Sabtu, Mei 23, 2009

MARI BELAJAR HUKUM FARAID...



Semalam ketika leka mancari buku di Jalan Tunku Abdul Rahman, saya tejumpa sebuah buku yang membincangkan mengenai ilmu pengurusan harta pusaka / faraid. Suatu ilmu yang semakin dilupakan dan mungkin hanya penting dan bermanfaat kepada seseorang jika berlaku kematian salah seorang ahli keluarganya dan melibatkan masalah pengagihan harta si mati.

Kebetulan saya pun teringin mencari bahan bacaan mengenai ilmu faraid. Tinggalkan sementara bahan bacaan haraki dan buku-buku yang berbentuk idealisme. Saja hendak mengubah angin dalam pemilihan bahan bacaan.

Minat saya untuk mendalami ilmu faraid timbul apabila arwah nenek saya meninggal dunia pada tahun 2004. Bermula dari situ isu pembahagian harta sesama keluarga mula dibincangkan. Bayangkan pada masa itu ada saudara-mara yang bertanya kepada saya tentang hukum faraid.

“Manalah saya tau makcik, saya baru je tingkatan 4,” hanya itu sahaja yang boleh saya jawab ketika itu.

Mungkin disebabkan saya ini merupakan anak lelaki sulong dalam keluarga malah cucu lelaki yang paling tua,tanggungjawab yang saya pikul lebih berat. Mungkin juga kerana saya belajar dalam aliran agama menyebabkan saya ini menjadi tempat rujukan semua.

Bukan hanya orang yang belajar aliran agama, tetapi semua orang perlu tahu tentang ilmu faraid yang unik ini.

Maka buku ini saya ingin kongsi dengan semua agar kita dapat manfaatnya bersama.
...................................................................................................


Soalan:

1) Anda tahu tentang ilmu faraid?
2) Pernahkah anda mendengar masalah pengagihan pusaka yang tergendala bertahun-tahun?
3) Andai ada salah seorang ahli keluarga anda yang meninggal, adakan anda mampu mengurus harta si mati mengikut kaedah ilmu faraid?


Tahukah kita bahawa perangkaan yang telah dibuat pada bulan Disember 2007 terdapat lebih daripada 1 juta kes tuntutan harta pusaka tertunggak di Makamah dengan nilai komersial kini mencecah sebanyak RM40 BILLION yang mana 90% daripadanya merupakan harta orang Islam.

Masalah ini timbul akibat kecelaruan dalam pengurusan harta si mati sehingga kebanyakan harta-harta tersebut terpaksa dipegang oleh Amanah Raya dan kebanyakannya beku tanpa ada jalan penyelesaian.

Mengenai ilmu faraid, saya berminat hendak megutip sepotong hadis dari Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Pelajarilah Ilmu Faraid dan ajarkanlah ianya kepada orang lainkerana sesungguhnya ia (Ilmu Faraid adalah sebahagian daripada ilmu yang banyak. Tetapi malangnya ianya adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah Ilmu yang mula-mula akan dicabut dari umatku. (Hadis Sahih riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi dari Abu Hurairah).

Petikan ayat Al-Qur’an yang menerangkan tentang Ilmu faraid adalah seperti dalam Surah An-Nisa ayat 11 & 12 mafhumnya:

11. Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. yaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bagahian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, Maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, Maka ia memperoleh separo harta. dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), Maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, Maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

12. Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. jika Isteri-isterimu itu mempunyai anak, Maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) seduah dibayar hutangnya. para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. jika kamu mempunyai anak, Maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), Maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. tetapi jika Saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, Maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun.


Pengertian Faraid:
Bahagian-bahagian yhang telah ditetapkan & ditentukan oleh hukum Syara’bagi individu yang berhak menerimanya.

Secara mudah di sini saya sertakan contoh pengiraan harta Faraid bagi Ahmad (bukan nama sebenar)sekiranya dia meninggal dunia. Dia akan meninggalkan:

• Seorang bapa
• Seorang ibu
• Seorang isteri
• Seorang anak lelaki
• Seorang anak perempuan

BAHAGIAN PUSAKAAN PEWARIS

Bapa...1/6
Ibu.....1/6
Isteri..1/8
Anak Lelaki.... Asobah(nilai selebihnya)
Anak Perempuan.... Asobah (nilai selebihnya)
* Nisbah bagi anak lelaki dengan anak perempuan= 2:1



Contoh di atas saya gunakan untuk menggambarkan bagaimana pecahan harta pusaka itu perlu diagih kepada waris-waris si mati. Tetapi harus diingat bahawa sebelum kita membahagikan pusaka mengikut faraid, terlebih dahulu hendaklah kita selesaikan hak-hak si mati seperti hutang,zakat, wakaf, sedekah, wasiat, hadiah, hibah, harta sepencarian atau pun sebagainya.

Kebiasaannya apabila ditanya kepada masyarakat Islam mengenai faraid, rata-rata akan menjawab:

• Memang tidak tahu langsung
• Tahu sikit sahaja
• Dulu ada belajar,tapi sekarang dah lupa
• Apa susah? Kita tanyalah ustaz bila jadi kematian saudara-mara kita nanti

Hakikatnya itulah realiti masyarakat muslim terhadap pemahaman mereka berkaitan dengan hukum faraid. Dalam ruangan ini mungkin saya tidak dapat rungkaikan semua, namun seharusnya kita mempunyai kesedaran mengenai kepentingan ilmu faraid ini.
Rasulullah pernah bersabda:

“Pelajarilah Al-Qur’an dan ajarkannya kepada yang lain dan pelajarilah Ilmu Faraid serta ajarkannya kepada yang lain. Kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut akan juga dicabutkan oleh Allah SWT. Lalu akan timbullah fitnah harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada di kalangan dua orang yang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka. (Hadis Sahih riwayat Al-Baihaqi dan Abdullah Bin Mas’ud)

Biasanya akibat dari masalah pembahagian harta ini, berlaku pelbagai masalah yang besar. Antaranya urusan harta si mati yang tidak berkesudahan, memakan harta yang bukan haknya, bergaduh sesama keluarga hingga bermasam muka malah ada yang putus saudara dan lain-lain lagi.

Jika hal ini berlaku, maka nyatalah seperti apa yang telah digambarkan oleh baginda Rasulullah seperti yang terdapat di dalam hadis di atas. Dan lebih membimbangkan, masalah ini telah terjadi masa kini.. WALLAHUALAM..

.

1 ulasan: