Jumaat, Disember 11, 2009

7 DISEMBER- KETENTUAN ALLAH MENGATASI SEGALANYA...


Dalam keadaan berdebar-debar, saya merenung kepada hakim yang berada di hadapan mahkamah. Penanya ligat menari di atas lembaran kertas mencatit setiap penghujahan yang dikeluarkan oleh kedua-dua peguam.

“ Dengan ini mahkamah akan menangguhkan perbicaraan ke suatu tarikh yang lain,”

Serentak dengan itu semua peguam dan hadirin bangun sebagai tanda hormat terhadap hakim yang sedang meninggalkan kamar mahkamah. Beberapa wartawan pergi bergegas mendapatkan peguam bagi membuat liputan mengenai prosiding sebentar tadi.

Sedangkan kami masih terpinga-pinga disitu. Kamar mahkamah yang penuh sesak dengan kehadiran keluarga serta rakan-rakan dari pelbagai universiti sehingga melimpah ke luar mula beransur kurang.

“Izzuddin, prosiding mahkamah ditangguh. Perbicaraan korang yang sepatutnya bermula hari ini sehingga Jumaat tidak dapat dijalankan lagi, kata Abang Arfizi, peguambela kami.

“Alhamdulillah, terima kasih Abang. Terima kasih atas bantuan abang selama ini,” hanya itu sahaja yang mampu saya ucapkan ketika mendengar penjalasan peguam.

“Lagi satu, jangan lupa sujud syukur balik nanti,” pesan terakhir Abang Arfizi.

“Insyaallah,” jawabku ringkas.

Dengan ditemani emak dan ayah, saya keluar dari mahkamah menuju ke arah lif.

Sepanjang perjalanan ke sana sempat juga bersembang dengan rakan- rakan yang telah datang sejak dari pukul 8 pagi. Malah sokongan yang diberikan oleh mereka tidak pernah henti sejak dari mula.

“Siapa yang boleh hulurkan bantuan?” seorang rakan bertanya kepada yang lain.

Kelihatan beberapa orang rakan lelaki turut kelihatan sibuk berbincang antara mereka. Ada antara mereka menggenggam telefon cuba menghubungi seseorang, tidak kurang juga ada yang cuba menenangkan keluarga kami sekadar yang mampu.

“Ok, aku dah dapat seribu,. Nanti aku cuba telefon seorang senior ni, mungkin dia boleh tambah duit lagi,” tangannya sibuk menekan butang telefonnya.

“Macam mana pun kita kena kumpulkan duit untuk jamin 3 orang lagi. Kena kumpulkan RM3500 sebelum pukul 4.30 ptg ni.. Cuba lagi!!” kata mereka.

Rupanya mereka sedang berusaha untuk mencari duit jaminan bagi membebaskan 3 yang lain. Selagi mana duit jaminan tidak dapat disediakan, selagi itu mereka tidak dapat dibebaskan. Malah sekiranya duit tetap tidak dapat disediakan sebelum pukul 4.30ptg, mereka bertiga akan dibawa ke Penjara Sungai Buloh. Janganlah hendaknya.

Setelah selesai urusan di mahkamah, kami pergi ke tempat letak kereta. Jam di tangan menunjukkan pukul 12 tengahari. Setelah enjin dihidupkan, dengan laju kereta tadi saya pandu meninggalkan perkarangan bangunan mahkamah.


“Alhamdulillah mak, prosiding yang patut berjalan selama 5 hari ditangguh. Tidak perlulah hendak difikirkan sangat tentang kes ini,” ujar saya kepada emak.

Adik perempuan saya hanya duduk membisu di belakang.

“Subhanallah, tahun ini memang tahun yang mencabar. Banyak sangat ujian yang Allah turunkan kepada keluarga kita,” jawab emak.

Pandangannya jauh dilontar ke luar tingkap kereta melihat gelagat manusia sepanjang perjalanan kami pulang ke rumah.

“Emak perasan tak ada sesuatu pelik?” tangan saya masih ligat memutar stereng kereta.

“Pelik?,. Apa yang peliknya?" mukanya ditoleh kearah saya.

Dari cermin pandang belakang, dengan jelas saya melihat raut wajahnya begitu ingin tahu apa yang hendak saya katakan.

“Setiap ujian yang Allah turunkan akan dipermudahkan jalan keluar,” jawab saya ringkas.

“Mak bayangkan, sejak dari mula macam-macam cubaan yang terpaksa kita tanggung. Awal-awal dulu orang semua kutuk, ada yang ugut kata akan dibuang dari universiti, biasiswa akan kena potong, dan macam-macam lagilah,” sambung saya.

“Tapi lama-kelamaan semua ujian cubaan tadi selesai satu persatu. Sampai sekarang ni Alhamdulillah masih lagi dapat belajar. Semua kawan dan pensyarah yang dulu masing-masing menyalahkan perbuatan kami sekarang ini sokong dan bantu kami lepas mereka tahu cerita sebenar,” saya menghela nafas tanda lega.

Pedal brek kereta ditekan tatkala menghampiri simpang ke arah Setapak. Lampu yang tadinya hijau bertukar kuning sebangai isyarat berjaga-jaga kepada semua pemandu, bersiap-sedia untuk memberhentikan kereka.

Brek kereta pun ditekan sepenuhnya tepat di hadapan bangunan perabut. Kereta pun berhenti disitu.

“Setakat ini anak emak yang seorang ini masih kuat, janganlah emak risau,” jawab saya secara berseloroh. Hanya hendak memecahkan suasana yang membosankan.

“Jahat betul orang yang pedajal engkau ya.. Sampai hati dia buat macam itu,” rungut emak.

“Biarlah dia mak,. Sampai sekarang ni tak tahu siapa yang sebenarnya lakukan semua ni,” keluh saya panjang.

Pandangan saya hanya tertumpu ke arah lampu isyarat di kiri jalan. Menunggu lampu merah bertukar hijau semula.

“Tak payah nak harapkan orang itu datang mengaku dan minta maaf. Jangan haraplah,” kata saya kepada emak.

“Entah-entah, sekarang ini dia tengah gelakkan korang. Dia yang lepas, korang pulak yang kena,” celah emak.

Memang dari dulu lagi emak sakit hati. Sejak saya kena aniaya, emak tidak pernah putus-putus berdoa kepada Allah.

“Emak jangan doa nak suruh Allah turunkan bala sahaja kepada orang tu,” kata saya.

“Doalah macam Nik Aziz doa. Kalau orang itu ada peluang nak berubah jadi baik, semoga Allah akan tetapkan hatinya dengan Iman dan Islam,”

“Tetapi kalau orang tu tetap melakukan kezaliman dan aniaya kepada orang lain, minta turunkan bala agar orang lain akan dapat pengajaran daripadanya,” pesan saya sambil ketawa kecil.

Emak turut sama ketawa, barangkali emak faham apa yang saya maksudkan.

Lampu isyarat kembali bertukar hijau. Tangan kiri saya menolak tombol gear lantas menujahkan kereta untuk bergerak ke hadapan.

Seringkali dalam hati saya selalu terdetik, perjalanan hidup kami masih panjang. Tiada siapa yang boleh tentukan masa hadapan kami. Kita hanya mampu menjangka akan berkalu itu dan ini, tetapi hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui dan menentukan masa hadapan kita sama ada akan menjadi baik atau sebaliknya.

Aqidah ini yang harus dipegang selaku seorang muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan