Sabtu, Mac 06, 2010

SEMBANG KATAK DI SUATU PAGI...


Pukul 8.30 pagi Hari Selasa awal bulan 3 yang lalu, saya singgah di sebuah kedai makan di Pantai Dalam untuk bersarapan sebelum masuk ke kuliah.

Setelah mengambil nasi lemak, saya duduk di kerusi plastik. Di sebelah saya ada seorang lelaki tua dan seorang India sedang minum bersama.

“Apa benda yang mereka sembang pasal KATAK pagi-pagi ini?” terlintas dalam hati saya. Maka mulalah saya memasang telinga mendengar perbualan mereka.

*******************

“Kenapa golongan-golongan ni dipanggil katak?” Linggam memulakan bicara.

“Sebab mereka suka lompat.” Kata Pak Ali.

Linggam diam. Mukanya berkerut-kerut menunjukkan memek muka yang kebingungan.

“Aku tak faham,” kata Linggam

“LOMPAT PARTI LAH..”jawab Pak Ali.

Tangannya masih lagi menyelak surat khabar SINAR HARIAN. Roti canai yang berada dihadapannya masih belum dijamah. Terlalu asyik membaca akhbar.

“Bagilah nama binatang lain. Belalang ker, Kanggaro ke, Arnab ker,. Katak ni TERUK sangat.. ” sambung Linggam.

“Kenapa kau kata katak ni TERUK?” Pak Ali mula meninggikan suaranya. Sesi perbualan antara mereka mula semakin rancak.

“Ye lah,. Katak ni orang BENCI,ada yang orang GELI dan pandang HINA kat katak, Ada yang nak MUNTAH bila jumpa katak kat longkang,” dengan mudah Linggam menjawab.

“Katak ini suka makan MAKANAN YANG KOTOR, bentuk badan pun BERUBAH-UBAH dari kecil sampai besar.LIDAH PANJANG nak tangkap lalat,” Gelak Linggam.

Pak Ali tersenyum.

“Hah, tahu pun kau. Itu sebab WAKIL RAKYAT yang lompat parti ni dipanggil KATAK.Cukup semua sifat sebagai seekor katak,” gelak Pak Ali.

Mungkin Linggam lambat faham maksud Pak Ali.

“Meh sini aku terangkan kat kau Linggam,”

Pak Ali melipat semula akhbar yang sedang dibacanya, lalu diletakkan di sudut kiri meja tersebut.

“Bila WAKIL RAKYAT dipilih oleh pengundi, ada pengundi yang mahukan parti tertentu yang masuk bertanding menang, jadi calon yang mewakili parti tertentu akan dipilih oleh pengundi,” terang Ali.

“Tapi bila sudah menang,WAKIL RAKYAT yang menang tu suka-suka je tukar atau lompat PARTI.”

“Mana tak orang BENCI, GELI, pandang HINA dan ada yang nak terMUNTAH bila tengok WAKIL RAKYATnya melompat parti,” senyum puas Pak Ali bercakap.

“Bila WAKIL RAKYAT tu makan MAKANAN KOTOR (rasuah), suka BERUBAH-UBAH tak ada pendirian, lebih teruk kalau LIDAHNYA PANJANG lagi bercabang menabur janji kat rakyat,..”

“KATAKlah mereka tu ” jawab Pak Ali.

Gelak besar mereka berdua. Saya dari jauh pun turut tergelak mendengar perbualan mereka.

Selesai makan saya menuju ke motorsikal. Entah macam mana kebetulan seekor katak melompat berhampiran motor saya.

Melompat dan terus melompat menuju ke tengah jalan raya.

“Jaga-jaga kau KATAK, nanti akan ada org yang langgar kau sampai pecah perut,” berkata saya sendirian .

Tanpa membuang masa, saya pun menghidupkan enjin motor dan terus pergi mengejar waktu ke kampus.

Khamis, Mac 04, 2010

PENYAKIT MALAS NAK UPDATE BLOG..


“Eh Izzuddin, sekarang ni rajin ko berfacebook!!” sindir seorang rakan.

“Tak de lah, saja nak terikut perkembangan teknologi,” jawab saya.

“Kalau ye pun update facebook, blog kau tu janganlah tak langsung tak sentuh. Update lah sikit. Jangan biarkan berkarat macam tu saja” sindirnya lagi.

Sindiran seorang kawan biasanya tidaklah diambil berat. Cuma kali ini agak pedas sikit rasanya.

“Aku kena penyakit sekarang ni. Penyakit ni biasanya hinggap blogger-blogger macam aku ni,” jawab saya spontan.

Jari-jemari saya ligat menari di papan kekunci laptop. Melayari internet seakan menjadi suatu kemestian bagi saya kini. Sesekali menjengah jendela dunia melihat apa yang berlaku di sekeliling.

“Penyakit apa?” soalnya penuh tanda tanya.

“Penyakit malas update blog,”gelak saya kecil.

“Penyakit ke tu?” bertubi-tubi persoalan yang timbul.

“Ye lah, penyakit lah tu.. ”

“Ade orang yang sakitnye kejap jer, ade yang berminggu-minggu, ade juga yang makan bulan,”saja saya berkias dengan dia.

Ramai juga yang dah tegur kenapa saya tak update blog saya. Lama sangat mereka tak dengar perkembangan saya atau membaca coretan saya. Lebih 2 bulan juga rasanya saya menyepi.

Beberapa isu besar dan pengalaman manis tak sempat saya tulis dalam blog. Antaranya perkembangan Pilihanraya Kampus 2010, keterlibatan dengan aktiviti yang menarik, dan beberapa ulasan mengenai perkembangan isu semasa yang semakin banyak.

Ada ketikanya dahulu sewaktu saya rajin update blog, ade ketikanya apabila saya masukkan coretan-coretan tertentu pernah sampai hampir 30 orang pembaca yang akan buka dalam satu masa.

Tetapi itu dahulu, sekarang ni dah lain.

“Bukan ape, guna blog ni susah sikit nak update.. Ambik masa lama.. Mad’unya pun kurang,”

“Kalau guna facebook ni mudah lah sikit, senang nak update, sebaran maklumat pun cepat,” jawabku kembali.

Tapi insyaallah, terdetik semula dalam hati ini nak rancakkan semula blog IB_ADHAM ini.

Setakat yang boleh tidak mahu blog IB_ADHAM ini menyepi begitu sahaja.

Rabu, Januari 13, 2010

KEMUNGKINAN KES DIGUGUR - HAKIM...



"Kau dah sampai mana?"
saya bertanya.

"On The Way" jawab Aizat.

Handphone saya pun dimatikan. Saya pergi duduk di sebelah Shahruldeen dan Saufi.

"Bila Abang Arfizi nak sampai ni?" tanya Saufi.

"Jangan dia tak datang dah lah. Siapa yang nak bela kita kejap lagi?" jawab
Shahruldeen.

Kata-kata tersebut membuatkan kami sempat ketawa. Suasana mahkamah yang masih suram dek kerana perbicaraan yang masing belum dimulakan. Jam tepat menunjukkan pukul 8.30 pagi dan notis yang ditampal di papan kenyataan mahkamah menyatakan mahkamah hanya akan memulakan perbicaraan pada pukul 9 pagi.

10 minit kemudian, datang Abang Arfizi dan Abang Zul, peguam yang akan mewakili kami untuk perbicaraan. Dengan berkot hitam, mereka melangkah dengan yakin kearah kami.

"4 orang peguam abang yang lain tak dapat datang. Diorang semua kirim salam kat korang," kata Abang Arfizi.

Abang Zul pun mula masuk ke kamar mahkamah, kemudian diikuti dengan Abang Arfizi dan kami bertiga. Memang sepatutnya semua yang berkenaan perlu bersiap sedia di salam mahkamah menantikan kehadiran Majestret untuk tiba.

Semua sudah bersedia di dalam. Aizat dan Syazni Munir juga telah tiba dengan keluarga masing-masing. Juga kelihatan penguam pendakwa masuk melalui pintu utama. Dengan lagak dan gaya yang begitu tenang, sempat juga dia menegur sambil tersenyum melihat kami disini.

"BANGUN!!!.."

Pegawai mahkamah memberi isyarat. Lantas dengan itu semua hadirin bangun sebagai tanda hormat. Puan Rozana selaku Majestret masuk mengambil tempatnya di hadapan.

Hari ini merupakan hari bagi sebutan kali ke 2 kes kami. Pada hari ini mahkamah belum memulakan sebarang prosiding atau penghujahan. Kehadiran kami kali ini cuma bagi menyaksikan penyerahan dokumen-dokumen penting yang akan diberikan oleh pendakwaraya kepada mahkamah serta kepada pihak peguam bela. Hari ini juga akan ditetapkan tarikh baru bagi perbicaraan kami selepas ini.

"Yang Arif, saya mahukan kepastian, seharusnya pada hari ini pihak pendakwa perlu memberi kepada pihak peguam bela semua evidents yang bakal digunakan sewaktu perbicaraan kelak," peguam bela mula kata-katanya.

"Akan tetapi pada hari ini pihak pendakwa hanya memberikan kepada kami salinan report polis dan report tangkapan sahaja,"

"Adakah hanya 2 bukti ini sahaja yang akan digunakan oleh pihak pendakwa?" peguam kami meminta penjelasan.

Bangun pihak pendakwa membalas hujah.

"Benar Yang Arif, hanya 2 ini sahaja yang dapat diberikan," jawabnya spontan.

"Bagaimana dengan laporan kimia, saksi dan bukti-bukti lain?" persoal Hakim dari atas tempat duduknya.

Suasana agak tegang apabila hakim melontarkan persoalan tersebut. Sewajibnya pihak yang mendakwa perlu keluarkan segala bukti hari ini sebelum perbicaraan bermula.

"Maaf Yang Arif, tanpa bukti forensik dan bukti kimia, perbicaraan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Menjadi hak kami segala bukti perlu diberikan kepada kami dan anak guaman kami sebagai persediaan," celah peguam bela.

Seluruh perhatian hadirin ditujukan kepada peguam pendakwa. Seakan ada persoalan yang masih menjadi tanda tanya.

"Maafkan saya Yang Arif, pihak polis masih GAGAL menyediakan bukti forensik. Oleh itu, saya mohon tarih baru untuk sebutan sebelum kita mulakan perbicaraan," jawab peguam pendakwa.

"Terdapat beberapa dokumen yang masih tidak dapat disiapkan oleh pegawai penyiasat," sambungnya lagi.

Mahkamah senyap semula beberapa ketika. Akhirnya, Hakim membuat keputusan.

"Memandangkan kelima-lima mereka merupakan student Universiti. Saya juga tidak mahu mengganggu pengajian mereka dengan melengah-lengahkan perbicaraan ini,"

"Tarikh perbicaraaan ditetapkan pada 14 Jun 2010, dan peguam pendakwa perlu mengemukakan semua bukti pada tarikh tersebut,"

"Dan andaikata pihak pendakwa masih GAGAL mengemukakan bukti-bukti yang diperlukan, SAYA TIDAK TERAGAK-GAK UNTUK MENGGUGURKAN KES INI," tegas Hakim dengan nada serius.

Kami saling memandang antara satu sama lain. Seakan tidak percaya dengan apa yang kami dengar.

"Gugurkan kes?" tiada yang lebih menggembirakan dari pendapat harapan sebegitu.

Sejurus selepas itu, Hakim meninggalkan kamar mahkamah selepas menandatangani beberapa surat. Barisan peguam, hadirin dan kami berlima mula melangkah keluar dari pintu utama. Diluar sempat juga berbincang dengan peguam tentang kes ini.

"Biasanya keputusan forensik dan bukti-bukti lain sudah sedia memandangkan kes sudah lebih 6 bulan." kata Abang Arfizi.

"Takpe, kita yakin keputusan forensik pasti negatif dan tidak dapat mensabitkan korang. Beberapa evident yang telah diberikan kepada kami juga tidak kukuh dan banyak yang meragukan," sambungnya.

"Apa-apa pun kita kita harap yang terbaik, sama ada kes ini DIGUGURKAN @ kita akan menang."katanya dengan yakin.

"Doa banyak-banyak. Yakin dengan pertolongan Allah"

Dalam kesempatan itu, sempat juga aku berbisik kepada Shahruldeen

"Inilah kuasa Allah.. Pasti Dia akan membantu sesiapa yang dizalimi" senyumku puas.

Rabu, Disember 23, 2009

POLIS DAN HAK-HAK ANDA...



1.APABILA DIBERHENTIKAN POLIS



1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri

Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis

Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :
• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih : Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam

Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis

Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri

Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain

Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap

Anda sedang ditangkap jika Polis:
• menjawab "ya";
• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke Balai Polis; atau
• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112

Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi

Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai.

Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walaubagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112

Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.
• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di dalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda



Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.
• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"

Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap

Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"

Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap

Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.

Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).
Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
• masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap

Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam

Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian

Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi

Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan

Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda

Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan
dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret

Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada 24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman

Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda.

POLIS DAN HAK-HAK ANDA .. SIRI 2




6.3 Berapa lamakah Perintah Reman


Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.

Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:
• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau
• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.

Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.

6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapan seorang Majistret untuk proses reman


Maklumkan kepada Majistret:
• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam, pusat bantuan guaman dan keluarga anda;
• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;
• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;
• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;
• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;
• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam tahanan.

6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat

Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).

7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN


7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan

Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.

7.2 Apa yang perlu dilakukan

• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.
• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.
• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/saku/beg anda.

7.3 Hak-hak anda

• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:
1. Bantah;
2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan
3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.

8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU

8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian

• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.
• Anda ditangkap.
• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.

8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan

Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-
1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah- pemeriksaan pakaian luaran.
2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.
3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung dan telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.
4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.

8.3 Hak anda

• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.
• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa pemeriksaan dilakukan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.



9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP

9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda

Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.

9.2 Hak anda untuk berdiam diri

Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."

9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan

Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh
mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.

9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti

Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda boleh menggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan.

RUJUKAN: BUKU MERAH (POLIS DAN HAK-HAK ANDA)

POLIS DAN HAK-HAK ASAS ANDA

Diterbitkan dengan kerjasama TANGKAP
(Tindakan Anti PenyalahGunaan KuAsa Polis)
www.malaysianbar.org.my

Jumaat, Disember 18, 2009

SELAMATKAN SEKOLAH IZZUDDIN SHAH & SEKOLAH TA'AYAH..




IPOH, 17 Dis: Bekas-bekas pelajar Sekolah Izzudin Shah (SIS) dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) Perak, membantah dan menuntut penjelasan dari tiga pihak bertanggungjawab berhubung hasrat menyerahkan kedua dua sekolah agama kelolaan kerajaan negeri tersebut kepada pusat.

Ketiga-tiga pihak tersebut adalah kerajaan negeri Perak, Jabatan Agama Islam negeri dan Persatuan Alumni pelajar sekolah terbabit.

Pengerusi Badan Bertindak Pertahankan SIS dan SERATA (TAHAN), Yuzi Faizal memberitahu pihak mereka akan mengadakan satu sidang akhbar berhubung perkara itu dihadapan pintu masuk utama SIS Jumaat ini.

"Kita nak mintak penjelasan dari ketiga-tiga pihak ini supaya kita dapat tahu kewajaran kedua-duanya perlu diserahkan kepada kerajaan pusat," katanya ketika dihubungi.

Yuzi juga memberitahu desakan yang dibuat badan bertindak ini bukan dipengaruhi mana-mana parti politik tetapi atas rasa tanggungjawab dan keperihatinan bekas-bekas pejar sekolah terbabit sendiri.

Mereka bimbang pertukaran tersebut akan menggadai kecemerlangan pelajar-pelajar aliran agama khususnya pemansuhan subjek teras sekolah tersebut.

Apatah lagi kedua-dua sekolah tersebut juga jelasnya telah banyak melahirkan tokoh-tokoh dan pemimpin negara seperti Menteri Pertahanan Malaysia sekarang ini Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Berdasarkan maklumat, jika kerajaan pusat ambil alih, kemungkinan subjek I'dadi dan Sanawi akan dimansuhkan.

"Ianya akan memberi kesan kepada para pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang agama seperti di Al-Azahar dan lain-lain universiti," katanya lagi.

Kedua-dua sekolah tersebut adalah di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Kerajaan Negeri Perak namun akan diserahkan kepada kerajaan pusat di bawah skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) kerana didakwa berdepan masalah kewangan.

Sehubungan itu, TAHAN juga sedang merancang menyediakan satu memorandum untuk dihantar kepada pihak Istana negeri perak jika tiada sebarang maklum balas dari ketiga-tiga pihak terbabit.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) turut mendesak Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri campur tangan menyelamatkan SIS dan SERATA agar kekal dibawah kelolaan JAIPk.-Harakahdaily

Isnin, Disember 14, 2009

PENYEMBELIHAN BINATANG MENURUT ISLAM..


Seminggu sebelum hari raya korban lalu, sempat saya mengikuti kursus korban anjuran Jabatan Agama Islam Malaysia. Kursus yang bertajuk PENYEMBELIHAN BINATANG MENURUT ISLAM banyak membincangkan mengenai cara-cara penyembelihan secara syar’ie berdasarkan apa yang telah dianjurkan oleh Islam.

Perbincangan mengenai cara-cara penyembelihan binatang mengikut Syara’ cukup luas. Antaranya seperti jenis, rukun, syarat-syarat, serta cara-cara sembelihan dilakukan. Wujud juga disini pandangan para fuqaha yang pelbagai mengenai amalan-amalan sunat, makruh & haram semasa penyembelihan dilakukan.

Apa yang ingin dikongsi di sini bukanlah keseluruhan ilmu mengenai hukum dan kaedah penyembelihan. Tetapi barangkali cukup untuk dimanfaatkan bersama terutamanya mengenai bagaimana kaedah-kaedah penyembelihan.


PENDAHULUAN

Penyembelihan adalah salah satu cara untuk mematikan binatang dan menghalalkan dagingnya. Penyembelihan menurut bahasa ialah Thayyib iaitu mengelokkan. Pengertian kedua adalah Tatmim membawa maksud menyempurnaan iaitu menyempurnakan apa yang diharuskan dengan cara sembelihan.

Dalam Surah Al-Maidah ayat ke 3 bermaksud:

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain selain Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”


Dalam ayat ke 4 Surah yang sama juga Allah berfirman:

“Dihalalkan bagi kamu segala yang baik-baik".


Ijma’ para fuqaha mengatakan rukun sembelihat terhadap binatang terbahagi kepada 4:

1) Penyembelih

2) Alat Sembelih

3) Tempat sembelih

4) Binatang sembelihan


RUKUN PERTAMA: PENYEMBELIH

Syarat penyembelih hendaklah seorangMuslim atau Ahli Kitab (Kitabiyah). Tidak sah sembelihan yang dilakukan oleh orang kafir mahupun orang yang murtad sesudah keislamannya. Halal juga sembelihan yang dilakukan oleh budak yang belum berkhatan, khunsa ataupu orang bisu.

