Ahad, September 06, 2009

MENGIMBAU KENANGAN LALU DI SEKOLAH TERCINTA....




Sejak dua menjak ini entah mengapa saya selalu teringatkan kepada kehidupan saya yang lampau. Ingin sekali saya menjengah semula ke sekolah yang hampir setengah dekat saya tinggalkan. Menjadi kebiasaan, tatkala saya mengalami masalah ‘keruntuhan’ dalam diri sendiri, saya akan mula merindui Sekolah Izzuddin Shah. Tempat di mana tempat saya ‘dibentuk’ dan ‘terbentuk’ untuk menjadi diri saya sekarang.

Teringat kisah seawal pengajian saya di sana pada tahun 2000 ketika berada di tingkatan 1 Ibnu Nafis;

“Saya tidak setuju dengan apa yang Cikgu Rozman cakap,” bangkit saya dari kerusi. Banyak hujah yang dikeluarkan saya tidak setuju sewaktu dia memprovok kami dalam kelas.

“Kenapa? Kamu tak setuju dengan saya?” tengking Cikgu Rozman kepada saya di hadapan seluruh khalayak penghuni kelas ketika itu.

“Belum pernah lagi student form 1 yang berani berhujah dengan saya. Apa kamu ingat kamu dah hebat?” sindir Cikgu Rozman. Raut wajahnya menampakkan dia cuba menjeling dan memerhati wajah saya. Ini kali pertama saya melawan guru. Melawan bukan kerana tidak hormat, tetapi berniat untuk mengetahui kebenaran.

Lama juga ‘sesi perdebatan’ yang berlaku antara saya dengan Cikgu Rozman. Sepanjang itu juga ada memek-memek muka rakan sekelas yang melihat saya sudah melampau melawan guru sendiri. Ada patut budak tingkatan satu berdebat dengan cikgu?




(*Gambar sewaktu di tingkatan 1 Ibnu Nafis,. Turut kelihatan Syamsul Riduan pelajar Jabatan Syariah & Ekonomi APIUM)



Maka setelah hampir 20 minit, maka kelas kami pun bersurai.

Maka bersiaplah kami mengemas beg untuk pergi ke surau bagi menunaikan solat Zohor. Akhir kata dari Cikgu Rozman,

“Kalau kamu rasa kamu tak puas hati lagi, jumpa saya di kantin bila-bila masa. Nanti saya akan belanja kamu. Saya pun dah lama tak berjumpa dengan orang yang seperti kamu.” Katanya kepada saya.

Saya hanya terdiam ketika itu. Tidak ada aya yang hendak saya katakan. Bergolak hati saya memikirkan adakah betul tindakan saya sebentar tadi?

Rupanya tanpa saya sedar, nama saya pernah menjadi sebutan di kalangan guru-guru.
Heboh dikatakan bahawa ada seorang student form 1 yang bertikam lidah dengan Cikgu Rozman.

“Kau kenal tak Cikgu Rozman tu? Dia tu cikgu ‘otai’ kat sini. Habislah kau, kalau dia dah kenal kau nanti kau pun jadi macam dia” tegur seorang senior tingkatan 4 ketika itu.

Sejak dari itu saya mula menjauhkan diri dari Cikgu Rozman. Bukan kerana saya takut akan dia sejak peristiwa tersebut, tetapi saya mula segan dengannya. Segan untuk menjadi perhatiannya setiap kali berselisih di kaki lima.

Dan setelah 3 bulan, maka Cikgu Rozman ditukarkan ke Jabatan Agama Islam Perak Darul Ridzuan. Maka sejak dari itu saya sudah tidak mendengar kabar berita tentangnya.

***********************


2 tahun berlalu dan ketika itu saya berada di tingkatan 3. Pernah ketika itu berlaku krisis kepimpinan di dalam batch. Pengalaman krisis ini memang berguna kepada saya hingga kini.




(*Gambar sewaktu di tingkatan 3 Ibnu Rushd)



“Izzuddin, Cikgu Madihah cari kau kat bilik dia. Dia nak jumpa kau pukul 8 pagi ni. Kau pergi tau. Dah lama dah dia cari kau,”
kata Khairul ‘Izzati, kawan se’Ketua Pelajar’ ketika itu.

“Kenapa pula Cikgu Madihah cari aku?” tanya aku sendirian.

Pada sangkaan saya pasti ada sesuatu perkara yang penting yang hendak dikatakan kepada saya. Seingat saya, saya bukannya rapat dengannya sebelum ini. Malah dia tidak pernah mengajar saya.

Maka saya pun pergilah berjumpa dengan Cikgu seberapa segera. Malah terdapat beberapa perkara yang perlu dia selesaikan dan memerlukan maklumat dan perkongsian idea dari saya. Masih ingat lagi saya kami berbincang hampir 7 jam bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 3 petang.

“Izzuddin, hang ingat lagi Cikgu Rozman?”
katanya kepada saya.

“Ingat,.. Cikgu Rozman yang pernah bergaduh dengan saya dulu,”
tersenyum sengih mengingati kisah silam.

“Dia banyak sembang kat cikgu tentang kamu. Walaupun dia dulu tak sempat mengajar kamu lama, tetapi dia selalu tanya khabar kamu.”
katanya kepada saya.

“Ingat Izzuddin, untuk menjadi seorang pemimpin, kamu kena berJIWA BESAR.. Dengan berjiwa besar kamu mampu mengubah manusia.” sambungnya lagi.

“I HOPE THAT ONE DAY AFTER YOU LEAVE THE SCHOOL, I WILL SEE YOU BECAME SOMEBODY THAT I CAN PROUD OF,”

Sampai di sini sahaja perbualan kami. Sejak dari itu ingin sangat saya berjumpa semula dengan Cikgu Rozman.

Sehinggalah suatu ketika secara kebetulan saya terserempak dengan Cikgu Rozman sebaik selesai menunaikan solat Jumaat.

“Ye Izzuddin, Apa kabar? Lama tak jumpa”
tegur Cikgu Rozman.

“Sihat Alhamdulillah, saya ok je cikgu. Tapi mungkin tak macam dulu lah,” ketawa kami berdua.

Kami bersembang umpama kawan rapat walaupun sesekali saya merendahkan diri dihadapannya. Seronok juga berkongsi idea dan pengalaman dari dirinya.

Dan di akhir perbualan Cikgu Rozman menepuk bahu saya.

“Andai kamu mahu saya bawa kamu pergi ke bulan, saya akan bawa kamu sehingga kamu berjaya berpijak padanya. Dan seandainya kamu telah berjaya tiba di sana, sesekali saya tidak akan bersama kamu lagi, terpulanglah kepada kamu untuk pergi ke mana sahaja yang kamu impikan.” pesanan terakhirnya kepada saya.

Maka dari situ saya mula membina diri saya sebenarnya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan