Rabu, September 30, 2009

MAHASISWA: DAHULU & SEKARANG...



“Kalau setakat masuk ke alam kampus dan lepas ‘grade’ nak jadi orang yang biasa-biasa je baik tak payah”

“Kenapa Pak Su?” jawab saya seolah-olah ingin menyanggah provokasi yang cuba dicipta olehnya.

“Universiti ini hebat tau tarafnya,”sambungnya lagi.

Sambil tangannya membuka beberapa balang kuih raya. Pak Su terus bersandar dan memulakan semula bual bicaranya.

“Sesebuah universiti dikira hebat bukan kerana orang yang masuk ke dalamnya hebat-hebat,” kata Pak Su.

“Habis tu?” saya bertanya.

“Tetapi sesebuah universiti dikira hebat kerana universiti itu mampu ‘mencetak’ manusia yang hebat,” jawabnya ringkas.

Terkedu juga saya mendengarnya. Bernas juga lontaran idea Pak Su.
Pak Su juga seorang bekas mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar penghujung tahun 80an. Seorang yang sederhana dan mungkin bukan salah seorang aktivis mahasiswa. Namun banyak pengalaman beliau yang dapat dicerapnya dan ingin dikongsikan.

“Alam mahasiswa sepatutnya mencabar. Kalau tiada sesuatu yang mencabar, cari cabaran yang baru dalam hidup. Inilah yang perlu dipelajari di kampus,” terang Pak Su.

“Zaman Pak Su dengan zaman sekarang sudah banyak berbeza. 20 tahun dah Pak Su tinggalkan alam kampus,” ujar saya hanya untuk menduga.

“Apa pulak kena mengena dengan masa? Student sendirilah yang mencorak hidup mereka,” jawabnya.

Saya mula tersenyum.

“Di universitilah tempat berkumpulnya bermacam ragam manusia. Mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa perhatian dan kongkongan sesiapa. Universiti bukan macam sekolah. Alam persekolahan sudah habis.”

“Tak kan nak jadi budak sekolah lagi?” gelak Pak Su.

Pak Su terus mengunyah kuih raya yang tersedia di atas meja. Beberapa kali juga dia menghirup air teh yang dibawa oleh Mak Su.

Maklumlah, suasana hari raya masih lagi meriah ketika ini. Kebetulan Pak Su bertandang ke rumah saya petang ini. Melihat telatah anak-anaknya yang masih kecil berlari-lari membuatkan hati saya teruja dengan kemeriahan raya. Bukan sesiapa pun, sepupu saya juga.

“Dulu tahun 60-an, heboh orang kata zaman kegemilangan kebangkitan mahasiswa,” sambungnya lagi.

“Tau.. Ada pernah terbaca,”tertarik saya menjawab.

“Zaman itu kampus menjadi tempat berkumpul anak-anak kampung. Mereka datang dari pelbagai latar belakang keluarga. Kebanyakannya dari keluarga yang susah. Waktu itu Universiti Malaya yang paling famous,”

“Bila mereka datang ke kampus, mereka tengok sendiri kemajuan yang ada di pusat bandar KL. Kehidupan yang mewah, bangunan yang besar-besar, dan lain-lain lagi yang jauh berbeza dengan kehidupan sebenar mereka,”

“Mereka mula membandingkan kesusahan masyarakat desa yang jauh bezanya dengan masyarakat bandar. Mereka mula bangun membela rakyat rang tertindas. Dari situ lah menjadi titik mula kebangkitan mahasiswa dan mahasiswa menjadi suara kepada rakyat,” terang Pak Su kepada saya.



Perjuangan Mahasiswa Membela Rakyat Sewaktu Demonstrasi Baling Pada Disember 1974, Pada Awal Tahun 1975 AUKU Dipinda Bagi Mengongkong Gerakan Mahasiswa Yang Sedang Memuncak.



Dalam diam saya mula terfikir, tahu juga Pak Su tentang sejarah kebangkitan mahasiswa zaman dulu.

“Jangan ingat Paksu tak tau,” gelaknya panjang seakan-akan memahami apa yang terbuku dalan hati saya.

***********************************

Hasil dari perbincangan dengan Pak Su agak menarik. Perbincangan yang banyak berlegar mengenai alam kemahasiswaan menyebabkan saya berminat untuk berkongsi dengan semua.

Anda sebagai seorang mahasiswa, adakah anda merasa anda sudah cukup selesa dengan kehidupan anda seharian? Dengan merasa selesa sebenarnya akan membunuh kehidupan anda pada masa hadapan.

Umumnya, apabila membincangkan gerakan mahasiswa, akan terjumpa beberapa ungkapan yang sinonim dengannya, seperti: “kumpulan pendesak (pressure group)”, “watchdog”, “tradisi mencabar”, “student rebellion”, “student revolt”, ”student resistance”, “studentpower”, “bersama rakyat” dan sebagainya. Ada waktunya, masyarakat memberikan pula ungkapan yang tidak begitu sesuai sebagai reaksi: “rebel without cause” dan “angry young men”.

Melihat kepada ungkapan-ungkapan yang disebutkan diatas seakan menggambarkan bahawa mahasiswa seumpama mempunyai kekuatan yang tertentu yang boleh dimanipulasi bagi mencapai keinginan yang dihajati.

Saya kurang bersetuju andai kita terlalu melaungkan bahawa mahasiswa merupakan PEMIMPIN MASA HADAPAN. Sedangkan saya melihat bahawa mahasiswa itu sudah mampu menjadi PEMIMPIN HARI INI malah mereka juga saya percaya sudah mampu menjadi PEMIMPIN RAKAN-RAKAN. Mengapa hendak ditangguh sifat kepimpinan yang mereka punyai?

Saya nukilkan 2 ayat keramat dibawah sebagai renungan bersama.



Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda
yang beriman kepada Tuhan mereka
dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
- Al-Kahfi: 13


Belajar sambil mencabar
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin
Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar.
- Prof. Ungku A. Aziz (1973)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan