Isnin, Disember 14, 2009

PENYEMBELIHAN BINATANG MENURUT ISLAM..


Seminggu sebelum hari raya korban lalu, sempat saya mengikuti kursus korban anjuran Jabatan Agama Islam Malaysia. Kursus yang bertajuk PENYEMBELIHAN BINATANG MENURUT ISLAM banyak membincangkan mengenai cara-cara penyembelihan secara syar’ie berdasarkan apa yang telah dianjurkan oleh Islam.

Perbincangan mengenai cara-cara penyembelihan binatang mengikut Syara’ cukup luas. Antaranya seperti jenis, rukun, syarat-syarat, serta cara-cara sembelihan dilakukan. Wujud juga disini pandangan para fuqaha yang pelbagai mengenai amalan-amalan sunat, makruh & haram semasa penyembelihan dilakukan.

Apa yang ingin dikongsi di sini bukanlah keseluruhan ilmu mengenai hukum dan kaedah penyembelihan. Tetapi barangkali cukup untuk dimanfaatkan bersama terutamanya mengenai bagaimana kaedah-kaedah penyembelihan.


PENDAHULUAN

Penyembelihan adalah salah satu cara untuk mematikan binatang dan menghalalkan dagingnya. Penyembelihan menurut bahasa ialah Thayyib iaitu mengelokkan. Pengertian kedua adalah Tatmim membawa maksud menyempurnaan iaitu menyempurnakan apa yang diharuskan dengan cara sembelihan.

Dalam Surah Al-Maidah ayat ke 3 bermaksud:

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain selain Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”


Dalam ayat ke 4 Surah yang sama juga Allah berfirman:

“Dihalalkan bagi kamu segala yang baik-baik".


Ijma’ para fuqaha mengatakan rukun sembelihat terhadap binatang terbahagi kepada 4:

1) Penyembelih

2) Alat Sembelih

3) Tempat sembelih

4) Binatang sembelihan


RUKUN PERTAMA: PENYEMBELIH

Syarat penyembelih hendaklah seorangMuslim atau Ahli Kitab (Kitabiyah). Tidak sah sembelihan yang dilakukan oleh orang kafir mahupun orang yang murtad sesudah keislamannya. Halal juga sembelihan yang dilakukan oleh budak yang belum berkhatan, khunsa ataupu orang bisu.

Tidak disyaratkan sama ada yang menyembelih itu seorang lelaki atau perempuan, kecil atau besar,dan sah bagi seorang perempuan untuk menyembelih binatang walaupun dalam keadaan haidh (pandangan Imam Nawawi). Walau bagaimanapun makruh bagi sesiapa yang masih berada dalam hadas besar untuk melakukan penyembelihan.

Hukum bagi sembelihan orang buta pula adalah makruh bagi sembelihan biasa namun haram bagi hasil buruan. Hal ini kerana dalam perburuan, kemampuan untuk melihat adalah salah satu syarat sah untuk menghalalkan hasil perburuan.

Hukum sembelihan seorang fasiq adalah diharuskan syara’


RUKUN KEDUA: ALAT SEMBELIHAN

Halal binatang yang disembelih menggunakan alat yang tajam sama ada dibuat dari besi (logam), kayu, buluh, kaca, batu atau alat-alat lain yang ditajamkan.

Namun terdapat beberapa pengecualian. Sembelihan yang dilakukan menggunakan gigi, kuku, atau tulang tidaklah halal kerana ia tidak diakui sebagai a

lat sembelihan berdasarkan sebuah hadis Rasulullah S.A.W (Al-Bukhari, Sohih al-Bukhari [Matba’ asy-Syu’bi, 1378], 7:21).


RUKUN KETIGA: TEMPAT SEMBELIHAN

Terdapat 2 keadaan penyembelihan iaitu penyembelihan ke atas binatang yang berkuasa keatasnya dan penyembelihan ke atas binatang yang tidak berkuasa ke atasnya.

1) Penyembelihan ke atas binatang yang berkuasa (menangkap & menyembelih) keatasnya.


Wajib memutuskan dengan sempurna urat HALKUM dan urat MARI’. Halkum ialah tempat salur nafas pernafasan dan mari’ pula tempat salur makan dan minum.

2) Penyembelihan ke atas binatang yang tidak berkuasa ke atasnya.


Iaitu binatang yang sukar ditangkap (buruan) atau binatang yang tidak dapat disembelih pada lehernya seperti sembelihan biasa seperti binatang yang terjatuh ke dalam perigi dan sukar dikeluarkan. Memadai dengan melukakan mana-mana bahagian pada tubuhnya hingga mampu menyebabkan mati.

Di dalam Mazhab Syafi’e hanya diwajibkan untuk memutuskan dua jenis urat iaitu urat halkum dan urat mari’ sahaja. Namun sunat hukumnya memutuskan 2 urat (salur) darah yang berada di kanan dan kiri leher binatang yang disembelih bagi mempercepatkan kematian.

Gambarajah kedudukan URAT HALKUM (salur makan) dan URAT MARI’ (salur nafas) bagi haiwan sembelihan.



Keratan rentas leher binatang sembelihan. kelihatan jelas 2 salur makan dan salur pernafasan di tengah-tengah leher. kawasan yang berwarna 'pink' pula adalah salur yang membawa darah dari jantung ke otak.



Gambarajah dalaman leher seekor ayam



Keadaan ketika sembelihan dijalankan



Gambarajah dalaman leher seekor lembu



Keadaan ketika sembelihan dijalankan



RUKUK KEEMPAT: BINATANG SEMBELIHAN

Syarat utama ialah binatang tersebut merupakan binatang yang halal dimakan. Disyaratkan juga bahawa binatang yang hendak disembelih itu dua perkara.

1) Binatang yang hendak disembelih dalam keadaan Hayat al-Mustaqirrah di awal sembelihan iaitu ketika memulakan sembelihan.Hayat al-Mustaqirrah ialah keadaan binatang yang masih hidup dan tidak berada pada hujung hayatnya. Jika tiada sewaktu hendak disembelih, maka ia dianggap bangkai.

2) Binatang yang dari jenis halal dimakan.


Wallahualam..

Bersambung....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan