Selasa, Jun 08, 2010

SAYA, BOLA DAN KENANGAN...


Cikgu Zaidin menutup bukunya menandakan selesai tugasnya mengajar di kelas 4 Kenari.

“Siapa yang suka main bola?” tanya Cikgu Zaidin.

Boleh kata hampir semua pelajar lelaki di dalam kelas itu mengangkat tangan, namun masih ada beberapa kelibat pelajar yang mendiamkan diri.

“Izzuddin, kamu tak angkat tangan? Kenapa?” soal Cikgu kepada saya.

“Saya tak minat sangat main bola cikgu,”
jawabku ringkas.

“Pelik, cikgu rasa semua budak lelaki suka main bola. Kamu ni pelik agaknya,” sakat Cikgu Zaidin.

Satu kelas melihat saya. Tiba-tiba sahaja saya menjadi perhatian.

Sejak itu sudah ada orang yang tahu yang saya tak berapa pandai main bola.

****************************************

KENANGAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN..


Pernah sewaktu di sekolah dahulu heboh satu musolla gara-gara pertandingan bola EURO 2004. Pelajar Sekolah Izzuddin Shah turut sama terkena tempiasnya.

Mana tidak, kebetulan atas permintaan pelajar senior, Ketua Warden ketika itu membenarkan kami menonton bola sepak ala-ala wayang pacak bersebelahan dengan musolla. Kuliah yang biasanya diadakan lepas maghrib juga ditunda dek gara-gara EURO ketika itu.


(Musolla Sekolah Izzuddin Shah)

Dalam keseronokan menonton bola, azan Isya’ berkumandang. Ustaz Munawir yang ketika itu selaku Guru Disiplin bertindak menghalau pelajar-pelajar yang tak henti-henti menghadap layar dari tadi.

Dalam kerancakan pertandingan yang sedang berlangsung, 'budak-budak' yang solat di belakang imam semakin gelisah. Mungkin gelisah kerana berbelah bahagi antara bola dan solat, tetapi yang pasti, ada sesuatu yang tidak kena dengan solat Isya’ ketika itu.

Selesai sahaja solat, tanpa diduga Abang Fauzi, pelajar STAM yang dianggap paling senior di sekolah pun bangun ke hadapan memegang microfon.

"Maaf ganggu, Abang harap kome dapat solat semula. Solat kome semua tak sah. Macam mana imam boleh lupa baca Fatihah rakaat kedua?" Tegur Abang Fauzi.

Ketika itu gamatlah suasana musolla dek kerana isu imam tak baca fatihah dalam solat. Semua orang tahu imam ketika itu memang kaki bola, akhirnya bola entah ke mana, solat entah ke mana.

Riuhlah malam itu. Yang mana sempat mufaraqah berkejaranlah mereka ke tepi padang menyambung keseronokan menonton bola. Bagi yang lain terpaksa menggantikan solat mereka tadi. Dihujung surau Ustaz Munawir sudah bersedia dengan rotan panjangnya mengawal pintu agar jangan ada pelajar yang mengambil kesempatan.

Saya dan beberapa kawan yang sempat mufaraqah hanya ketawa melihat suasana DEMAM BOLA di musolla ketika itu.

BUKAN SAYA TAK PERNAH MAIN BOLA...

Tipu kalau saya kata saya tak pernah main bola. Sekadar main untuk keluarkan peluh petang-petang di hadapan blok asrama Ibnu Majah sudah cukup bagi saya.

"Wah, Presiden BADAR main bola!!!"
sakat kawan saya.

Mungkin bagi mereka bagai suatu 'keajaiban' jika mereka nampak saya turun padang. Jarang sekali nampak Izzuddin turun bermain.

"Korang ingat aku ni tak pandai main bola ke?" jawab saya.

"Aku malas nak main dengan korng, nanti korang kalah,"jawab saya lagi secara spontan.

Berdekah-dekah mereka gelak. Mereka tau jawapan saya hanya alasan. Saya juga tahu akan hakikat itu, dan kami gelak bersama.

SELALU KALAH...


Minggu BADAR Sekolah Izzuddin Shah tidak bermakna tanpa pertandingan bola antara beberapa pasukan. Piala BADAR memang menjadi target oleh setiap kumpulan yang bertanding.


(Kemeriahan suasana di tepi padang Sekolah Izzuddin Shah, kenangan yang tak akan luput dalam ingatan)

"Izzuddin, camne group kau tadi? Berapa goal dapat?"
tanya Shahrun Nazif.

"Dapatlah SATU, bolosnya LIMA, haha!!!" ketawa kami semua.

Cukup-cukuplah bagi saya menyertai pertandingan Piala BADAR sewaktu tingkatan 2. Selepas itu setiap kali ada dianjurkan Piala BADAR saya memang tak masuk.


(Kenangan di Nilam Puri April 2008)


Bagitu juga kenangan sewaktu di Nilam Puri. Satu group telah dibentuk yang ahli-ahlinya terdiri dari barisan MPP & JTK. Sekadar memeriahkan suasana, kumpulan kami turut bercita-cita memenangi liga bola sepak yang dianjur.

"Izzuddin, hang jadi pertahanan,"
Kata Fahmi Suhaimi selaku ketua kumpulan merangkap Goal Keeper.

“Ok boss!. Jangan risau,” jamin saya.

Sosok tubuh kami antara yang paling besar antara semua. Maka harapan sememangnya diletakkan kepada kami berdua. Ahmad, Asri dan Rizal entah tidak Nampak dari tadi.

Dihujung perlawanan kami selama 20 minit menyaksikan keputusan satu berbalas lima.

“Lima gol! Dasyat tu,..” tersentak Asri mendengarnya.

“Huh, Lima gol tu bukan gol kita pun, kita punye satu je,”gelak Fahmi.

“Yang lima tu bolos, salah satu Izzuddin yang score, GOL SENDIRI,..” sindir Fahmi.

Bagi kami itu semuanya adalah kenangan. Kenangan yang tidak mungkin kami lupakan.

**********************************************

Saya bukan seorang yang begitu minat bermain bola apatah lagi hebat bermain. Namun disebalik itu semua masih ada beberapa kenangan yang menarik jika ada yang mahu bercerita mengenai bola dengan saya.

Dalam banyak kelebihan yang Allah kurniakan kepada saya, masih ada juga kelemahan-kelemahan yang wujud dalam diri saya.

Namun itu semua manis sebenarnya bagi saya untuk dikenang.

Jumaat, Jun 04, 2010

ISU JUDI & SERANGAN ISRAEL: SYIAR ISLAM SEMAKIN MENYERLAH.

Menarik!!!

Dua isu ini memang menarik untuk dikaji.

Dua isu ini baru sahaja berlaku. Satu isu tempatan manakala satu lagi isu melibatkan isu antarabangsa.

Saya melihat isu judi sukan & isu serangan Israel terhadap Flotila menarik perhatian ramai. Bukan itu sahaja, dua isu ini tidak jauh jika dilihat dari pandang sisi Islam.


ISU JUDI SUKAN; NON-MUSLIM JUGA MEMBANTAH...

Dari minggu lepas lagi sebenarnya saya ingin respon mengenai isu judi atau yang lebih tepatnya isu judi bola yang telah diberi lesen oleh kerajaan Malaysia, cuma ketika itu saya tidak berkesempatan untuk membuat sedikit coretan di sini.

Apabila Kerajaan menyatakan hasrat untuk memberi lesen judi kepada sebuah syarikat (Ascot Sport Sdn Bhd) bersempena berlangsungnya pertandingan Bola Sepak Piala Dunia atas alasan bagi mengekang berlakunya perjudian sukan secara haram (tanpa lesen), maka ramai yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan tersebut.

Secara jelas dinyatakan di dalam Al-Qur’an bahawa status mengharaman judi adalah secara Qat’ie. Hukum ini adalah disepakati secara Ijma’ di kalangan Fuqaha dengan merujuk dari ayat ke 90 dari surah Al-Maidah:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, menyembah berhala dan menilik nasib merupakan perbuatan keji dari perbuatan syaitan maka hindarlah moga kamu beroleh kejayaan”

Tindakan kerajaan yang mengeluarkan lesen judi dilihat cuba memberi nafas kepada membenarkan masyarakat berjudi. Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

Bermula dengan kelantangan para ulama yang membidas tindakan tersebut, penjelasan mengenai isu ini mula meresap ke dalam masyarakat Islam di Malaysia. Cemuhan, kritikan serta beberapa siri demonstrasi diadakan bagi menyampai mesej tersebut.

Malah, lebih drastik apabila bukan sahaja umat Islam di Malaysia yang menyatakan bantahan, rakan-rakan NON-MUSLIM juga senada dengan kita.

Seorang sahabat saya yang berketurunan cina turut sama menyatakan betapa beliau tidak setuju dengan perlaksanaan judi bola. Beliau yang lebih saya kenali dengan nama Lee tidak melihat kebaikan langsung dengan membenarkan lesen judi dikeluarkan.

“Kalau dengan mengeluarkan lesen judi kepada hanya syarikat tertentu dan dari pengeluaran lesen judi itu kerajaan pun boleh dapat untung dari cukai yang mereka dapat, aku memang tak setuju,” ini yang dinyatakan Lee kepada saya.

Malah secara berani beberapa Pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Selayang dan Majlis Bandaraya Ampang Jaya menyatakan pendirian tidak akan membenarkan mana-mana premis menjalankan perjudian semasa Piala Dunia berlangsung.

Malah, bukan itu sahaja. Lebih membanggakan apabila kerajaan Pulau Pinang yang ditajui oleh Lim Guan Eng (DAP) secara tegas enggan membenarkan sebarang judi bola di Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, dengan serius DAP menyatakan tindakan mereka untuk membentangkan usul mengharamkan judi bola ini ke parlimen apabila parlimen mula bersidang Jun ini.

Apa yang saya dapati, isu judi bola ini bukan hanya berlegar di sekitar masyarakat muslim di Malaysia, malah kita boleh bersetuju bahawa masyarakat bukan islam juga menerima hikmah pengharaman judi yang telah disyariatkan oleh Islam sejak 1400 tahun dahulu.

Mulianya Islam,. Kemuliannya mula dirasai oleh semua orang.


ISU SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA


Dalam minggu ini kita digemparkan apabila sekumpulan kapal yang membawabahan bantuan yang terdiri dari barang-barang asas bagi membantu masyarakat Palestin yang sengsara diserang oleh sekumpulan komando Israel.

Serangan tersebut dilancarkan oleh Israel atas alasan kapal-kapal tersebut dipercayai membawa beberapa bahan api yang akan diseludup kepada rakyat Palestin.

Akibatnya beberapa buah kapal antaranya Mavi Marmara yang disertai 480 sukarelawan dari beberapa negara diserang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 dari mereka terbunuh.

Antara yang terlibat dalam misi bantuan tersebut adalah sekumpulan 12 aktivis keamanan dari Malaysia yang menamakan diri mereka Lifeline4Gaza turut ditahan.

Sebaik berita tersebut tersebar, atas nama hak asasi manusia, kita dapat melihat bukan hanya masyarakat Islam sahaja yang tercalit dengan kezaliman Israel, malah beberapa negara serta masyarakat lain memberikan respon terhadap isu tersebut.

Selain Jordan, Malaysia, Turki dan beberapa negara Arab yang mengecam tindakan serangan tersebut, negara-negara seperti Sweeden, Greece, Spanyol malah Denmark yang sebelum ini banyak berkonfrontasi dengan negara Islam turut berdiri bersama dalam menyatakan bantahan terhadap serangan ini.

Tragedi ini semacam membuka mata seluruh dunia bahawa rakyat Palestin yang hampir 70 tahun ditindas oleh Regim Israel perlu dibantu segera. Malah desakan yang diberikan oleh sebahagian besar penduduk dunia menyebabkan PBB terpaksa melatah mengecam tindakan tersebut.

Isu Palestin yang selama ini hanya dijuarai oleh negara-negara Islam sahaja mula diberi perhatian oleh masyarakat dunia.

DUA ISU YANG MENYATUKAN..

Kerana itu saya melihat disebalik beberapa isu yang berlaku ini melihatkan syiar Islam dilihat oleh masyarakat bukan hanya yang beragama Islam, turut sama diperjuangkan oleh masyarakat Non-Muslim serta masyarakat antarabangsa.

Saya melihat ia sesuatu yang menarik jika sebelum ini isu-isu yang diketengahkan seperti isu judi dan Palestin hanya tertumpu kepada umat Islam, namun ternyata isu tersebut turut memberi kesan kepada umat lain.

Dengan itu saya amat yakin kebangkitan Islam itu akan dapat ditegakkan akhirnya, Insyaallah...

Sabtu, Mei 29, 2010

KOMUNITI MAHASISWA KERINCHI...



"Jom kita hidupkan KMK," ajak Taufiq.

"Komuniti Mahasiswa Kerinchi?" soal saya.

"Ye lah, Ini projek best ni. Kita nk buat group untuk student luar kampus," tegas Taufiq.

"KMK ini dah pernah ada lah dulu, kita nak hidupkan balik?" kata saya.

"Itu aku tahu. Kalau kau nak aku lantik jadi Bendahari merangkap jurucakap KMK. Sudi tak?" tawar Taufiq.

"Aku ok je,"jawab saya simple.

Nasi goreng ayam dan air bandung yang ditempah tadi dah sampai. Di gerai Ibu berhampiran blok 21 Bukit Angkasa memang sering menjadi tempat kami makan malam selepas maghrib. Di sini juga tempah kami sering brainstorm dan 'bermuhasabah' sesama kami.

'Kalau Pengerusinya Pidu, akulah setiausahanya," gelak Taufiq.

"Kita bukan apa Izzuddin, saja nak buat satu persatuan untuk student luar kampus, boleh lah buat program sikit-sikit dengan masyarakat sini,"

Tangannya sebok menekan-nekan butang di handsetnya. Saya yang dari tadi asyik menghadap ke tv di depan kedai Ibu mula mendekatkan pinggan nasi goreng.

Apa guna student duduk kat Kampung Kerinchi ini kalau tak dapat sumbangkan sesuatu kepada masyarakat sekeliling.

Betul juga kata Taufiq. Mahasiswa adalah golongan yang dikatakan bijak pandai, oleh itu kehadiran orang bijak pandai ini perlu memberi kepada masyarakat sekeliling.

"Ok, aku join, tak jadi masalah" kata saya setuju.

Yang menggerakkan KMK ini tidaklah ramai, seingat saya kami cuma berenam sahaja yang mula berbincang untuk memulakan komuniti ini.

Hanya berbekalkan RM 20.00 kami mulakan perkumpulan kecil ini agar dapat menjadi persatuan luar kampus yang mampu menjaga kebajikan kita di luar kampus.

Alhamdulillah, setakat 3 bulan ini beberapa program yang telah kita usahakan. Antaranya program bacaan Yasin dan doa selamat, Kelas Fardhu Ain untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, berjawa membantu beberapa orang sahabat yang dibuang kolej mendapatkan rumah sewa di sekitar Kampung Kerinchi dan beberapa program lain.

Insyaallah, apabila buka sem baru ini kami merancang untuk melaksanakan beberapa aktiviti lain. Harap akan ada yang sudi bersama-sama kami menggerakkan KMK ini.

KMK- Kita adalah keluarga... (^_^)

TUDUHAN YANG TIDAK BERASAS...


Saya terkejut apabila beberapa hari lepas saya dimaklumkan oleh kawan saya bahawa beberapa nama mahasiswa termasuk saya telah diburuk-burukkan di hadapan mahasiswa baru di Nilam Puri. Antara nama yang telah disebut di dalam majlis itu adalah saya, Syazni Munir, Aizat Salleh, Syafie Hasyim, Hafiz Ilyas, Fadhil Jamal dan beberapa nama mahasiswa lain.

Apa yang lebih mengejutkan apabila beberapa nama tersebut telah dibentangkan oleh Pengarah Keselamatan Universiti Malaya dalam salah satu slot yang diberikan khas kepada beliau bersempena Minggu Haluansiswa di Kampus Nilam Puri.

Namun mengecewakan apabila slot taklimat keselamatan yang sepatutnya menyentuh mengenai perihal keselamatan mahasiswa telah diselitkan unsur memburukkan sebahagian pimpinan mahasiswa di Universiti Malaya Kuala Lumpur.

Ironinya, dalam keadaan beliau melemparkan tuduhan bahawa kami sering mengancam serta mewujudkan suasana yang tidak harmoni di kampus, kebanyakan mahasiswa baru disana melihat tindakan beliau sebagai tidak profesional kerana cuba memburuk serta mengaibkan kami. Malah tuduhan tersebut dilihat zalim apabila individu yang dituduh tidak mampu membela diri.

Salah seorang adik kepada tertuduh, saudara Hafiz Ilyas yang kebetulan turut menjadi salah seorang peserta Minggu Haluansiswa merasa kecewa atas tindakan Pengarah Keselamatan yang dengan sengaja memalukan abangnya.

Susulan dari itu beberapa wakil dari PMIUM seramai 8 orang telah menghantar wakil ke pejabat keselamatan pada hari Khamis 27 Mei bagi berjumpa dengan Pengarah Keselamatan untuk mendesak beliau menyatakan sebab serta menarik semula tuduhan yang telah dikeluarkan. Tindakan seumpama ini dilakukan kerana cubaan menghubungi beliau melalui telefon sebelum ini gagal.

Pertemuan yang dilakukan juga gagal atas alasan beliau tidak ada di pejabat. Beliau hanya dapat dihubungi dengan perantara pegawai keselamatan yang ada. Dalam perbualan telefon selama 5 minit tersebut, beliau cuba menafikan perbuatan beliau dan menyatakan perkara tersebut hanya merupakan khabar angin.

Tindakan penafian tersebut lebih kepada bersikap BALING BATU SEMBUNYI TANGAN. Setelah kami berhubung sendiri dengan beberapa rakan serta pensyarah di sana, ternyata penafian tersebut adalah satu bentuk tindakan bagi menyelamatkan diri.

Oleh itu di peringkat kami mendesak satu penjelasan dan pengakuan dari Pengarah Keselamatan. Beberapa perkara ini perlu diberi perhatian:

1) Tindakan beliau yang dilihat tidak bertanggungjawab dan cuba memburuk-burukkan serta mendoktrin persepsi negatif terhadap kami kepada mahasiswa lain adalah tindakan yang tidak professional dan merupakan perbuatan zalim.


2) SIKAP BALING BATU SEMBUNYI TANGAN. Mengapa Beliau cuba buat penafian atas perbuatan beliau sedangkan perkara tersebut dibentangkan siap menggunakan tayangan slide serta video?


3) Beberapa orang wakil MPMUM (Hafiz Ilyas, Fadhil Jamal, Aizat Salleh & Saudari Syahruzul Ayuni) turut dilabel sebagai penimbul huru hara sedangkan ternyata mereka telah menang menjadi perwakilan sewaktu Pilihanraya Kampus. Adakah rasional mereka yang dipercayai oleh masyarakat kampus melalui undi yang telah mereka berikan dilabel sebagai mengganggu serta penimbul huru hara dalam kampus?


4) Mengapa perlu diperburuk-burukkan nama kami sedangkan sebelum ini tidak pernah diadakan sebarang perbincangan antara kami dengan mereka bagi menyelesaikan ‘ketidakpuasan’ hati mereka?


Oleh itu kami mendesak beliau untuk membuat pernyataan mohon maaf secara terbuka atas lemparan tuduhan yang telah beliau lakukan apatah lagi ia dilihat mempunyai niat jahat bertujuan mengaibkan kami.

Sabtu, Mac 06, 2010

SEMBANG KATAK DI SUATU PAGI...


Pukul 8.30 pagi Hari Selasa awal bulan 3 yang lalu, saya singgah di sebuah kedai makan di Pantai Dalam untuk bersarapan sebelum masuk ke kuliah.

Setelah mengambil nasi lemak, saya duduk di kerusi plastik. Di sebelah saya ada seorang lelaki tua dan seorang India sedang minum bersama.

“Apa benda yang mereka sembang pasal KATAK pagi-pagi ini?” terlintas dalam hati saya. Maka mulalah saya memasang telinga mendengar perbualan mereka.

*******************

“Kenapa golongan-golongan ni dipanggil katak?” Linggam memulakan bicara.

“Sebab mereka suka lompat.” Kata Pak Ali.

Linggam diam. Mukanya berkerut-kerut menunjukkan memek muka yang kebingungan.

“Aku tak faham,” kata Linggam

“LOMPAT PARTI LAH..”jawab Pak Ali.

Tangannya masih lagi menyelak surat khabar SINAR HARIAN. Roti canai yang berada dihadapannya masih belum dijamah. Terlalu asyik membaca akhbar.

“Bagilah nama binatang lain. Belalang ker, Kanggaro ke, Arnab ker,. Katak ni TERUK sangat.. ” sambung Linggam.

“Kenapa kau kata katak ni TERUK?” Pak Ali mula meninggikan suaranya. Sesi perbualan antara mereka mula semakin rancak.

“Ye lah,. Katak ni orang BENCI,ada yang orang GELI dan pandang HINA kat katak, Ada yang nak MUNTAH bila jumpa katak kat longkang,” dengan mudah Linggam menjawab.

“Katak ini suka makan MAKANAN YANG KOTOR, bentuk badan pun BERUBAH-UBAH dari kecil sampai besar.LIDAH PANJANG nak tangkap lalat,” Gelak Linggam.

Pak Ali tersenyum.

“Hah, tahu pun kau. Itu sebab WAKIL RAKYAT yang lompat parti ni dipanggil KATAK.Cukup semua sifat sebagai seekor katak,” gelak Pak Ali.

Mungkin Linggam lambat faham maksud Pak Ali.

“Meh sini aku terangkan kat kau Linggam,”

Pak Ali melipat semula akhbar yang sedang dibacanya, lalu diletakkan di sudut kiri meja tersebut.

“Bila WAKIL RAKYAT dipilih oleh pengundi, ada pengundi yang mahukan parti tertentu yang masuk bertanding menang, jadi calon yang mewakili parti tertentu akan dipilih oleh pengundi,” terang Ali.

“Tapi bila sudah menang,WAKIL RAKYAT yang menang tu suka-suka je tukar atau lompat PARTI.”

“Mana tak orang BENCI, GELI, pandang HINA dan ada yang nak terMUNTAH bila tengok WAKIL RAKYATnya melompat parti,” senyum puas Pak Ali bercakap.

“Bila WAKIL RAKYAT tu makan MAKANAN KOTOR (rasuah), suka BERUBAH-UBAH tak ada pendirian, lebih teruk kalau LIDAHNYA PANJANG lagi bercabang menabur janji kat rakyat,..”

“KATAKlah mereka tu ” jawab Pak Ali.

Gelak besar mereka berdua. Saya dari jauh pun turut tergelak mendengar perbualan mereka.

Selesai makan saya menuju ke motorsikal. Entah macam mana kebetulan seekor katak melompat berhampiran motor saya.

Melompat dan terus melompat menuju ke tengah jalan raya.

“Jaga-jaga kau KATAK, nanti akan ada org yang langgar kau sampai pecah perut,” berkata saya sendirian .

Tanpa membuang masa, saya pun menghidupkan enjin motor dan terus pergi mengejar waktu ke kampus.