Rabu, Disember 23, 2009

POLIS DAN HAK-HAK ANDA...



1.APABILA DIBERHENTIKAN POLIS



1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri

Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis

Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :
• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih : Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam

Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis

Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri

Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain

Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap

Anda sedang ditangkap jika Polis:
• menjawab "ya";
• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke Balai Polis; atau
• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112

Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi

Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai.

Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walaubagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112

Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.
• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di dalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda



Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.
• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"

Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap

Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"

Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap

Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.

Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).
Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
• masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap

Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam

Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian

Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi

Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan

Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda

Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan
dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret

Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada 24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman

Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan