Jumaat, Disember 11, 2009

7 DISEMBER- KETENTUAN ALLAH MENGATASI SEGALANYA...


Dalam keadaan berdebar-debar, saya merenung kepada hakim yang berada di hadapan mahkamah. Penanya ligat menari di atas lembaran kertas mencatit setiap penghujahan yang dikeluarkan oleh kedua-dua peguam.

“ Dengan ini mahkamah akan menangguhkan perbicaraan ke suatu tarikh yang lain,”

Serentak dengan itu semua peguam dan hadirin bangun sebagai tanda hormat terhadap hakim yang sedang meninggalkan kamar mahkamah. Beberapa wartawan pergi bergegas mendapatkan peguam bagi membuat liputan mengenai prosiding sebentar tadi.

Sedangkan kami masih terpinga-pinga disitu. Kamar mahkamah yang penuh sesak dengan kehadiran keluarga serta rakan-rakan dari pelbagai universiti sehingga melimpah ke luar mula beransur kurang.

“Izzuddin, prosiding mahkamah ditangguh. Perbicaraan korang yang sepatutnya bermula hari ini sehingga Jumaat tidak dapat dijalankan lagi,” kata Abang Arfizi, peguambela kami.

“Alhamdulillah, terima kasih Abang. Terima kasih atas bantuan abang selama ini,” hanya itu sahaja yang mampu saya ucapkan ketika mendengar penjalasan peguam.

“Lagi satu, jangan lupa sujud syukur balik nanti,” pesan terakhir Abang Arfizi.

“Insyaallah,” jawabku ringkas.

Dengan ditemani emak dan ayah, saya keluar dari mahkamah menuju ke arah lif.

Sepanjang perjalanan ke sana sempat juga bersembang dengan rakan- rakan yang telah datang sejak dari pukul 8 pagi. Malah sokongan yang diberikan oleh mereka tidak pernah henti sejak dari mula.

“Siapa yang boleh hulurkan bantuan?” seorang rakan bertanya kepada yang lain.

Kelihatan beberapa orang rakan lelaki turut kelihatan sibuk berbincang antara mereka. Ada antara mereka menggenggam telefon cuba menghubungi seseorang, tidak kurang juga ada yang cuba menenangkan keluarga kami sekadar yang mampu.

“Ok, aku dah dapat seribu,. Nanti aku cuba telefon seorang senior ni, mungkin dia boleh tambah duit lagi,” tangannya sibuk menekan butang telefonnya.

“Macam mana pun kita kena kumpulkan duit untuk jamin 3 orang lagi. Kena kumpulkan RM3500 sebelum pukul 4.30 ptg ni.. Cuba lagi!!” kata mereka.

Rupanya mereka sedang berusaha untuk mencari duit jaminan bagi membebaskan 3 yang lain. Selagi mana duit jaminan tidak dapat disediakan, selagi itu mereka tidak dapat dibebaskan. Malah sekiranya duit tetap tidak dapat disediakan sebelum pukul 4.30ptg, mereka bertiga akan dibawa ke Penjara Sungai Buloh. Janganlah hendaknya.

Setelah selesai urusan di mahkamah, kami pergi ke tempat letak kereta. Jam di tangan menunjukkan pukul 12 tengahari. Setelah enjin dihidupkan, dengan laju kereta tadi saya pandu meninggalkan perkarangan bangunan mahkamah.


“Alhamdulillah mak, prosiding yang patut berjalan selama 5 hari ditangguh. Tidak perlulah hendak difikirkan sangat tentang kes ini,” ujar saya kepada emak.

Adik perempuan saya hanya duduk membisu di belakang.

“Subhanallah, tahun ini memang tahun yang mencabar. Banyak sangat ujian yang Allah turunkan kepada keluarga kita,” jawab emak.

Pandangannya jauh dilontar ke luar tingkap kereta melihat gelagat manusia sepanjang perjalanan kami pulang ke rumah.

“Emak perasan tak ada sesuatu pelik?” tangan saya masih ligat memutar stereng kereta.

“Pelik?,. Apa yang peliknya?" mukanya ditoleh kearah saya.

Dari cermin pandang belakang, dengan jelas saya melihat raut wajahnya begitu ingin tahu apa yang hendak saya katakan.

“Setiap ujian yang Allah turunkan akan dipermudahkan jalan keluar,” jawab saya ringkas.

“Mak bayangkan, sejak dari mula macam-macam cubaan yang terpaksa kita tanggung. Awal-awal dulu orang semua kutuk, ada yang ugut kata akan dibuang dari universiti, biasiswa akan kena potong, dan macam-macam lagilah,” sambung saya.

“Tapi lama-kelamaan semua ujian cubaan tadi selesai satu persatu. Sampai sekarang ni Alhamdulillah masih lagi dapat belajar. Semua kawan dan pensyarah yang dulu masing-masing menyalahkan perbuatan kami sekarang ini sokong dan bantu kami lepas mereka tahu cerita sebenar,” saya menghela nafas tanda lega.

Pedal brek kereta ditekan tatkala menghampiri simpang ke arah Setapak. Lampu yang tadinya hijau bertukar kuning sebangai isyarat berjaga-jaga kepada semua pemandu, bersiap-sedia untuk memberhentikan kereka.

Brek kereta pun ditekan sepenuhnya tepat di hadapan bangunan perabut. Kereta pun berhenti disitu.

“Setakat ini anak emak yang seorang ini masih kuat, janganlah emak risau,” jawab saya secara berseloroh. Hanya hendak memecahkan suasana yang membosankan.

“Jahat betul orang yang pedajal engkau ya.. Sampai hati dia buat macam itu,” rungut emak.

“Biarlah dia mak,. Sampai sekarang ni tak tahu siapa yang sebenarnya lakukan semua ni,” keluh saya panjang.

Pandangan saya hanya tertumpu ke arah lampu isyarat di kiri jalan. Menunggu lampu merah bertukar hijau semula.

“Tak payah nak harapkan orang itu datang mengaku dan minta maaf. Jangan haraplah,” kata saya kepada emak.

“Entah-entah, sekarang ini dia tengah gelakkan korang. Dia yang lepas, korang pulak yang kena,” celah emak.

Memang dari dulu lagi emak sakit hati. Sejak saya kena aniaya, emak tidak pernah putus-putus berdoa kepada Allah.

“Emak jangan doa nak suruh Allah turunkan bala sahaja kepada orang tu,” kata saya.

“Doalah macam Nik Aziz doa. Kalau orang itu ada peluang nak berubah jadi baik, semoga Allah akan tetapkan hatinya dengan Iman dan Islam,”

“Tetapi kalau orang tu tetap melakukan kezaliman dan aniaya kepada orang lain, minta turunkan bala agar orang lain akan dapat pengajaran daripadanya,” pesan saya sambil ketawa kecil.

Emak turut sama ketawa, barangkali emak faham apa yang saya maksudkan.

Lampu isyarat kembali bertukar hijau. Tangan kiri saya menolak tombol gear lantas menujahkan kereta untuk bergerak ke hadapan.

Seringkali dalam hati saya selalu terdetik, perjalanan hidup kami masih panjang. Tiada siapa yang boleh tentukan masa hadapan kami. Kita hanya mampu menjangka akan berkalu itu dan ini, tetapi hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui dan menentukan masa hadapan kita sama ada akan menjadi baik atau sebaliknya.

Aqidah ini yang harus dipegang selaku seorang muslim.

Sabtu, Oktober 17, 2009

THE INVISIBLE MAN...

This guy paints himself, no kidding, no trick photography he just paints himself...
Last pic is simply brilliant... ..Couldn' t spot him



























Copy and Paste dari blog CinaIslam..


Rabu, Oktober 07, 2009

SELAKU MAHASISWA BIASA, SAYA TENGOK E-VOTING INI CUMA....




Keinginan pihak pentadbiran (HEP) di berapa buah universiti untuk melaksanakan e-Voting dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dilihat semakin serius. Secara tidak langsung kita juga boleh melihat Kementerian Pengajian Tinggi memberi ‘restu’ terhadap perlaksanaan sistem ini seperti mana yang telah direspon oleh menterinya sendiri Datuk Seri Khaled Nordin.

Seperti yang sudah sedia maklum, sistem e-Voting ini telah dilaksanakan sepenuhnya di 2 buah universiti iaitu di UPM (2003) dan UIA.m e-Voting juga nampaknya serius hendak dilaksanakan di UM, UKM dan UUM.

Di Universiti Malaya sendiri wujud desakan dari pihak mahasiswa untuk menolak sistem yang dianggap tidak demokratik ini.

Bermula dengan desakan yang dikenakan kepada pihak HEP bagi merungkai beberapa keraguan yang timbul dan masih lagi tidak mampu dijawab secara tulus oleh pihak pentadbiran, mereka mula mengarahkan serangan mereka kepada pihak Kementerian. Hal ini kerana permasalahan e-Voting ini bukan hanya masalah yang berlaku di kampus Um sahaja, tetapi juga melibatkan beberapa universiti di Lembah Klang. Sudah pasti Kementerian juga campur tangan dalam hal ini.

Alasan yang digunakan bagi menjayakan sistem ini adalah kerana ia mampu menjimatkan waktu proses pengiraan undi di samping meminimumkan kos sama ada kos dari segi kewangan mahu pun dari segi penggunaan sumber manusia.

Malah lebih dari itu, alasan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bahawa mahasiswa tidak patut membantah tetapi seharusnya seiring dengan perkembangan zaman dan teknologi.

Andai saya selaku mahasiswa biasa, saya mungkin akan melihat apa yang diperkatakan di atas ada kebenarannya.

Saya selaku mahasiswa biasa juga mungkin akan berfikir beberapa perkara lain yang lebih dekat dengan diri saya.

“Apakah binefit yang saya akan dapat sekiranya perlaksanaan e-Voting ini dilaksanakan juga akhirnya?”

Andai e-Voting ini dilaksanakan, saya masih perlu pergi ke tempat pengundian yang telah ditetapkan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Andai sistem e-Voting ini dilaksanakan atau tidak, masa pembuangan undi juga cuma mengambil masa kira-kira 2 atau 3 minit sahaja sama tidak ubah seperti dahulu.

Andai sistem e-Voting ini dilaksanakan atau tidak, saya tidak kisah sama ada keputusan PRK diumumkan lebih cepat atau lambat kerana yang pasti keputusan undian tetap akan diumumkan juga.

Saya seolah-olah menyedari sesuatu.

Jika dikatakan sistem ini menjimatkan kos, ia tidak memberi apa- apa penjimatan kepada saya. Jika dikatakan keputusan PRK dapat diumumkan segera, pengumuman tersebut tidak melibatkan diri saya. Malah jika dikatakan sistem ini up-to-date dengan peredaran zaman, saya masih tidak mendapat sebarang faedah daripadanya.

Malah undi yang saya berikan jika dibandingkan dengan undi hampir 20,000 mahasiswa yang ada di Universiti Malaya, saya tidak mengharapkan undi saya akan mempengaruhi apa-apa.

Maka apakah benefit yang akan saya peroleh dengan perlaksanaan e-Voting ini?

Begitu juga apakah manfaat yang akan saya peroleh seandainya sistem e-Voting ini berjaya hapuskan?

Saya pasti akan menyedari bahawa tiada sebarang kelebihan yang saya akan dapat sama ada sistem ini berjaya dilaksanakan atau sebaliknya.

Tetapi apa yang pasti, saya akan tetap turun mengundi kerana ini adalah kali pertama e-Voting ini dilaksanakan. Saya ingin mencuba ‘keseronokan’ sistem yang baru ini yang telah di ‘brand’ dan diperkenalkan oleh HEP dengan begitu menarik sekali.

Beberapa perkara di atas sudah pasti akan berlegar-legar di dalam pemikiran saya seandainya saya seorang mahasiswa biasa.

***********************************

Maka di peringkat ProMahasiswa sendiri, bagaimana kita hendak memainkan isu ini secara bijak agar mahasiswa celik dan merasai isu e-Voting ini amat penting kepada mereka?

Andai ada sebarang pandangan, catatlah di ruangan ulasan agar kita dapat berkongsi bersama...



Isnin, Oktober 05, 2009

MENGABADIKAN KENANGAN BERJALAN RAYA BERSAMA...

Sekadar berkongsi pengalaman indah ketika bersama-sama rakan yang lain bertandang ke rumah saya pada hari ahad (4/5/2009) yang lalu.. Terima kasih kerana sudi berjalan raya ke rumah saya..






































Jumaat, Oktober 02, 2009

PENGARUH FILEM SERAM DALAM PEMIKIRAN MELAYU...




“Buka tv asyik cerita hantu saja, lain tak de,” ayah saya merungut.

“Kenapa ayah,” tanya saya spontan.


Sambil berjalan ke arah ruang tamu, sempat juga saya mencapai laptop saya. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali ingin menaip assignment, kerusi kayu di ruang tamu tempat yang paling selesa bagi saya menaip.


“Rancangan Tv ni, tak habis-habis tunjuk cerita hantu. JANGAN PANDANG BELAKANG lah, CONGKAK lah, PULANGKAN lah, macam-macam,” sambungnya lagi.

“Hari raya pun banyak cerita hantu,” bertambah-tambah ayah merungut. Bukan itu sahaja, kepala juga digeleng tanda tidak puas hati.


“ Nak buat macam mana, orang Melayu ni serasi dengan hantu,” jawabku berseloroh.

Entah macam mana boleh terpancul statement sebegitu. Tetapi apabila difikirkan semula, mungkin juga ada kebenarannya. Semakin hari semakin laris cerita-cerita hantu di negara. Malah menjadi tatapan sama ada kaum tua atau kaum muda.


“Budak-budak pun suka tengok cerita hantu, diorang dah tak takut dah sekarang ini. Kat Tv9 tu apa nama cerita hantu kelakar tu?,” soal ayah.


“Hantu CEPLOS, hantu yang paling pelik kat alam Melayu ni,” gelak besar saya.


“Hantu macam tu pun ada orang minat ke?” perli ayah.


“Entah lah, orang Melayu,” jawabku ringkas.


Lalu saya membuka laptop, mungkin cerita hantu ini menarik untuk saya tulis dalam blog. Paling tidak, saya boleh mengajak orang lain untuk berfikir bersama.

**********************************


Makhluk halus seperti Jin dan Syaitan sememangnya wujud hidup bersama dengan manusia di atas muka bumi Allah. Dalil asas yang biasa kita ketahui membuktikan kewujudan mereka adalah dari sepotong ayat Al-Quran;




Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (Al-Dzariat:56)



Bagitu juga terdapat 40 ayat dari Al-Quran yang bercerita mengenai penciptaan, peranan dan kisah-kisah tentang kewujudan Jin atau makhluk halus ini.

Juga sebuah kisah yang agak masyhur yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas ketika mana Rasulullah sedang bersolat bersama sahabat-sahabatnya di suatu tempat bernama Tihamah. Lalu ketika itu telah melintas sekumpulan Jin yang kebetulan melalui kawasan tersebut. Maka didengari s etiap bacaan ayat suci Al-Quran dengan begitu cermat, lalu mereka berkata,


“Demi Allah, inilah (dengan diutuskan Rasulullah) yang menghalangi kita dari mendengar berita-berita dari langit,”


Kisah ini dirakamkan serta menjadi Asbab Nuzul ke pada penurunan ayat pertama dari Surah Al-Jin(72:1)

Bagi masyarakat Melayu, kewujudan jin atau makhluk halus ini lebih sinonim diistilahkan dengan nama HANTU. Hantu yang sering digambarkan mempunyai kuasa tertentu bagi mengganggu kehidupan manusia. Kemunculannya amat menakutkan sehingga terbawa-bawa dalam igauan.


Malah lebih dasyat lagi di alam Melayu, jin turut digunakan sebagai perantara bagi mengubati sesuatu penyakit. Maka sehingga ada yang mem uja bagi mendapatkan sesuatu yang dihajati.
Mari kita perhatikan apa yang telah dirakamlan oleh Allah S.W.T di dalam Surah Al-Fusshilat,


Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya). (Al-Fusshilat: 25)


Cuma seakan menjadi suatu trend penggiat-penggiat seni terutamanya yang membikin filem semakin berminat menggambarkan aksi-aksi seram dan mistik dalam hasil karya mereka. Ini ditambah dengan penonton yang cukup berminat dengan genre seram menbuatkan lambakan filem seram ini akan ada penonton atau ‘penunggu’ setianya.





Dari satu sudut lain, perlu diteliti kemana sebenarnya arah yang hendak dibawa ke atas pemikiran masyarakat sehingga dilambakkan filem genre seram sebagai sajian kepada tatapa umum.


Mengkhayalkan masyarakat dengan ‘ketahyulan’ dan ‘kesyirikan’ yang melampau tidak akan membawa kearah yang positif.

Di saat masyarakat kini yang mengalami kerapuhan akidah yang membimbangkan, pilihan untuk menyuap mereka dengan adegan kepercayaan serta amalan pemujaan yang karut-marut ini serta menjurus ke arah syirik perlu dikurangkan atau ditiadakan terus.

Jika kemunculan filem genre seram ni atas faktor untuk mengaut untung, maka perlu dinilai semula autoriti pembikin-pembikin filem ini.

Media seharusnya berperanan membentuk ideologi pemikiran. Penerapan elemen-elemen yang sihat seharusnya diutamakan dalam membentuk landasan pemikiran masyarakat.

Diakui bahawa penceritaan kisah-kisah mistik ini membuatkan ramai sebenarnya yang tertarik kearahnya kerana sikap ingin tahu yang mendalam.

Pameran ‘hantu’ yang pernah diadakan di Muzium Negara suatu ketika dahulu amat mengejutkan kerana dianggap berjaya menarik minat sebegitu ramai pengunjung untuk datang melihat sendiri makhluk khalus yang ‘dibentukkan’ dan dipamerkan di sana. Maka ramai juga yang berminat untuk mengkaji kewujudan Pocong, Langsuir, Jenglot dan sebagainya.

Mufti dan cendekiawan Islam di negara ini terpaksa melontarkan pandangan dan kritikan mereka terhadap budaya yang tidak sihat ini.

Sekadar mengetahui kewujudan makhluk halus sudah memadai, namun untuk mendampingi, memuja atau menggunakan makhluk ini atas tujuan dan matlamat tertentu adalah haram. Pendapat ini jelas diutarakan oleh Imam Malik serta Jumhur ulama yang membahas perkara tersebut.

Begitu juga kecenderungan penghasilan cerita genre seram secara agresif ini wajar dihentikan.

Adakah kita mahu melahirkan masyarakat yang takut kepada kewujudan hantu?

Saya lebih bimbang melihat masyarakat hari ini lahir sebagai masyarakat yang diruntun kepercayaan mereka kerana kepercayaan juga berkait rapat dengan persoalan akidah.




Rabu, September 30, 2009

MAHASISWA: DAHULU & SEKARANG...



“Kalau setakat masuk ke alam kampus dan lepas ‘grade’ nak jadi orang yang biasa-biasa je baik tak payah”

“Kenapa Pak Su?” jawab saya seolah-olah ingin menyanggah provokasi yang cuba dicipta olehnya.

“Universiti ini hebat tau tarafnya,”sambungnya lagi.

Sambil tangannya membuka beberapa balang kuih raya. Pak Su terus bersandar dan memulakan semula bual bicaranya.

“Sesebuah universiti dikira hebat bukan kerana orang yang masuk ke dalamnya hebat-hebat,” kata Pak Su.

“Habis tu?” saya bertanya.

“Tetapi sesebuah universiti dikira hebat kerana universiti itu mampu ‘mencetak’ manusia yang hebat,” jawabnya ringkas.

Terkedu juga saya mendengarnya. Bernas juga lontaran idea Pak Su.
Pak Su juga seorang bekas mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar penghujung tahun 80an. Seorang yang sederhana dan mungkin bukan salah seorang aktivis mahasiswa. Namun banyak pengalaman beliau yang dapat dicerapnya dan ingin dikongsikan.

“Alam mahasiswa sepatutnya mencabar. Kalau tiada sesuatu yang mencabar, cari cabaran yang baru dalam hidup. Inilah yang perlu dipelajari di kampus,” terang Pak Su.

“Zaman Pak Su dengan zaman sekarang sudah banyak berbeza. 20 tahun dah Pak Su tinggalkan alam kampus,” ujar saya hanya untuk menduga.

“Apa pulak kena mengena dengan masa? Student sendirilah yang mencorak hidup mereka,” jawabnya.

Saya mula tersenyum.

“Di universitilah tempat berkumpulnya bermacam ragam manusia. Mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa perhatian dan kongkongan sesiapa. Universiti bukan macam sekolah. Alam persekolahan sudah habis.”

“Tak kan nak jadi budak sekolah lagi?” gelak Pak Su.

Pak Su terus mengunyah kuih raya yang tersedia di atas meja. Beberapa kali juga dia menghirup air teh yang dibawa oleh Mak Su.

Maklumlah, suasana hari raya masih lagi meriah ketika ini. Kebetulan Pak Su bertandang ke rumah saya petang ini. Melihat telatah anak-anaknya yang masih kecil berlari-lari membuatkan hati saya teruja dengan kemeriahan raya. Bukan sesiapa pun, sepupu saya juga.

“Dulu tahun 60-an, heboh orang kata zaman kegemilangan kebangkitan mahasiswa,” sambungnya lagi.

“Tau.. Ada pernah terbaca,”tertarik saya menjawab.

“Zaman itu kampus menjadi tempat berkumpul anak-anak kampung. Mereka datang dari pelbagai latar belakang keluarga. Kebanyakannya dari keluarga yang susah. Waktu itu Universiti Malaya yang paling famous,”

“Bila mereka datang ke kampus, mereka tengok sendiri kemajuan yang ada di pusat bandar KL. Kehidupan yang mewah, bangunan yang besar-besar, dan lain-lain lagi yang jauh berbeza dengan kehidupan sebenar mereka,”

“Mereka mula membandingkan kesusahan masyarakat desa yang jauh bezanya dengan masyarakat bandar. Mereka mula bangun membela rakyat rang tertindas. Dari situ lah menjadi titik mula kebangkitan mahasiswa dan mahasiswa menjadi suara kepada rakyat,” terang Pak Su kepada saya.



Perjuangan Mahasiswa Membela Rakyat Sewaktu Demonstrasi Baling Pada Disember 1974, Pada Awal Tahun 1975 AUKU Dipinda Bagi Mengongkong Gerakan Mahasiswa Yang Sedang Memuncak.



Dalam diam saya mula terfikir, tahu juga Pak Su tentang sejarah kebangkitan mahasiswa zaman dulu.

“Jangan ingat Paksu tak tau,” gelaknya panjang seakan-akan memahami apa yang terbuku dalan hati saya.

***********************************

Hasil dari perbincangan dengan Pak Su agak menarik. Perbincangan yang banyak berlegar mengenai alam kemahasiswaan menyebabkan saya berminat untuk berkongsi dengan semua.

Anda sebagai seorang mahasiswa, adakah anda merasa anda sudah cukup selesa dengan kehidupan anda seharian? Dengan merasa selesa sebenarnya akan membunuh kehidupan anda pada masa hadapan.

Umumnya, apabila membincangkan gerakan mahasiswa, akan terjumpa beberapa ungkapan yang sinonim dengannya, seperti: “kumpulan pendesak (pressure group)”, “watchdog”, “tradisi mencabar”, “student rebellion”, “student revolt”, ”student resistance”, “studentpower”, “bersama rakyat” dan sebagainya. Ada waktunya, masyarakat memberikan pula ungkapan yang tidak begitu sesuai sebagai reaksi: “rebel without cause” dan “angry young men”.

Melihat kepada ungkapan-ungkapan yang disebutkan diatas seakan menggambarkan bahawa mahasiswa seumpama mempunyai kekuatan yang tertentu yang boleh dimanipulasi bagi mencapai keinginan yang dihajati.

Saya kurang bersetuju andai kita terlalu melaungkan bahawa mahasiswa merupakan PEMIMPIN MASA HADAPAN. Sedangkan saya melihat bahawa mahasiswa itu sudah mampu menjadi PEMIMPIN HARI INI malah mereka juga saya percaya sudah mampu menjadi PEMIMPIN RAKAN-RAKAN. Mengapa hendak ditangguh sifat kepimpinan yang mereka punyai?

Saya nukilkan 2 ayat keramat dibawah sebagai renungan bersama.



Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda
yang beriman kepada Tuhan mereka
dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
- Al-Kahfi: 13


Belajar sambil mencabar
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin
Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar.
- Prof. Ungku A. Aziz (1973)



Sabtu, September 26, 2009

SALAM AIDILFITRI KEPADA SEMUA...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini




Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada semua yang yang menziarahi blog IB_ADHAM.

Dedikasi ucapan raya ini saya tujukan khas kepada semua yang mengenali diri saya khususnya kepada keluarga tercinta, sanak-saudara yang terdekat, kawan-kawan di Sekolah Izzuddin Shah (SIS Batch 43) yang masih dirindui, guru-guru serta ustaz yang sentiasa bertanya khabar, rakan-rakan di Universiti Malaya dan tidak ketinggalan kepada seluruh sahabat-sahabat seperjuangan JM yang saya kasihi..

Ribuan kemaafan dipohon andai wujud kesilapan sepanjang perkenalan kita. Semoga di hari lebaran ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik yang telah sedia terjalin antara kita selama ini.


"كل عام و أنتم بخير"



MOHAMAD IZZUDDIN HILMI BIN MOHAMAD ZAINI
IB_ADHAM