Dua isu ini memang menarik untuk dikaji.
Dua isu ini baru sahaja berlaku. Satu isu tempatan manakala satu lagi isu melibatkan isu antarabangsa.
Saya melihat isu judi sukan & isu serangan Israel terhadap Flotila menarik perhatian ramai. Bukan itu sahaja, dua isu ini tidak jauh jika dilihat dari pandang sisi Islam.
ISU JUDI SUKAN; NON-MUSLIM JUGA MEMBANTAH...
Dari minggu lepas lagi sebenarnya saya ingin respon mengenai isu judi atau yang lebih tepatnya isu judi bola yang telah diberi lesen oleh kerajaan Malaysia, cuma ketika itu saya tidak berkesempatan untuk membuat sedikit coretan di sini.
Apabila Kerajaan menyatakan hasrat untuk memberi lesen judi kepada sebuah syarikat (Ascot Sport Sdn Bhd) bersempena berlangsungnya pertandingan Bola Sepak Piala Dunia atas alasan bagi mengekang berlakunya perjudian sukan secara haram (tanpa lesen), maka ramai yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan tersebut.
Secara jelas dinyatakan di dalam Al-Qur’an bahawa status mengharaman judi adalah secara Qat’ie. Hukum ini adalah disepakati secara Ijma’ di kalangan Fuqaha dengan merujuk dari ayat ke 90 dari surah Al-Maidah:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, menyembah berhala dan menilik nasib merupakan perbuatan keji dari perbuatan syaitan maka hindarlah moga kamu beroleh kejayaan”
Tindakan kerajaan yang mengeluarkan lesen judi dilihat cuba memberi nafas kepada membenarkan masyarakat berjudi. Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.
Bermula dengan kelantangan para ulama yang membidas tindakan tersebut, penjelasan mengenai isu ini mula meresap ke dalam masyarakat Islam di Malaysia. Cemuhan, kritikan serta beberapa siri demonstrasi diadakan bagi menyampai mesej tersebut.
Malah, lebih drastik apabila bukan sahaja umat Islam di Malaysia yang menyatakan bantahan, rakan-rakan NON-MUSLIM juga senada dengan kita.
Seorang sahabat saya yang berketurunan cina turut sama menyatakan betapa beliau tidak setuju dengan perlaksanaan judi bola. Beliau yang lebih saya kenali dengan nama Lee tidak melihat kebaikan langsung dengan membenarkan lesen judi dikeluarkan.
“Kalau dengan mengeluarkan lesen judi kepada hanya syarikat tertentu dan dari pengeluaran lesen judi itu kerajaan pun boleh dapat untung dari cukai yang mereka dapat, aku memang tak setuju,” ini yang dinyatakan Lee kepada saya.
Malah secara berani beberapa Pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Selayang dan Majlis Bandaraya Ampang Jaya menyatakan pendirian tidak akan membenarkan mana-mana premis menjalankan perjudian semasa Piala Dunia berlangsung.
Malah, bukan itu sahaja. Lebih membanggakan apabila kerajaan Pulau Pinang yang ditajui oleh Lim Guan Eng (DAP) secara tegas enggan membenarkan sebarang judi bola di Pulau Pinang.
Bukan itu sahaja, dengan serius DAP menyatakan tindakan mereka untuk membentangkan usul mengharamkan judi bola ini ke parlimen apabila parlimen mula bersidang Jun ini.
Apa yang saya dapati, isu judi bola ini bukan hanya berlegar di sekitar masyarakat muslim di Malaysia, malah kita boleh bersetuju bahawa masyarakat bukan islam juga menerima hikmah pengharaman judi yang telah disyariatkan oleh Islam sejak 1400 tahun dahulu.
Mulianya Islam,. Kemuliannya mula dirasai oleh semua orang.
ISU SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA
Dalam minggu ini kita digemparkan apabila sekumpulan kapal yang membawabahan bantuan yang terdiri dari barang-barang asas bagi membantu masyarakat Palestin yang sengsara diserang oleh sekumpulan komando Israel.
Serangan tersebut dilancarkan oleh Israel atas alasan kapal-kapal tersebut dipercayai membawa beberapa bahan api yang akan diseludup kepada rakyat Palestin.
Akibatnya beberapa buah kapal antaranya Mavi Marmara yang disertai 480 sukarelawan dari beberapa negara diserang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 dari mereka terbunuh.
Antara yang terlibat dalam misi bantuan tersebut adalah sekumpulan 12 aktivis keamanan dari Malaysia yang menamakan diri mereka Lifeline4Gaza turut ditahan.
Sebaik berita tersebut tersebar, atas nama hak asasi manusia, kita dapat melihat bukan hanya masyarakat Islam sahaja yang tercalit dengan kezaliman Israel, malah beberapa negara serta masyarakat lain memberikan respon terhadap isu tersebut.
Selain Jordan, Malaysia, Turki dan beberapa negara Arab yang mengecam tindakan serangan tersebut, negara-negara seperti Sweeden, Greece, Spanyol malah Denmark yang sebelum ini banyak berkonfrontasi dengan negara Islam turut berdiri bersama dalam menyatakan bantahan terhadap serangan ini.
Tragedi ini semacam membuka mata seluruh dunia bahawa rakyat Palestin yang hampir 70 tahun ditindas oleh Regim Israel perlu dibantu segera. Malah desakan yang diberikan oleh sebahagian besar penduduk dunia menyebabkan PBB terpaksa melatah mengecam tindakan tersebut.
Isu Palestin yang selama ini hanya dijuarai oleh negara-negara Islam sahaja mula diberi perhatian oleh masyarakat dunia.
DUA ISU YANG MENYATUKAN..
Kerana itu saya melihat disebalik beberapa isu yang berlaku ini melihatkan syiar Islam dilihat oleh masyarakat bukan hanya yang beragama Islam, turut sama diperjuangkan oleh masyarakat Non-Muslim serta masyarakat antarabangsa.
Saya melihat ia sesuatu yang menarik jika sebelum ini isu-isu yang diketengahkan seperti isu judi dan Palestin hanya tertumpu kepada umat Islam, namun ternyata isu tersebut turut memberi kesan kepada umat lain.
Dengan itu saya amat yakin kebangkitan Islam itu akan dapat ditegakkan akhirnya, Insyaallah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan