuplah bagi saya menyertai pertandingan Piala BADAR sewaktu tingkatan 2. Selepas itu setiap kali ada dianjurkan Piala BADAR saya memang tak masuk.


(Kenangan di Nilam Puri April 2008)


Bagitu juga kenangan sewaktu di Nilam Puri. Satu group telah dibentuk yang ahli-ahlinya terdiri dari barisan MPP & JTK. Sekadar memeriahkan suasana, kumpulan kami turut bercita-cita memenangi liga bola sepak yang dianjur.

"Izzuddin, hang jadi pertahanan,"
Kata Fahmi Suhaimi selaku ketua kumpulan merangkap Goal Keeper.

“Ok boss!. Jangan risau,” jamin saya.

Sosok tubuh kami antara yang paling besar antara semua. Maka harapan sememangnya diletakkan kepada kami berdua. Ahmad, Asri dan Rizal entah tidak Nampak dari tadi.

Dihujung perlawanan kami selama 20 minit menyaksikan keputusan satu berbalas lima.

“Lima gol! Dasyat tu,..” tersentak Asri mendengarnya.

“Huh, Lima gol tu bukan gol kita pun, kita punye satu je,”gelak Fahmi.

“Yang lima tu bolos, salah satu Izzuddin yang score, GOL SENDIRI,..” sindir Fahmi.

Bagi kami itu semuanya adalah kenangan. Kenangan yang tidak mungkin kami lupakan.

**********************************************

Saya bukan seorang yang begitu minat bermain bola apatah lagi hebat bermain. Namun disebalik itu semua masih ada beberapa kenangan yang menarik jika ada yang mahu bercerita mengenai bola dengan saya.

Dalam banyak kelebihan yang Allah kurniakan kepada saya, masih ada juga kelemahan-kelemahan yang wujud dalam diri saya.

Namun itu semua manis sebenarnya bagi saya untuk dikenang.

Jumaat, Jun 04, 2010

ISU JUDI & SERANGAN ISRAEL: SYIAR ISLAM SEMAKIN MENYERLAH.

Menarik!!!

Dua isu ini memang menarik untuk dikaji.

Dua isu ini baru sahaja berlaku. Satu isu tempatan manakala satu lagi isu melibatkan isu antarabangsa.

Saya melihat isu judi sukan & isu serangan Israel terhadap Flotila menarik perhatian ramai. Bukan itu sahaja, dua isu ini tidak jauh jika dilihat dari pandang sisi Islam.


ISU JUDI SUKAN; NON-MUSLIM JUGA MEMBANTAH...

Dari minggu lepas lagi sebenarnya saya ingin respon mengenai isu judi atau yang lebih tepatnya isu judi bola yang telah diberi lesen oleh kerajaan Malaysia, cuma ketika itu saya tidak berkesempatan untuk membuat sedikit coretan di sini.

Apabila Kerajaan menyatakan hasrat untuk memberi lesen judi kepada sebuah syarikat (Ascot Sport Sdn Bhd) bersempena berlangsungnya pertandingan Bola Sepak Piala Dunia atas alasan bagi mengekang berlakunya perjudian sukan secara haram (tanpa lesen), maka ramai yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan tersebut.

Secara jelas dinyatakan di dalam Al-Qur’an bahawa status mengharaman judi adalah secara Qat’ie. Hukum ini adalah disepakati secara Ijma’ di kalangan Fuqaha dengan merujuk dari ayat ke 90 dari surah Al-Maidah:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, menyembah berhala dan menilik nasib merupakan perbuatan keji dari perbuatan syaitan maka hindarlah moga kamu beroleh kejayaan”

Tindakan kerajaan yang mengeluarkan lesen judi dilihat cuba memberi nafas kepada membenarkan masyarakat berjudi. Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

Bermula dengan kelantangan para ulama yang membidas tindakan tersebut, penjelasan mengenai isu ini mula meresap ke dalam masyarakat Islam di Malaysia. Cemuhan, kritikan serta beberapa siri demonstrasi diadakan bagi menyampai mesej tersebut.

Malah, lebih drastik apabila bukan sahaja umat Islam di Malaysia yang menyatakan bantahan, rakan-rakan NON-MUSLIM juga senada dengan kita.

Seorang sahabat saya yang berketurunan cina turut sama menyatakan betapa beliau tidak setuju dengan perlaksanaan judi bola. Beliau yang lebih saya kenali dengan nama Lee tidak melihat kebaikan langsung dengan membenarkan lesen judi dikeluarkan.

“Kalau dengan mengeluarkan lesen judi kepada hanya syarikat tertentu dan dari pengeluaran lesen judi itu kerajaan pun boleh dapat untung dari cukai yang mereka dapat, aku memang tak setuju,” ini yang dinyatakan Lee kepada saya.

Malah secara berani beberapa Pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Selayang dan Majlis Bandaraya Ampang Jaya menyatakan pendirian tidak akan membenarkan mana-mana premis menjalankan perjudian semasa Piala Dunia berlangsung.

Malah, bukan itu sahaja. Lebih membanggakan apabila kerajaan Pulau Pinang yang ditajui oleh Lim Guan Eng (DAP) secara tegas enggan membenarkan sebarang judi bola di Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, dengan serius DAP menyatakan tindakan mereka untuk membentangkan usul mengharamkan judi bola ini ke parlimen apabila parlimen mula bersidang Jun ini.

Apa yang saya dapati, isu judi bola ini bukan hanya berlegar di sekitar masyarakat muslim di Malaysia, malah kita boleh bersetuju bahawa masyarakat bukan islam juga menerima hikmah pengharaman judi yang telah disyariatkan oleh Islam sejak 1400 tahun dahulu.

Mulianya Islam,. Kemuliannya mula dirasai oleh semua orang.


ISU SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA


Dalam minggu ini kita digemparkan apabila sekumpulan kapal yang membawabahan bantuan yang terdiri dari barang-barang asas bagi membantu masyarakat Palestin yang sengsara diserang oleh sekumpulan komando Israel.

Serangan tersebut dilancarkan oleh Israel atas alasan kapal-kapal tersebut dipercayai membawa beberapa bahan api yang akan diseludup kepada rakyat Palestin.

Akibatnya beberapa buah kapal antaranya Mavi Marmara yang disertai 480 sukarelawan dari beberapa negara diserang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 dari mereka terbunuh.

Antara yang terlibat dalam misi bantuan tersebut adalah sekumpulan 12 aktivis keamanan dari Malaysia yang menamakan diri mereka Lifeline4Gaza turut ditahan.

Sebaik berita tersebut tersebar, atas nama hak asasi manusia, kita dapat melihat bukan hanya masyarakat Islam sahaja yang tercalit dengan kezaliman Israel, malah beberapa negara serta masyarakat lain memberikan respon terhadap isu tersebut.

Selain Jordan, Malaysia, Turki dan beberapa negara Arab yang mengecam tindakan serangan tersebut, negara-negara seperti Sweeden, Greece, Spanyol malah Denmark yang sebelum ini banyak berkonfrontasi dengan negara Islam turut berdiri bersama dalam menyatakan bantahan terhadap serangan ini.

Tragedi ini semacam membuka mata seluruh dunia bahawa rakyat Palestin yang hampir 70 tahun ditindas oleh Regim Israel perlu dibantu segera. Malah desakan yang diberikan oleh sebahagian besar penduduk dunia menyebabkan PBB terpaksa melatah mengecam tindakan tersebut.

Isu Palestin yang selama ini hanya dijuarai oleh negara-negara Islam sahaja mula diberi perhatian oleh masyarakat dunia.

DUA ISU YANG MENYATUKAN..

Kerana itu saya melihat disebalik beberapa isu yang berlaku ini melihatkan syiar Islam dilihat oleh masyarakat bukan hanya yang beragama Islam, turut sama diperjuangkan oleh masyarakat Non-Muslim serta masyarakat antarabangsa.

Saya melihat ia sesuatu yang menarik jika sebelum ini isu-isu yang diketengahkan seperti isu judi dan Palestin hanya tertumpu kepada umat Islam, namun ternyata isu tersebut turut memberi kesan kepada umat lain.

Dengan itu saya amat yakin kebangkitan Islam itu akan dapat ditegakkan akhirnya, Insyaallah...