Tidak disyaratkan sama ada yang menyembelih itu seorang lelaki atau perempuan, kecil atau besar,dan sah bagi seorang perempuan untuk menyembelih binatang walaupun dalam keadaan haidh (pandangan Imam Nawawi). Walau bagaimanapun makruh bagi sesiapa yang masih berada dalam hadas besar untuk melakukan penyembelihan.

Hukum bagi sembelihan orang buta pula adalah makruh bagi sembelihan biasa namun haram bagi hasil buruan. Hal ini kerana dalam perburuan, kemampuan untuk melihat adalah salah satu syarat sah untuk menghalalkan hasil perburuan.

Hukum sembelihan seorang fasiq adalah diharuskan syara’


RUKUN KEDUA: ALAT SEMBELIHAN

Halal binatang yang disembelih menggunakan alat yang tajam sama ada dibuat dari besi (logam), kayu, buluh, kaca, batu atau alat-alat lain yang ditajamkan.

Namun terdapat beberapa pengecualian. Sembelihan yang dilakukan menggunakan gigi, kuku, atau tulang tidaklah halal kerana ia tidak diakui sebagai a

lat sembelihan berdasarkan sebuah hadis Rasulullah S.A.W (Al-Bukhari, Sohih al-Bukhari [Matba’ asy-Syu’bi, 1378], 7:21).


RUKUN KETIGA: TEMPAT SEMBELIHAN

Terdapat 2 keadaan penyembelihan iaitu penyembelihan ke atas binatang yang berkuasa keatasnya dan penyembelihan ke atas binatang yang tidak berkuasa ke atasnya.

1) Penyembelihan ke atas binatang yang berkuasa (menangkap & menyembelih) keatasnya.


Wajib memutuskan dengan sempurna urat HALKUM dan urat MARI’. Halkum ialah tempat salur nafas pernafasan dan mari’ pula tempat salur makan dan minum.

2) Penyembelihan ke atas binatang yang tidak berkuasa ke atasnya.


Iaitu binatang yang sukar ditangkap (buruan) atau binatang yang tidak dapat disembelih pada lehernya seperti sembelihan biasa seperti binatang yang terjatuh ke dalam perigi dan sukar dikeluarkan. Memadai dengan melukakan mana-mana bahagian pada tubuhnya hingga mampu menyebabkan mati.

Di dalam Mazhab Syafi’e hanya diwajibkan untuk memutuskan dua jenis urat iaitu urat halkum dan urat mari’ sahaja. Namun sunat hukumnya memutuskan 2 urat (salur) darah yang berada di kanan dan kiri leher binatang yang disembelih bagi mempercepatkan kematian.

Gambarajah kedudukan URAT HALKUM (salur makan) dan URAT MARI’ (salur nafas) bagi haiwan sembelihan.



Keratan rentas leher binatang sembelihan. kelihatan jelas 2 salur makan dan salur pernafasan di tengah-tengah leher. kawasan yang berwarna 'pink' pula adalah salur yang membawa darah dari jantung ke otak.



Gambarajah dalaman leher seekor ayam



Keadaan ketika sembelihan dijalankan



Gambarajah dalaman leher seekor lembu



Keadaan ketika sembelihan dijalankan



RUKUK KEEMPAT: BINATANG SEMBELIHAN

Syarat utama ialah binatang tersebut merupakan binatang yang halal dimakan. Disyaratkan juga bahawa binatang yang hendak disembelih itu dua perkara.

1) Binatang yang hendak disembelih dalam keadaan Hayat al-Mustaqirrah di awal sembelihan iaitu ketika memulakan sembelihan.Hayat al-Mustaqirrah ialah keadaan binatang yang masih hidup dan tidak berada pada hujung hayatnya. Jika tiada sewaktu hendak disembelih, maka ia dianggap bangkai.

2) Binatang yang dari jenis halal dimakan.


Wallahualam..

Bersambung....