Jumaat, September 04, 2009

KEMERDEKAAN; ISTILAH YANG PERLU DITAKRIFKAN SEMULA...




Seperti kebiasaan sambutan hari kemerdekaan disambut saban tahun merupakan salah satu acara bagi memupuk semangat cintakan tanah air serta mengingat kembali semangat juang para pejuang kemerdekaan terdahulu. Walaupun usia sambutan kemerdekaan sudah melangkau setengah abad, namun seakan suatu kemestian bagi kita untuk mengenang detik keramat 31 Ogos 1957 tersebut.

Tarikh kemerdekaan tersebut sudah pasti akan menjadi tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah pembentukan negara kita. Dari saat tersebut Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu mula membentuk identiti serta nilai ‘negara bangsanya’ sendiri. Kejayaan dari segi pencapaian serta kemajuan mula dikecapi hasil dari nikmat kemerdekaan tersebut.

Jika skala kemajuan lahiriah yang digunakan bagi mengukur kejayaan yang telah ditempa, saya amat yakin bahawa tiada siapa yang dapat menafikan hakikat tersebut.

Apa yang boleh diperhatikan sejak dari tarikh kemerdekaan dicapai, taraf ekonomi rakyat mula ditingkatkan, pembangunan infrastruktur negara yang semakin pesat dibangunkan, pengenalan beberapa dasar penting oleh kerajaan dan beberapa penambahbaikan yang berlaku dalam tempoh 52 tahun ini dilihat amat penting dalam memacu negara untuk terus unggul membangun seiring dengan beberapa negara maju lain.

Namun apabila kita teliti semula dari sudut kemajuan zahiriah atau pembinaan nilai insani masyarakat pada hari ini, semacam ada suatu bentuk ketirisan yang amat membimbangkan.

Dalam tempoh 52 tahun selepas kemerdekaan menyaksikan betapa besar cabaran yang kita tempuhi dalam melahirkan masyarakat yang kemajuan tamadun kemanusiaannya seiring dengan kemajuan tamadun pembangunan. Malah dengan lambakan masalah sosial yang berlaku pada hari ini terutama yang melanda golongan muda-mudi amat merunsingkan malah semakin membarah perlu mendapat penilaian semula adakah kita ‘gagal’ dalam membentuk jati diri warga negara kita?

Kepincangan yang berlaku pada masyarakat hari ini khususnya dalam usaha membentuk masyarakat yang seimbang dari segi kemajuan sahsiah perlu dilihat dan diperbaiki secara kolektif. Kita amat bimbang dalam usaha kita mengejar kemajuan yang begitu deras membangun, nilai norma masyarakat semakin haus terhakis tanpa kita sedari. Dengan ketidakseimbangan ini kita bimbang jika suatu hari nanti negara Malaysia ini akan dinilai sebagai sebuah negara yang infrastuktunya kelas pertama, minda rakyat kelas ketiga.

Berbalik kepada konsep kemerdekaan, maka di sini saya ingin lontarkan pandangan peribadi saya bahawa seharusnya penakrifan kemerdekaan ini dapat dimurnikan semula. Pemahaman kemerdekaan yang sempit hanya terbatas kepada kemerdekaan negara dari genggaman penjajah tidak seharusnya dirigidkan.

Nilai kemerdekaan pada pandangan pejuang terdahulu merupakan target atau sasaran yang besar. Malah mereka menyedari bagi mencapai kemerdekaan dari penjajah merupakan suatu hasil akhir kepada suatu perjuangan yang amat panjang. Kemerdekaan dinilai sebagai hasil kepada jerih dan perih yang perlu mereka ‘bayar’ dalam perjuangan.

Namun berlainan pula pendangan masyarakat kini. Kemerdekaan tidak lagi dilihat sebagai hasil tetapi lebih kepada titik noktah kepada perjuangan. Maka dari situ matilah sedikit demi sedikit nilai jati diri rakyat.

Kerana itu, penafsiran kemerdekaan perlulah diperluaskan bukan hanya merdeka dari penjajah. Kemerdekaan itu masih perlu diperjuangkan dalam banyak aspek lain.

Kita mahu memperjuangkan rakyat yang merdeka jiwa dan pemikirannya. Kita juga mahu memperjuangkan nilai jati diri serta cara hidup manusia yang merdeka dari kedurjanaan akhlak. Kita juga mahu memperjuangkan kemerdekaan dari segenap aspek kehidupan manusia secara keseluruhannya.


Maka perlu kita ingat disini bahawa masih banyak lagi kemerdekaan yang perlu dicapai dan perjuangan kearahnya masih lagi panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan