Jumaat, September 11, 2009

KERANA DATUK IKAN ITU SAYANG KEPADA CUCUNYA....





“Jangan Cu, jangan pergi ke sana!!.” Teriak datuk ikan kepada cucunya.

“Kenapa Atuk? Apa salah Cu pergi ke sana. Kat sana pun bukan ada apa, cuma ada mata kail jer. Tengok, mata kail tu ada makanan lah Atuk.” Jawab cucu ikan.

“Atuk pesan jangan. Kamu tak tau apa akan berlaku pada kamu kalau kamu makan umpan tu.”
sambung datuk ikan. Secara perlahan-lahan datuk ikan cuba menghampiri cucunya.

“Setakat makan jer, tak ada apa-apa yang akan berlaku. Betul tak Atuk?” tanya cucunya kebingungan.

Pada mata kasarnya apalah sangat batang besi berkarat itu boleh buat. Tetapi yang paling menarik ‘cacing’ segar yang terlekat pada mata kail itu. Sudah pasti cacaing itu lazat.

“Ingat pesan Atuk, kalau kamu makan umpan itu nanti kamu akan sakit,” kata datuk ikan

“Sakit?” tersentak anak ikan.

“Ye... Bayangkan, kalau kamu makan umpan tu, mata kail yang tajam itu pasti akan menusuk ke kerongkong kamu.”

“Betul ke Atuk? Lepas tu?..” Hati cucu ikan mula berbelah bahagi.

“Nanti apabila mata kail sudah menusuk ke kerongkong kamu, kamu akan diangkat ke daratan oleh pengail.”

“Sesudah itu kamu kulit kamu akan disiat-siat sehingga habis semuanya,”

“Tubuh kamu akan dikerat-kerat. Bayangkan betapa sakitnya ketika itu.”

“Bukan itu sahaja, kamu akan dilumur dengan kunyit dan garam dan akhirnya kamu akan dimasukkan ke dalam minyak panas yang bergelegak ”
cerita datuk ikan dengan penuh perasaan.

Kening cucu ikan mula berkerut. Hatinya juga mula takut dan perasaan ngeri mula menyerap dalam dirinya.

Tetapi,

“Betul ker Atuk? Mana Atuk tahu?” masih ada lagi perasaan ingkar dalam dirinya.

“Kamu jangan tak percaya. Kalau kamu makan juga umpan itu, kamu akan menyesal teringatkan nasihat Atuk tadi.” Hanya itu sahaja yang dapat dijawab oleh datuk ikan.

Selang beberapa hari, cucu ikan kembali semula ke mata kail tersebut. Niatnya untuk pergi mencuba sesuatu yang amat dihajati... makan umpan tersebut.

Sebaik sahaja cucu ikan merentap mata kail tersebut, maka kedengaran jeritan yang amat sangat.

“Atuk!!! Atuk!! Tolong Cu.. kerongkong Cu terlekat di mata kail ini.. sakit Atuk!! Sakit!!!”

Maka kedengaranlah jeritan cucu ikan di segenap pelusuk kolam. Namun tiada siapa yang dapat membantu.

Cucu ikan benar-benar diangkat ke daratan. Dia sendiri melihat dengan matanya sendiri apa yang akan dihadapainya.

Dia sendiri melihat bagaimana dirinya disiat...

Dia sendiri melihat bagaimana dirinya dipotong satu persatu dengan pisau yang tajam.

Dia sendiri melihat bagaimana dirinya dilumur dengan kunyit, digaul dengan garam dan
dimasukkan ke dalam minyak panas yang menggelegak.

Dia sendiri melihat setiap apa yang pernah diceritakan oleh datuknya benar berlaku pada dirinya..

Dan ketika itu barulah dia mengetahui bahawa setiap apa yang dikatakan oleh datuknya dahulu adalah benar.



**********************************

Mengapa saya tertarik untuk bercerita mengenai kisah datuk ikan dengan cucu ikan ini?

Sebenarnya saya teringat kepada nasihat seorang manusia kepada saya sewaktu saya kecil dahulu.

“Jangan lupa kisah ikan,” nasihat bapa saya kepada saya.

Kalau hendak diambil analogi tentang kisah ikan tersebut, saya suka kaitkan bagaimana kehidupan kita selaku umat Islam. Bagaimana kita menerima setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah kepada kita.

Banyak pengkhabaran yang diceritakan oleh Rasulullah S.A.W kepada umat manusia mengenai timbal balas perbuatan manusia di dunia yang akan diganjarkan di akhirat.

Barangsiapa yang beramalkan perbuatan baik maka baiklah balasan keatasnya. Begitu juga barangsiapa yang mengamalkan perbuatan yang ditegah maka tersedia ke atasnya balasan siksa yang pedih.

Jadi, apa yang hendak saya kaitkan antara kisah ikan dengan pengutusan risalah yang dibawa oleh Rasulullah?


Andai saya bertanya, berapa ramai dari kalangan manusia yang telah dikhabarkan oleh Rasululah tetapi tidak yakin dengan setiap perkhabaran tersebut? Kebanyakan mereka ingat, belajar malah tahu tentang janji-janji Allah cuma mereka tidak yakin dan tidak beriman.

Maka ramailah manusia yang bersifat seperti sifat cucu ikan seperti diatas. Hinggalah akan datang suatu hari yang dijanjikan maka setiap apa yang dijanjikan itu benar-benar terjadi. Maka hal ini telah dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam Surah Yasin ayat 46 hingga 52 yang bermaksud:


46. Dan sekali-kali tiada datang kepada mereka suatu tanda dari tanda tanda kekuasaan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya.

47. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Nafkahkanlah sebahagian dari rezki yang diberikan Allah kepadamu", Maka orang-orang yang kafir itu Berkata kepada orang-orang yang beriman: "Apakah kami akan memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah menghendaki tentulah dia akan memberinya makan, tiadalah kamu melainkan dalam kesesatan yang nyata".

48. Dan mereka berkata: "Bilakah (terjadinya) janji Ini (hari berbangkit) jika kamu adalah orang-orang yang benar?".

49. Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.

50. Lalu mereka tidak Kuasa membuat suatu wasiatpun dan tidak (pula) dapat kembali kepada keluarganya.

51. Dan ditiuplah sangkalala, Maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.

52. Mereka berkata: "Aduhai celakalah kami! siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?". inilah yang dijanjikan (Tuhan) yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul- rasul(Nya).


Mari kita bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kita juga bersikap seperti cucu ikan?..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan